Oleh Nafsiah Jani
Hebat! Itu ungkapan paling tepat dapat diberikan kepada penyanyi yang namanya kian meningkat naik menerusi ‘showcase’ siri jelajah album yang diadakan di Hard Rock Café, Melaka baru-baru ini.
Lebih membanggakan apabila persembahan sempena penerbitan album sulung berjudul Amir Masdi itu dihadiri 600 penonton yang datang dari serata negeri.
Apa yang pasti, Amir, 27, atau nama sebenar Amir Syazwan Masdi mengotakan janjinya untuk memberikan persembahan bertaraf ‘A Class’ dengan menyanyikan 21 lagu terdiri daripada lagu-lagu dalam album Amir Masdi, single terdahulu dan beberapa lagu penyanyi popular lain.
“Memang impian saya, siapnya album ini saya nak buat ‘album tour’ dan saya sangat gembira dan bersyukur apabila dapat menjayakan projek pertama ini di Hard Rock Cafe, Melaka.
“Saya terharu kerana penonton yang hadir pada persembahan siri jelajah album Amir Masdi terlalu sporting dan hebat-hebat belaka. Tanpa sokongan mereka, mustahil untuk saya berjaya berada atas pentas. Walaupun ada lagu baharu tapi mereka tetap menyanyi bersama. Semangat mereka itu menjadi aura untuk saya terus memberikan persembahan lebih baik pada masa akan datang,” katanya.
Dalam persembahan selama dua jam itu, Amir diiringi lima pemuzik berpengalaman. Kejayaan siri jelajah album di Melaka ini bakal diteruskan di beberapa lokasi lain di seluruh negara tidak lama lagi. Selepas ini, Amir Masdi akan berada di Wilayah Persekutuan Labuan.
“Ini adalah projek yang bagus kerana saya dapat berjumpa dengan peminat dari pelbagai negeri di Malaysia. Dalam perancangan, kami mahu jayakan di sebanyak lokasi yang mampu. Kalau boleh memang nak buat di setiap negeri, tapi itu akan diuruskan kemudian. Jadi, nantikan pengumuman dari masa ke semasa,” katanya.
Penulis, Nafsiah Jani adalah penyumbang tetap Lady Bosz. Beliau juga adalah juga bekas wartawan hiburan Utusan Malaysia.