assorted-color apparel lot
Photo by Baby Natur on Unsplash

Oleh Nury Kadir

Luiz adalah kanak-kanak lelaki berusia lima tahun (ketika artikel di dalam BBC itu ditulis 2020) suka memakai baju perempuan, mengenakan perhiasan dan berdandan seperti kanak-kanak perempuan. Malah Luiz telah mula dipakaikan baju perempuan seawal usia dua tahun.

César dan Maria yang tinggal di Santa Catarina, selatan Brazil mula membenarkan anaknya berpakaian seperti kanak-kanak perempuan secara terang-terangan sejak tahun 2018. Namun tindakan itu menimbulkan kegusaran dikalangan jiran tetangga. Malah tindakan mereka pernah dilaporkan kepada pihak berkuasa dan kes tersebut selesai kerana ia tidak melanggar hak asasi anak.

Luiz bebas berpakaian perempuan walaupun dia dilahirkan sebagai lelaki. Setelah sekian lama terbiasa dengan baju dan perhiasan perempuan yang cantik, Luiz mula merasakan bahawa dia adalah perempuan yang terperangkap dalam tubuh lelaki.

César mahu pun Maria, tidak pernah menghalang keinginan Luiz untuk menjadi perempuan. Mereka menyokong sepenuhnya malah telah memikirkan rawatan hormon dan pembedahan menukar jantina secara sah.

Portrait of woman wearing teal eyelashes
Photo by Alexander Grey on Pexels

Kanak-kanak itu baru berusia lima tahun, apa yang mereka tahu? Di Malaysia pun sudah ada trend, emak-emak yang mendandan dan menyolek anak lelaki mereka seperti perempuan. Kemudian dipakaikan tudung dan baju perempuan, katanya dilakukan itu hanya suka-suka sekadar hendak bergambar. Kalau sekadar untuk ambil gambar sahaja tidak mengapa tetapi tangan gatal pula…post di media sosial.

Selain suka-suka, ada juga emak-emak yang melakukannya kerana teringin sangat mempunyai anak perempuan. Setiap kali nampak baju kanak-kanak perempuan mesti dibeli, alasannya cantik. Maka anak lelaki jadi mangsa untuk menggayakan baju kanak-kanak perempuan yang dibeli. Mula-mula memang suka-suka, takut lama-lama jadi macam kisah Luiz.

Adakah di dalam Islam atas alasan suka-suka itu boleh?
Ini adalah jawapan yang dipetik dari Al Khafi li al-Fatawi (https://muftiwp.gov.my), perbuatan ibu yang mendandan anak lelaki sehingga menjadi seperti perempuan adalah perbuatan yang jelas haram dan tidak dibenarkan walaupun alasannya untuk suka-suka.

Mari kita lihat huraian panjang lebar mengenai hukum haram perbuatan tersebut. Jawapan itu nanti akan berkait dengan tuntutan berhias dan berpenampilan elok. Meskipun berhias itu adalah suatu perkara yang harus namun ada batas yang ditetapkan oleh Islam.

Islam bukan soal agama sahaja tetapi merangkumi seluruh kehidupan. Sebagaimana yang diungkapkan oleh Pakar Motivasi Islam Kuwaiti, Dr Tareq Al-Suwaidan, “Islam is not a religion. It’s a way of life that teaches us about our relationship with Allah, with the universe and our relationship wih ethnic with the economy and our political system.”
Berbalik kepada persoalan di atas, ini penjelasan Al Khafi li al-Fatawi (https://muftiwp.gov.my), Islam mengharuskan umatnya untuk berhias dan menonjolkan penampilan yang elok. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat 26;

Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).”

Sheikh Ahmad bin Muṣṭafā al-Marāghī menjelaskan bahawa Allah mengurniakan nikmat pakaian kepada manusia, bermula pakaian yang digunakan untuk menutup aurat sehingga jenis-jenis perhiasan yang cantik.

Image by Freepik

Namun begitu, perhiasan dan penampilan tersebut mesti tidak melebihi batas yang telah ditetapkan oleh syarak. Tiada unsur penyerupaan lelaki dengan wanita atau wanita dengan lelaki. Rasulullah SAW melarang seorang lelaki menyerupai wanita, begitu juga sebaliknya.

Larangan itu dapat dilihat menerusi hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas, beliau berkata; Maksudnya, “Rasulullah SAW melaknat orang lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.” (Riwayat al-Bukhari)

Sheikh Badr al-Dīn al-‘Ainī, menjelaskan bahawa hadis diatas jelas menunjukkan pengharaman lelaki menyerupai wanita dan sebaliknya. Pengharaman ini termasuk penyerupaan dari segi pakaian, perhiasan dan perbuatan yang dikhususkan untuk lelaki atau wanita.

Oleh itu, perbuatan mendandan dan menyolek anak lelaki sehingga menjadi seperti perempuan adalah termasuk dalam larangan tersebut. Perkara ini juga dijelaskan oleh Sheikh Zakariyā al-Anṣārī di dalam perbahasan berkenaan perhiasan yang harus digunakan dan yang tidak boleh digunakan oleh lelaki dan perempuan.

Perkataan laknat yang terdapat dalam hadis bukan membawa maksud makruh akan tetapi memberi maksud haram. Menyerupai jantina lain dengan apa niat sekalipun adalah tidak dibenarkan. Hal ini berdasarkan peristiwa yang pernah berlaku kepada Sayyidah Ummu Salamah.

Dalam riwayat Abu Daud menyebut yang bermaksud, “Sesungguhnya Nabi SAW masuk bertemunya (Ummu Salamah) dalam keadaan Ummu Salamah memakai tudung. Kemudian Baginda bersabda: Satu lilitan sahaja, bukan dua lilitan.”

Abu Daud sejurus menukilankan hadis ini, menjelaskan makna sabda Nabi SAW, “satu lilitan sahaja, bukan dua lilitan”. Beliau menjelaskan bahawa Nabi SAW menegah Ummu Salamah daripada memakai tudung seperti lilitan serban lelaki. Isteri Rasulullah SAW memakai tudungnya dengan dua kali lilitan bukan berniat untuk menyerupai lelaki, malah kita yakin wanita seperti Sayyidah Ummu Salamah tidak mungkin terlintas dihatinya niat yang sebegitu rupa.

Namun amat jelas teguran Baginda SAW adalah tegahan agar seseorang sama sekali tidak berketerampilan seperti jantina berlawanan, meskipun tiada niat sebegitu dihati.

Daripada penerangan di atas boleh disimpulkan bahawa perbuatan ibu yang mendandan anak lelaki sehingga menjadi seperti perempuan adalah perbuatan yang jelas haram dan tidak dibenarkan walaupun dengan alasan bergurau atau suka-suka.

Perbuatan tersebut boleh mendorong anak-anak lelaki untuk menjadi wanita. Seorang ibu, seharusnya mendidik anak untuk menjadi manusia yang patuh pada ketetapan dan hukum Allah bukannya mendorong mereka melakukan perkara yang diharamkan (https://muftiwp.gov.my).

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Anak-anak itu lahir dalam keadaan fitrah. Ibu bapalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Riwayat al-Bukhari)

*BERSAMBUNG
Artikel akan datang akan menyentuh mengenai anak itu lahir dalam keadaan fitrah.

Previous articleKeputihan yang tidak dirawat boleh sebabkan mandul dan kanser rahim! (Bahagian 2)
Next articleRahsia Liza Hanim masih bertahan dua dekad!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here