Allahyarham seniwati Normadiah sentiasa dirindui oleh peminat filem Melayu.

Oleh: SYED WAFA
Foto Koleksi Syed Wafa

APABILA bercakap mengenai Allahyarham Seniwati Normadiah pasti terbayang di minda anda hanya ‘watak hitam’ yang pernah dilakonkannya dan membuatkan penonton ‘benci’ antaranya isteri curang dalam filem “Semerah Padi” (1956) dan ibu tiri yang garang dalam “Lela Manja” (1960).

Khabarnya babak Dang Suri (Normadiah) memukul Manja (Bat Latiff) dalam babak setelah sayong berisi air pecah bukanlah lakonan semata-mata sebaliknya ia adalah realiti dan memang menyakitkan. Tetapi kalau sudah itu kehendak skrip sama ada Normadiah atau Allahyarham Bat Latiff, mereka melaksanakannya dengan cemerlang!

SENIWATI ‘versatile’…Normadiah bukan setakat boleh berlakon malah beliau boleh menari dan menyanyi.
SATU babak dari filem “Lela Manja.”
Tanpa perasaan belas Dang Suri (Normadiah) memukul Manja (Bat Latiff) kerana sayong yang mengandungi air jatuh dan pecah.

Itulah Seniwati Normadiah dilahirkan sebagai Edith Sumampouw dan berasal dari Menado, Sulawesi Utara, Indonesia. Beliau adalah anak kepada Estefanus Louis Sumampouw dan Suzanne Mathilde Huwae.

Setelah memeluk Islam, beliau menukar namanya kepada Norma Abdullah. Beliau yang dilahirkan dalam keluarga seni memulakan kerjaya seninya apabila berhijrah ke Singapura pada tahun 1940-an sebagai guru tari dan penyanyi kumpulan bangsawan.

Apabila ramai pelakon bangsawan beralih ke filem Normadiah mencuba nasib dan “Seniwati” (1953) adalah filem pertama lakonannya.

NORMADIAH sebagai Melati ‘tarzan wanita’ dalam satu babak filem “Belantara.”
KRU di lokasi pengambaran filem “Belantara” terbitan tahun 1957.

Allahyarham Seniman AR Tompel sebagai pengarah bersama filem berkenaan ketika beliau temui di Nusantara Film Corporation adalah orang yang bertanggungjawab menukar nama Norma Abdullah kepada Normadiah. Alasan AR Tompel nama itu akan membuatkan beliau lebih dekat di hati para peminat filem Melayu!

Menelusuri seorang Normadiah, beliau bukan calang-calang seniwati bukan sahaja sejak zaman Studio Jalan Ampas malah sehingga hari ini belum ada seorang seniwati yang boleh menandingi kehebatan dan keberanian isteri kepada Allahyarham Seniman Aziz Jaafar.

Normadiah berjaya bawa perlbagai watak!
NORMADIAH bersama Allahyarham Seniman Shariff Dol (tengah) di set pengambaran sebuah filem.

Beliau sememangnya dilahirkan sebagai ‘seorang seniwati yang versatile’ dan satu-satunya ‘bintang yang bergemerlapan’ dengan bakat dan anugerah-Nya yang tidak dimiliki oleh seniwati lain.

Realitinya selain berbakat dalam bidang lakonan dan mampu menyantuni pelbagai watak dan karakter bukan sahaja sebagai ibu tiri yang garang dan isteri curang malah beliau juga boleh membuatkan penonton ketawa dengan lawaknya.

DI ZAMAN popularitinya, NORMADIAH turut diundang menjadi penghias muka depan Majalah Filem dan Sport.
NORMADIAH sebagai Aloyah dalam filem “Ali Baba Bujang Lapok.”
Selain berlakon beliau juga merupakan salah seorang anggota Panca Sitara. Filem ini adalah yang terakhir menggandingkan Normadiah dengan P. Ramlee.

Beliau juga berbakat sebagai penari dan pereka tari tarian tradisional Melayu bukan sahaja untuk babak dalam filem pada zaman kegemilangan filem Melayu, malah pada era 1980-an beliau mempunyai kumpulan penarinya yang dikenali Normadiah Dancers dan sering mengiringi persembahan para artis dalam program hiburan terbitan RTM.

Memiliki suara yang lunak didengar Normadiah juga pernah berduet dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dalam filem “Bujang Lapok, Panggilan Pulau, Perjodohan dan Siapa Salah.”

Dalam filem “Siapa Besar”(1964) bersama Aziz Sattar.
SENIWATI Studio Jalan Ampas yang menjadi pujaan ramai ketika era filem Melayu 1950-an.
Duduk kiri: Normadiah dan Allahyarham Mariam.
Berdiri kanan: Saadiah dan Dayang Sofia.

Lagu duet Normadiah dengan P. Ramlee antaranya “Bulan dan Juga Angin, Mengapa Riang Ria dan Kumbang dengan Bunga.”

Bukan itu sahaja malah Normadiah adalah ahli asal kumpulan Panca Sitara yang kemudian diganti oleh Saloma. Tetapi setelah Saloma meninggal dunia pada 24 April 1983, beliau menyertai semula Panca Sitara sehingga akhir 1990-an yang dianggotai oleh Allahyarham Datuk Ahmad Daud, Allahyarham Seniman Datuk Aziz Sattar, Aziz Jaafar dan Allahyarham Nasir P. Ramlee.

Setelah “Seniwati,” Normadiah berhijrah ke Malay Film Production (MFP) di Studio Jalan Ampas. Bersama MFP beliau membintangi sebanyak 26 filem dengan dua daripadanya berpasangan dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dalam filem “Salah Siapa,” (1953), “Panggilan Pulau” (1954) dan filem terakhir bersama MFP ialah “Raja Bersiong” (1968).

Antara barisan artis yang berangkat ke Congo pada 3 April 1961.
Bersama seniwati Hashimah Yon di Congo (1961)
Kenangan manis di Congo.

Sementara itu, Normadiah juga berpeluang berlakon dalam tiga filem arahan P. Ramlee iaitu “Semerah Padi” (1956), “Bujang Lapok” (1957) dan “Ali Baba Bujang Lapok” (1961).

Sepanjang perjalanannya sebagai pelakon, Normadiah mencatatkan sejarahnya tersendiri sebagai Seniwati paling berani melakonkan babak bersama ular sawa bukan sahaja pada era kegemilangan filem Melayu di Studio Jalan Ampas malah sehingga hari ini belum ada seorang pelakon yang sanggup menjalani babak bersama ular sawa melainkan babak itu dilakonkan oleh pelakon lagak ngeri!

Bukan sekali beliau harus bergelut dengan ular sawa malah dua kali iaitu dalam filem “Belantara” (1957) dan “Lubalang Daik” (1962).

PERDANA Menteri ketika itu, Almarhum Tunku Abdul Rahman bergambar bersama Seniwati dari Studio Jalan Ampas.
Dari kiri: Seniwati Datuk Dr. Sarimah, Allahyarham Seniwati Normadiah, Allahyarham Seniwati Rahmah Rahmat dan Allahyarham Seniwati Datin Saadiah.
ALLAHYARHAM P. Ramlee (berkemeja warna pucuk pisang) bersama seniwati dan seniman Studio Jalan Ampas.
Dari kiri: Ali Fiji, S. Sudarmaji dan Zaiton.
Dari kanan: Aziz Sattar dan Normadiah.

Filem “Belantara” arahan S. Ramanathan, sebagai Tarzan wanita yang juga gadis pulau bernama Melati, berminggu-minggu Normadiah berlatih untuk babak berlawan, bergelut dengan ular sawa, berenang dalam laut bergelombang dan berenang menentang arus sungai yang deras, menunggang gajah dan melompat dari pokok ke pokok. Semuanya beliau berjaya lakukan sendiri.

Malang tidak berbau apabila penggambaran yang melibatkan Normadiah bergelut dan bergusti dengan seekor ular sawa liar yang pernah menelan seekor binatang dengan ganas membelit badan Normadiah sehingga sukar bernafas, menggigit tangannya yang mana akhirnya beliau pengsan!

Nasib menyebelahinya apabila Allahyarham Seniman Nordin Ahmad dan kru yang berada di situ dengan pantas menangkap dan melepaskan belitan ular sawa berkenaan.

Berikutan kejadian itu, beliau dikejarkan ke hospital dan dua minggu beliau berehat. Walaupun kejadian ngeri yang dialami, namun beliau bersyukur kerana kandungannya selamat. Tanpa pengetahuan semua, ketika penggambaran babak itu beliau sedang mengandungkan Sharifah Hasnor, anak sulung bersama suaminya, Syed Hassan.

Selepas sihat, Normadiah meneruskan penggambaran babak tersebut dan kali ini, Pete, ular sawa liar dan ganas sepanjang 20 kaki itu yang dibeli dengan harga 75 ringgit tewas di tangan Melati (Normadiah).

NORMADIAH, Hashimah Yon dan Dayang Sofia bersama aktres Hollywood, Elizabeth Taylor di Festival Filem Asia Pasifik, di Tokyo pada tahun 1950-an.
FILEM “Aksi Kucing” menggandingkan Normadiah, Aziz Sattar dan Zaiton.

Selain Normadiah, “Belantara” turut dibintangi Nordin Ahmad, Allahyarham Salleh Kamil, Allahyarham Ibrahim Pendek, Allahyarham S. Shamsuddin tetapi sayangnya filem berkenaan musnah akibat banjir besar yang melanda Studio Jalan Ampas!

Lima tahun kemudian, sekali lagi dan kali ini dalam filem “Lubalang Daik” (1962), Normadiah diberi watak yang melibatkan babak bergelut dengan ular sawa tetapi tidak seganas Pete. Bagaikan telah dijanji dalam filem ini juga Normadiah sedang hamil dan beliau mengandungkan Azlina Aziz, anak sulung beliau bersama Aziz Jaafar.

Hampir empat dekad dalam dunia seni, Normadiah telah membintangi hampir 60 filem dengan filem terakhir “Orang Kampung Otak Kimia” (1990).

KEJELITAAN Normadiah terserlah dan menjadi kegilaan peminat filem Melayu ketika itu.
NORMADIAH bergaya dengan kebaya.
NORMADIAH bersama Zaiton.

Normadiah yang pernah berkahwin tiga kali iaitu Abdul Rahman dan Syed Hassan Sahab yang berakhir dengan perceraian sementara Aziz Jaafar kekal sehingga akhir hayatnya, dikurniakan lima orang anak antaranya Sharifah Hasnor dan Syed Hasnorolekzan Syed Hassan Alshahah atau lebih dikenali Ekzan, Azlina dan Liza Aziz.

Seniwati Normadiah juga bersama seniwati Hashimah Yon, Allahyarham S.M. Salim, Allahyarham Ismail Botak serta Allahyarham Hamzah Dolmat telah mewakili Tanah Melayu ketika itu ke Congo selama sebulan pada 3 April 1961 untuk bertemu anggota Malayan Special Forces (MSF) serta menghiburkan anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang lain.

NORMADIAH tampak manis dengan berselindang
TIGA bintang…Allahyarham Puan Sri Saloma, Normadiah dan Datuk Rosnani.

Selama bergelar anak seni beliau pernah menerima Anugerah Khas Juri bagi Rekaan Pakaian Tradisional Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-3 (FFM3) pada tahun 1982.

Sementara pada Festival Filem Malaysia ke-6 (FFM6) pada tahun 1986 beliau menerima Anugerah Khas Pelakon Wanita Veteran.

PASANGAN bahagia…Normadiah bersama suami tercinta, Allahyarham Aziz Jaafar.
AZIZ Jaafar dan isteri tersayang, Normadiah.

Pada Festival Filem Malaya 1955, Normadiah menerima Anugerah Aktres Terbaik kerana lakonannya dalam filem “Empat Isteri” (1955).

Lakonannya sebagai Dang Suri, ibu tiri yang garang dalam filem “Lela Manja” telah melayakkan beliau dianugerahkan Aktres Pembantu Terbaik pada Festival Filem Malaya 1960.

ANAK-anak kesayangan pasangan suami-isteri, Aziz Jaafar dan Normadiah.
Berdiri dari kiri: Azlina Aziz, Syed Ekzan dan Liza Aziz bersama rakan mereka.
KE MANA tumpahnya kuah…Azlina dan Liza Aziz mewarisi bakat ayah dan ibu mereka.
SHARIFAH Hasnor pandai menari, nampaknya beliau mewarisi bakat ibunya, Normadiah.

Normadiah juga pernah menerima Anugerah Seniwati Sepanjang Zaman di Konsert Diva 2000 yang diadakan di Singapura.

Beliau juga menerima Anugerah Panggung Era di Anugerah Era 2001.

Saya juga tidak akan lupa pengalaman bersama seniwati legenda ini.Beliau seorang yang begitu ramah dan mudah berkongsi pengalaman jika ditanya pengalaman sepanjang bergelar anak seni.Seni sudah menjadi darah daging bagi beliau,malah hidup dan matinya adalah sebagai anak seni.

Kenangan indah Syed Wafa (Penulis) bersama seniwati legenda Normadiah.

Normadiah meninggal dunia di Hospital Assunta, Petaling Jaya pada usia 67 tahun kerana penyakit apendiks dan kencing manis pada 8 Ogos 2000.

Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang beriman… Amin.

NORMADIAH disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.
Previous articleBerdoalah…
Next articlePes Sambal Dan Gulai Ratu Tumis Rasa Rosz Melazatkan Rendang Daging !

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here