Oleh Nafsiah Jani
Nasyid merupakan suatu genre muzik yang tak asing buat pendengar muzik Malaysia. Nama kumpulan seperti Raihan, Rabbani, Hijjaz, Saujana dan Nowseeheart masih terus unggul.
Namun, dalam komuniti peminat nasyid yang baharu, mereka sangat dahagakan sesuatu yang segar dan betul-betul menepati citarasa mereka sebagai anak muda. Sejak itu tertubuhlah AEYDAN yang dianggotai 6 orang anak muda berusia 20-an iaitu Ilham, Izwan, Farhan, Haikal, Fardeen dan Alif.
AEYDAN satu nama yang mempunyai auranya tersendiri, dalam bahasa greek atau latin sebutannya Eden iaitu bermaksud satu tempat yang cantik dan indah. Sebutan perkataan Aeydan juga rasa lebih moden, klasik dan Futuristic.
AEYDAN tidak asing dalam komuniti nasyid kerana kesemua anggotanya merupakan anak -anak ahli kumpulan nasyid Rabbani. Vokalis utama mereka merupakan anak keempat Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim.
Kini AEYDAN tampil dengan single pertama berjudul Bintang. Bintang merupakan penceritaan tentang tokoh-tokoh yang banyak berjasa dalam dunia dakwah khususnya penasyid-penasyid generasi awal. Bintang adalah satu kolaborasi bersama beberapa figura nasyid seperti Daqmie, Wan Saleh, Saujana, Nowseeheart dan Rabbani melalui label Scriptology Music dan Rabbani Empire Resources.
Video muzik Bintang arahan Suhairil Izham diterbitkan oleh Kashfy Studio. Mesej yang ingin disampaikan adalah tanpa ilmu, usaha… impian tinggi tak bisa digapai. AEYDAN membawakan genre world music dan lagu-lagu kerohanian berharmoni.
Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.