Oleh Nafsiah Jani
AWIE bukanlah seorang pelawak tetapi setiap kali kemunculannya dalam filem-filem komedi lakonannya membuatkan penonton tidak kering gusi dengan karakternya yang bersahaja.
Bersandarkan dari pengalamannya membuatkan Awie terpanggil untuk mengarah filem pertamanya, “Rebel” yang kini dalam proses editing.
“Sebenarnya sejak 15 tahun lalu saya bercadang untuk mengarah filem. Tetapi waktu itu, ekonomi saya tidak kukuh maka terpaksalah saya melupakan impian itu. Dengan izin Allah, rezeki saya tahun ini apabila dua rakan kongsi bersetuju menaja filem arahan saya ini.
“Saya tidak ada masalah mengarah kerana pengalaman di lokasi menjadi panduan untuk berkarya. Saya juga banyak menonton filem lama dan terkini untuk mendapatkan shot-shot yang terbaik. Disamping itu, kata-kata semangat dan dorongan kawan-kawan juga membuatkan saya bersemangat,” kata Awie yang terpaksa menolak beberapa tawaran filem dan telemovie disebabkan fokus utamanya adalah menyanyi.
“Rebel” dibintangi MK K-Clique, Nor Albaniah, Azlan Komeng dan Awie. Filem ini menjalani penggambaran selama tiga minggu di sekitar Kuala Lumpur dan Sungai Buluh.
Sebelum ini, Awie juga pernah menerbitkan filem “Sue-On” dan berlakon dalam beberapa filem antaranya “Baik Punya Cilok” (2005), “Sumolah” (2007), “Hantu Kak Limah Balik Rumah” ( 2010 ) dan “Zombie Kampung Pisang” (2007).
Sentiasa jaga aset saya – Awie
Walaupun sudah 38 tahun bergelar penyanyi rock, namun Awie tidak pernah mengambil mudah untuk mengekalkan kedudukannya dalam dunia seni hari ini.
Bagi Awie atau nama sebenarnya, Datuk Ahmad Azhar Othman, 55, kariernya sebagai penyanyi hanyalah pinjaman dan jika salah langkah ia akan hilang tanpa diduga.
“Sudah namanya pinjaman kita harus menjaga dengan baik segala pemberian-Nya,” kata Awie.
Menurut Awie, sebagai penyanyi tidak kira baru atau senior untuk kekal dalam industri mereka harus berlatih selalu dan sentiasa menjaga kesihatan badan.
“Pada 16 Disember ini, saya bersama Wings akan mengadakan konsert mega iaitu Konsert Wings: The Rock Emperor, Kuala Lumpur Chapter di Stadium Malawati Shah Alam. Pada konsert lebih dua jam itu saya mempertaruhkan suara saya. Suara adalah aset saya dan saya akan menyanyi lebih daripada 20 lagu. Jika tidak berlatih dan kurang stamina saya boleh ‘pancit’ dan ini akan menjejaskan konsert Wings.
“Bagi memastikan semuanya berada di kelasnya yang tersendiri, kini setiap hari saya berlatih di studio, tiga jam pada waktu siang dan empat jam pada waktu malam.
“Bukan itu sahaja, sebagai penyanyi kita bukan setakat menjaga suara malah harus memastikan apa yang kita makan dan minum adalah halal. Kalau show semakin hampir, elakkan makan makanan yang pedas atau berminyak.
“Jadi penyanyi ini bukan mudah. Ketika persembahan kita bukan setakat menyanyi tetapi harus pandai berkomunikasi dengan penonton dan ianya memang penat. Sebagai seorang penyanyi kita kena sentiasa bersedia dengan pelbagai latihan suara dan macam-macam lagi. Macam saya, saya jaga stamina dengan berjogging, berlari di track, berbasikal dan aktiviti yang bersesuaian,” kata Awie yang cukup popular dengan lagu “Tragedi Oktober, Nur Nilam Sari dan Senja Nan Merah.”
Menurut pelantun lagu “Terima Kasih,” “Ratuku” dan “Bara,” semenjak menceburi bidang nyanyian, setiap hari dia akan pastikan sentiasa berlatih menyanyi.
Disebabkan terlalu kerap berlatih, Awie pernah mengalami masalah ‘kotak suara koyak’ pada tahun 1993 dan 2007.
“Setiap penyanyi takut jika kotak suara koyak. Saya pernah mengalami situasi ini dan bagi saya ia adalah satu tragedi yang begitu menakutkan.
“Suara adalah aset saya untuk mencari rezeki demi kelangsungan hidup kami sekeluarga. Sejak tragedi itu saya sentiasa menjaga aset saya. Jika tidak boleh menyanyi bagaimana saya nak menyara isteri dan anak-anak. Demi mengatasi masalah ini, jalan mudah dan selamat saya terpaksa menjalani pembedahan membuang bengkak tersebut.
“Setelah dibedah saya hanya makan ubat dan dilarang bercakap atau berbual selama seminggu. Setelah beransur ‘baik’ saya masih risau dengan suara saya. Ketika itu, apa saja kursus atau bengkel berkaitan suara, saya akan ikuti demi menaikkan semangat dan keyakinan diri. Ini termasuklah bengkel cara membaca berita, membina keyakinan diri dan macam-macam lagi,” cerita Awie sambil ketawa mengenang kembali peristiwa hitam yang hampir meragut suaranya.
Disebabkan kini masyarakat dunia memberi prihatin terhadap isu Palestine, ramai yang mempertikaikan Awie mengadakan konsert pada waktu yang tidak sesuai.
“Saya ada keluarga. Saya kena bekerja bagi menyara anak-anak dan keluarga saya. Janganlah disebabkan Palestine dan Israel berperang kami pula yang kebuluran disini.
“Kami ada cara kami sendiri bagi menyatakan sokongan kepada penduduk di Gaza. Saya bersama geng motor kami seramai 300 orang berkonvoi dan berkumpul di Masjid Negeri di Perak. Cara kami tunjukkan adalah ‘Solidarity Ride Free Palestine.’ Di mana kami semua solat Maghrib, Isyak dan solat hajat bagi keselamatan orang-orang Palestine. Semoga doa kami dimakbulkan Allah,” ujar Awie yang kini sibuk mengumpul lagu untuk album terbaharunya.
Awie kini hidup bahagia bersama isterinya, Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin dan seorang anak lelaki. Manakala perkhawinan terdahulu dengan Arni Nazira, Awie mempunyai dua orang anak iaitu Putri Aleeya Antasha, 23, dan Putri Aleefa Antasha, 21. Sementata bersama Rozana Misbun mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Putra Ahmad Merrah, 16, Putra Ahmad Rezzki, 15, dan Puteri Qasseh Antasha, 13.
Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.