Oleh Nafsiah Jani
Kejayaan menghimpunkan lebih 50,000 peminat sukan permotoran dalam Program Legacy Rider 1.0 yang lalu membakar semangat penganjur tampil dengan Event Legacy Rider 2.0 yang akan berlangsung esok (Jumaat) hingga Sabtu di KL Base (Bekas Lapangan Terbang Sungai Besi ).
Program anjuran Legacy Rider, ini turut mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak antaranya Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA), Majlis Amanah Rakyat (MARA),PUNB Malaysia, PERNAS dan GISB Holding.
Pengarah Urusan GGR Machine (M) Malaysia & Legacy Rider, Muhammad Musaddiq Mohamed Azmi berkata, kali ini, pihaknya menjangkakan lebih 50,000 hingga 60,000 peminat sukan permotoran akan datang ke karnival ini.
“Mulanya kami rancang nak buat di Stadium Shah Alam. Namun event ini terpaksa berubah tempat ke Lapangan Terbang Sungai Besi, Kuala Lumpur memandangkan kedudukannya yang strategik dan sesuai untuk acara berstatus mega begini.
“Program ini bermula dari jam 8 pagi sehingga 6 petang. Kami bercadang nak jemput Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perasmi event kerana kehadirannya akan memberikan satu penghargaan yang sangat bermakna bagi pihak Legacy Rider dan peminat sukan pemotoran di negara kita.
“Antara jemputan lain ialah YB Mulia Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Aziz (Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia) ataupun YB Puan Hannah Yeoh (Menteri Belia dan Sukan.”
Turut hadir Presiden Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia atau IRAMA, Ayob Abdul Majid, Pengarah GISB Holding (Global Ikhwan Services & Business Holdings), Hamdi Mohd Noor, selebriti jemputan, Achey Bocey, Ajak Shiro, Ucop Ahmad serta ikon-ikon media sosial antaranya Haqiem Stopa, Dinda Maira dan ramai lagi.
Muhammad Musaddiq menambah, pengunjung yang hadir juga berpeluang menyaksikan pelbagai pameran menarik antaranya himpunan 300 motor jenama Ducati.
“Event Legacy Rider 2.0 merupakan sebuah program yang menghimpunkan para belia yang terlibat dengan sukan permotoran dalam sebuah program yang santai dan pelbagai aktiviti dan hiburan dari rakan selebriti popular tanahair yang akan dijalankan.
“Pogram ini dijalankan untuk menyemarakkan industri pelancongan di negeri Selangor. Aktiviti ini juga bertujuan untuk mengeratkan ikatan silaturrahim antara kumpulan bermotosikal di seluruh negeri serta golongan belia yang menceburi sukan permotoran ini.
“Pengunjung bertuah juga berpeluang membawa pulang hadiah lumayan berupa sebuah kereta Honda dan tiga buah motosikal,” katanya tentang kerjasama rakan selebriti popular dan ikon-ikon media sosial (influencer) yang akan turut serta membantu dan mempromosikan event ini.
Antara selebriti jemputan yang hadir memberi sokongan ialah Achey Bocey, Black Hanifah, Ajak Shiro, Uchop Ahmad, Tajul dan ramai lagi.
Penulis, Nafsiah Jani adalah penyumbang tetap Lady Bosz. Beliau juga adalah juga bekas wartawan hiburan Utusan Malaysia.