Oleh SYED WAFA
Foto Koleksi Syed Wafa

SIPUT Sarawak, satu nama yang cukup sinonim dengan watak antogonis dalam filem-filem Melayu sejak era 1950-an. Nama itu tetap kekal di hati para peminat filem Melayu sejak dahulu sehingga hari ini.

Walaupun ramai yang ‘membencinya’ kerana watak yang dilakonkan itu tetapi hakikatnya ramai yang merindui seniwati yang seorang ini.

DENGAN kecantikan yang dimiliki walaupun sering melakonkan watak ‘perempuan jahat’ … Siput Sarawak tetap menjadi pujaan para peminat filem Melayu.

Berilah apa jua watak kepadanya sama ada ibu tiri yang kejam, kekasih yang curang dan isteri derhaka, dia mampu membuatkan penonton benci dan meluat malah mendoakan ‘beliau’ mendapat pembalasan kerana kejahatannya.

Itulah Allahyarham Seniwati Siput Sarawak yang berjaya mewarnai setiap watak antoganis yang diberikan dalam setiap filem lakonannya!

Penghayatannya yang begitu ‘mendalam dan berkesan’ bukan sahaja membuatkan penonton benci dan sakit hati tetapi apa yang pasti sehingga hari ini belum ada pelakon yang mampu menandinginya.

ALLAHYARHAM Dollah Sarawak yang memperkenalkan anaknya, Siput Sarawak dalam dunia lakonan bermula sebagai pelakon bangsawan “Siput Kuyung” pada tahun 1932.

Siput Sarawak atau nama sebenarnya Ramlah Mohamad memulakan kerjayanya sebagai ‘anak seni’ pada usia 11 tahun apabila berlakon bangsawan “Siput Kuyung” bersama bapanya, Mohamad Sulaiman yang lebih dikenali Dollah Sarawak.

Walaupun Siput Sarawak mempunyai kelemahan iaitu tidak lancar membaca tetapi beliau seorang yang terang hati kerana hanya sekali skrip filem lakonannya yang dibacakan oleh seseorang untuk beliau dan pasti seniwati hebat ini boleh menghafalnya dengan mudah. Filem “Singapura Di Waktu Malam” (1947) adalah filem pertama lakonan beliau.

SIPUT Sarawak yang kadangkala membuatkan para peminat filem Melayu ‘benci’ apabila beliau melakonkan watak ‘perempuan jahat.’
SIPUT Sarawak dan P. Ramlee dalam satu babak filem “Chinta” yang diterbitkan pada tahun 1948.

Sejak itu, satu demi satu filem dilakonkan. Sepanjang 28 tahun kariernya sebagai pelakon, Siput Sarawak telah berlakon hampir 40 filem terbitan Malay Film Productions (Studio Jalan Ampas), Cathay Keris, Studio Merdeka dengan filem terakhir “Layar Lara” terbitan Pesona Pictures Sdn. Bhd.

“Layar Lara” arahan Shuhaimi Baba dengan skrip oleh Fatimah Abu Bakar, menampilkan Siput Sarawak sebagai ibu Auntie Zai (lakonan Allahyarham Azean Irdawaty) diterbitkan pada tahun 1997. Turut berlakon Allahyarham Seniman Aziz Jaafar (Uncle Aziz), Allahyarham Seniman Datuk Mahmud June (Uncle Jeff), Allahyarham Datuk Aziz Sattar (Uncle Osman).

SIPUT Sarawak dan Roomai Noor dalam satu babak filem “Chinta” yang akhirnya membawa mereka hidup sebagai suami isteri.

Antara filem-filem lakonannya yang telah meletakkan namanya di kelasnya yang tersendiri adalah “Rachun Dunia” (1950), “Hujan Panas” (1951), “Korban Fitnah” dan “Noor Islam” (1959), “Sultan Mahmud Mangkat Dijulang” (1961), “Patong Chendana” (1965) dan “Naga Tasik Chini” (1966).

Khabarnya “Hujan Panas” adalah antara filem yang melekat di hati Siput Sarawak kerana wataknya sebagai Aminah, seorang isteri yang curang sanggup meninggalkan suami, Amir (Allahyarham Tan Sri P. Ramlee) untuk mengikut kekasihnya, Hassan (Allahyarham Haji Mahadi). Sejak dari filem itu, Siput Sarawak terus mendapat peluang melakonkan watak jahat!

Apa yang pasti pada zaman kegemilangan filem Melayu di Studio Jalan Ampas ketika itu, selain Allahyarham Seniman Salleh Kamil, Siput Sarawak adalah pelakon yang menjadi kebencian penonton kerana keberkesanan lakonannya!

SAAT bahagia…Siput Sarawak dan S. Roomai Noor sebagai suami isteri pada 1951 sehingga 1953.
SIPUT Sarawak dan S. Roomai Noor dalam satu babak filem “Pembalasan” arahan Tan Sri L. Krishnan yang diterbitkan pada tahun 1951.

Bagaimanapun filem “Chinta” (1948) arahan B.S Rajhans meninggalkan kesan yang begitu indah dalam hidupnya apabila bertemu jodoh dengan Allahyarham Datuk S. Roomai Noor. Pasangan ini berkahwin pada tahun 1951 dan dikurniakan seorang anak yang diberi nama Ithnaini yang lebih dikenali sebagai Anita Sarawak yang mencipta nama di peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun rumahtangga yang dibina atas dasar cinta itu tidak kekal lama apabila akhirnya pada tahun 1953 mereka bercerai.

Zaman kegemilngan Siput Sarawak sering menjadi model jenama terkenal.
KEJELITAAN dan bakat Siput Sarawak membuatkan beliau menjadi rebutan para pengarah pada era kegemilangan filem Melayu sejak tahun 1950-an.
Zaman kegemilangan Siput Sarawak.
Walaupun Siput Sarawak tidak lancar membaca tetapi beliau mudah menghafal skrip.

Sebelum itu, Siput Sarawak pernah berkahwin dengan Biduan, Ismail Kassim pada tahun 1945 dan bercerai pada tahun 1947. Perkahwinan pertama ini, Siput Sarawak dianugerahkan seorang anak iaitu Murni Ismail Kassim yang lebih dikenali Murni Sarawak.

Khabarnya setelah setahun Murni Sarawak berkahwin dengan Seniman Dollah Dagang, pasangan ini bercerai pada tahun 1963. Empat tahun kemudian, Murni Sarawak berkahwin dengan jejaka dari Indonesia, Maryono Sastro Surip pada tahun 1967 dan menetap di sana walaupun suaminya meninggal dunia pada tahun 1998. Murni Sarawak meninggal dunia pada usia 70 pada 7 April 2016 dan dikebumikan di Taman Permakaman Umum, Menteng Pulo, Jakarta Selatan, Indonesia.

SIPUT Sarawak tanpa secalit bedak tetap cantik!
SIPUT Sarawak bergaya seksi dan manja.

Disebabkan kehebatan Siput Sarawak dalam mewarnai watak antoganis yang dilakonkan dan pengalamannya serta popularitinya sebagai seniwati hebat pada era 1940-an dan 1950-an, ianya telah menarik perhatian Pengarah Urusan Cathay Keris, Tom Hodge untuk memberinya peluang mengarah filem.

Apabila mengetahui akan perancangan Tom Hodge, Siput Sarawak telah menggunakan duit sendiri membayar seorang jurutaip menaip skrip karya pertamanya, “Mata Shaitan.”

WALAUPUN hanya mengenakan mekap yang ‘nipis’ keayuan wajah Siput Sarawak tetap terserlah!
GAYA seorang seniwati hebat…Siput Sarawak.

Melalui perbincangan antara Tom Hodge dengan penulis skrip tetap Cathay Keris, Allahyarham Hamzah Hussein bersetuju Siput Sarawak mengarah filem berkenaan. Beliau telah mengeluarkan kenyataan rasmi Siput Sarawak dilantik sebagai pengarah baharu di Cathay Keris.

Malangnya, perlantikan itu dibantah oleh Kesatuan Pekerja Cathay Keris Film yang bernaung di bawah Persatuan Sayap Kiri yang amat berpengaruh. Persatuan itu menganggap Siput Sarawak tidak layak kerana tiada pengalaman dan banyak kekurangan iaitu tidak lancar membaca. Kerana sikap dengki mereka, musnahlah impian Siput Sarawak untuk menjadi Pengarah Filem Melayu Wanita Pertama!

MURNI Sarawak mengikut jejak ibunya, Siput Sarawak. Beliau telah berlakon 18 filem tetapi wataknya sebagai ‘Cikgu Murni’ dalam filem “Nasib Si Labu Labi” (1964) membuatkan para peminat filem mengingatinya.
Anita Sarawak banyak persamaan dengan ibu tercinta, Siput Sarawak
SIPUT Sarawak bersama anaknya, Anita Sarawak dan suaminya, Broery Marantika.
Pasangan ini berkahwin pada tahun 1981 di Singapura.

Akhirnya skrip itu diserahkan kepada Pengarah Hussein Haniff dan dua filem arahannya “Hang Jebat” (1961) dan “Dang Anom” (1962) mencapai kutipan tiket box-office ketika itu.

Walaupun Siput Sarawak turut berlakon dalam filem berkenaan namun terkilan kerana karya asalnya yang menggambarkan seorang wanita yang lembut penuh emosi namun setelah diolah ia bertukar menjadi wanita yang kejam.

Sepanjang 28 tahun menjadi anak seni, lakonan Siput Sarawak dalam filem “Rachun Dunia” (1950) telah melayakkan beliau menerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada Pesta Filem Malaysia/Singapura pada tahun 1947-1950.

SIPUT Sarawak menerima Anugerah Artis Veteran pada Festival Malaysia ke-9 (FFM9) daripada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Taib pada 2 Jun 1991 sambil diperhatikan Allahyarham Tan Sri Jins Shamsudin.
POSTER ” Layar Lara” filem terakhir lakonan Siput Sarawak arahan Shuhaimi Baba terbitan Pesona Pictures Sdn. Bhd. pada tahun 1997.

Sementara pada tahun 1964 pada Pesta Filem Malaysia/ Singapura, beliau dianugerahkan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik melalui filem “Wan Perkasa” (1964).

Pada Festival Filem Malaysia ke-9 (FFM9) pada tahun 1991 bagi kategori Khas Juri, Siput Sarawak menerima Anugerah Artis Veteran.

Walaupun di dalam filem kebanyakkan watak Siput Sarawak sebagai wanita yang jahat tetapi di luar filem beliau seorang yang begitu lemah lembut bila berbicara. Ini terbukti ketika saya bertemu beliau dalam satu majlis anjuran FINAS dan saya berkesempatan berbual bersama seniwati legenda ini. Pastinya itu kenangan yang amat berharga buat saya bertemu dengan insan hebat bernama Siput Sarawak!

PENULIS, Syed Wafa merakamkan kenangan indah bersama Siput Sarawak.

Siput Sarawak meninggal dunia di rumahnya di Kempas Road, Singapura pada usia 78 tahun pada 3 Jun 1999. Jenazah Allahyarham disemadikan di Pusara Abadi, di Lim Chu Kang, Singapura.

Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang yang beriman…Amin.

Previous articleFazura kembali berlakon selepas lama ‘berehat’
Next articleLebih 40 menu yang lazat menanti anda di Restoran Rasa Rosz, AEON Big, Wangsa Maju!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here