Oleh SYED WAFA

WALAUPUN Penghibur No. 1 Asia, Datuk Sudirman Haji Arshad telah 31 tahun 8 bulan (22 Februari 1992) meninggalkan kita semua namun bagi mereka yang rapat dengannya segala kenangan bersama Allahyarham tetap segar dalam ingatan.

Betapa tidak kerana penghibur bertubuh kecil yang digelar ‘The Singing Lawyer’ itu bukan sahaja telah mengharumkan nama negara di pentas dunia apabila dinobatkan sebagai Penghibur No. 1 Asia pada Salem Music Awards Festival di Albert Hall, London pada 19 Mac 1989 hakikatnya Allahyarham adalah seorang insan yang terlalu baik dan sentiasa menjaga hubungan silaturrahim sesama mereka.

SUDIRMAN Haji Arshad pada zaman remajanya.

“Kadangkala apabila Angah berada di dapur sendirian dan susah mencari barang yang nak digunakan antaranya pisau atau gunting. Ketika itu, Angah teringat macam Sudir ada sebab arwah suka mengusik dan bila teringatkan Sudir dan sahut nama arwah, tiba-tiba benda yang tak jumpa itu ada di depan mata.

“Sebabnya ketika Sudir masih ada, Arwah memang suka temankan Angah di dapur dan suka mengacau Angah. Kini walaupun sudah lebih 31 tahun Sudir pergi segala kenangan bersama beliau masih segar dalam ingatan kerana Angah jaga Sudir sejak ‘baby’ lagi,” cerita Datin Rodziah Arshad yang mesra disapa Angah, anak kedua daripada tujuh beradik satu emak dan satu bapak, ketika saya temui baru-baru ini.

SUDIRMAN membuat persembahan ketika di zaman persekolahannya.
Allahyarham ayah dan emak Sudirman. Hajjah Romlah Dahalan dan Haji Arshad Haji Hassan.

Sudirman Haji Arshad meninggal dunia kerana radang paru-paru di rumah kakaknya, Rodziah pada pukul 4.00 pagi 22 Feb 1992 di Bangsar, Kuala Lumpur dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chengal, Temerloh, Pahang.

Menurut Rodziah, Sudirman begitu rapat dengannya kerana beliau menjaga Allahyarham sejak ‘baby’ kerana ibu mereka, Allahyarham Hajjah Romlah Dahalan sibuk dengan politik dan beliau adalah Ketua Kaum Ibu UMNO (Perhubungan Negeri Pahang) dan beliau menjadi Wakil Rakyat kawasan Triang, Temerloh pada tahun 1955. Ibu mereka meninggal dunia pada 1959 ketika Sudirman berusia lima tahun.

Menjuarai Bintang RTM pada tahun 1976
SUDIRMAN bersama kakak kesayangannya, Rodziah Arshad.

Sementara ayah mereka, Allahyarham Haji Arshad Haji Hassan adalah Pengurus Syarikat Bas Temerloh, juga ahli UMNO dan merupakan Timbalan Yang diPertua Majlis Perbandaran Temerloh Pahang. Selepas isterinya meninggal, beliau berkahwin dengan Hajjah Mariam Ahmad Mohamad dan mereka dikurniakan sepasang anak.

Menurut Rodziah lagi, walaupun Sudir telah lama pergi tetapi beliau amat kecewa apabila ada cakap-cakap yang tidak elok mengenai arwah adiknya yang menjadi percakapan mereka di luar terutama penyakit punca arwah meninggal dunia.

SUDIRMAN Haji Arshad bersama anak buah dan kakak tersayang

“Sebagai kakak yang menjaga Sudir sejak kecil, Angah sedih bila timbul fitnah yang memburukkan Sudir kerana Angah yang jaga Arwah sejak sakit sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhir di depan mata Angah,” luah Rodziah yang kecewa dengan fitnah yang dilemparkan kepada arwah Sudirman.

Bagi Razman Azrai Zainudin atau lebih dikenali Atai yang memilikki banyak persamaan dengan Cokman (panggilan buat Sudirman) apabila ditanya mengenai Sudirman, berkata;

KENANGAN…Atai bersama pakcik kesayangannya, Sudirman yang lebih mesra dipanggil, Cokman.

“Bagi saya Cokman adalah artis sejati kerana sehingga hari ini tiada pengganti beliau dan pastinya Cokman menjadi khazanah berharga untuk negara tercinta.

“Cokman banyak mengajar Atai untuk menjadi seorang anak seni. Bersama dengan Cokman adalah memori indah dalam hidup Atai yang tidak mudah dilupakan. Atai bangga mempunyai seorang bapa saudara seperti Cokman,” kata Atai bersungguh-sungguh.

Atai kini lebih utamakan kerjaya lain dan hanya jadikan seni sebagai mengisi masa lapang beliau.

Bersama sahabat rapat Habsah Hassan dan suami Mohamed Jusoh

Bagi penulis lirik terkenal, Datuk Habsah Hassan atau lebih mesra panggilan Kak Chah yang telah banyak menulis lirik untuk ramai penyanyi terkenal dan ketika ditanya mengenai Sudirman berkata;

“Kalau nak diceritakan tentang Sudirman terlalu banyak tetapi bagi saya Arwah adalah seorang insan seni tersangat istimewa.

“Banyak kenangan bersama Sudir kerana kami agak rapat tetapi bagi saya kehilangan Arwah memang sukar dicari ganti. Tidak mungkin akan ada ‘Sudir baru.’

“Hubungan kami bukan setakat penulis lirik dengan penyanyi tetapi kami bagaikan adik beradik sejak saya menghasilkan lirik ‘Suratku Untukmu’ dan ‘Teriring Doa’ untuk EP pertama (album mengandungi empat lagu) selepas Arwah menjuarai Bintang RTM 1976.

“Satu yang saya tak boleh lupakan, Sudir ni memang manja sebab saya sudah anggap dia macam adik saya.

MEREKA yang hadir pada hari Sudirman meninggal dunia. Wartawan Saodah Ismail (berbaju maroon), Norishah Sulaiman (baju putih) dan Habsah Hassan (kanan).

“Kadang-kadang saya ‘geram’ pernah satu hari, lunch time beliau ‘call’ saya minta tolong buatkan skrip untuk ‘dinner show’ malam itu dan saya tanya mengenai majlis berkenaan.

“Masa tu mana ada ‘handphone’ terpaksalah saya tulis tangan kemudian ‘call’ dan suruh Sudir salin. Sambil ketawa beliau menyalinnya sebab Sudir tahu saya tidak akan menghampakannya,” cerita Habsah Hassan.

Menurut Habsah Hassan, beliau kecewa apabila ada pelbagai cerita timbul mengenai jenazah arwah.

“Saya melihat jenazah arwah sebelum dibawa balik ke Temerloh. Jenazah arwah tiada setitik pun tompok hitam sebaliknya nampak berseri dan sungguh ‘handsome’.Saya yakin arwah meninggal dunia bukan kerana penyakit yang difitnahkan. Itulah fitrah masyarakat… kelemahan orang kita suka menyebar dan buat fitnah,” kata Habsah Hassan penuh kesal dan harap fitnah tersebut dihentikan.

MERAKAMKAN kenangan… Sudirman bersama Allahyarham Datuk Sharifah Aini dan Datuk S. Atan yang merupakan penerbit album artis-artis EMI.

Menurut komposer terkenal Datuk S. Atan, Sudirman dilahirkan untuk menjadi ‘bintang.’

“Saya seorang yang tegas dan garang ketika proses rakaman album di studio. Tetapi apabila dengan Sudirman saya susah untuk tinggikan suara kerana beliau sentiasa bersedia untuk memulakan rakaman lagu-lagunya. Sudirman adalah artis yang paling cepat ketika menjalani rakaman lagu,” cerita S. Atan pengalaman bekerja dengan Sudir.

Sementara penyanyi Zaiton Sameon yang pernah mendapat bantuan sebanyak RM20,000 daripada Sudirman untuk melunaskan bil hospital ketika beliau koma akibat kemalangan ngeri pada Februari 1990, berkata;

ZAITON Sameon bersama sahabat baiknya, Sudirman Haji Arshad.

“Saya tidak akan lupa budi baik Sudir kerana Arwah adalah artis pertama yang memberi bantuan kepada saya.

“Bukan setakat itu, malah selepas keluar dari hospital, Sudir juga menghulurkan bantuan sebanyak RM10,000 lagi untuk saya menjalani rawatan fisioterafi kaki saya.”

SELEPAS kemalangan di Batang Kali, Zaiton Sameon menerima cek berjumlah RM10,000 daripada Sudirman Haji Arshad untuk rawatan fisioterapi kakinya.

Hubungan persahabatan antara Zaiton Sameon dengan Sudirman Haji Arshad telah terjalin sejak mula bergelar penyanyi.

“Setelah bercerai saya adalah manusia paling kecewa. Saya pernah mahu mengambil tindakan bodoh dan Sudir adalah orang yang memberi nasihat dan kata-kata semangat untuk saya meneruskan hidup.

“Sampai saat ini saya masih ingat kata-kata yang sering Sudir bisikkan di telinga …
‘biarkan saja…kiranya cinta yang kau bawa…,” cerita Zaiton Sameon sambil menyanyi antara barisan lirik lagu ‘Lupakan Saja’ yang dicipta oleh Sudirman untuk beliau.

Bagi wartawan tersohor, Muzlina Abu Bakar, beliau tidak akan dapat melupakan perbualan terakhir di telefon bersama Sudirman pada petang 8 Mac 1991 yang mengundang beliau membuat liputan konsert percuma Sudirman sempena Ekspo Perdagangan di Ayer Keroh, Melaka yang akan berlangsung pukul 8.00 malam pada 9 Mac 1991.

SUDIRMAN Haji Arshad (berkot merah) ketika melawat Jabatan Pengarang Majalah URTV pada awal tahun 1980-an di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur. Turut kelihatan Muzlina Abu Bakar (berdiri tiga dari kiri).

“Sudir ‘call’ saya setelah tidak sampai dua minit saya menolak undangan melalui telefon oleh pengurusnya, Dharanee bagi pihak Sudirman Productions untuk membuat liputan konsert tersebut.

“Saya yang pada mulanya menolak, akhirnya bersetuju membuat liputan konsert tersebut dengan syarat Sudirman setuju memberi ‘eksklusif interbiu’ untuk ruangan hiburan Utusan Malaysia.

“Sayangnya selepas konsert tersebut selesai dan setelah menanti selama setengah jam temujanji yang telah beliau setuju semasa di KL terpaksa dibatalkan kerana kesihatannya yang tidak mengizinkan.

“Pada 11 Mac, saya hubungi pejabat Sudirman Productions untuk mendapatkan tarikh temujanji baru, sayangnya ia tidak mendapat jawapan. Saya difahamkan Sudirman mula sakit sejak Julai 1991 malah beberapa konsert pada Ogos yang telah dipersetujuinya digantikan dengan Datuk Khadijah Ibrahim dan Liza Aziz.

“Setelah lama menanti… pada 11 pagi 22 Februari 1992 apabila sampai ke Pejabat Utusan, saya mendapat berita Sudirman telah meninggal dunia pada pukul 4.00 pagi di kediaman kakaknya di Bangsar,” kata Muzlina.

KARIKATUR Sudirman Haji Arshad sering mengabadikan wartawan hiburan yang hadir pada majlis pelancaran albumnya.
DEPAN (kanan sekali): Muzlina Abu Bakar, Intan Zabidin (tiga dari kiri)
ATAS (dua dari kiri): Huzz.

Sementara itu, bekas wartawan dan editor hiburan terkenal Media Hiburan, Intan Zabidin ketika ditemui memberitahu selama 10 tahun beliau menjadi pembantu Sudirman, hubungan mereka bagaikan adik beradik dan pelbagai kenangan dan pengalaman yang beliau dapat daripada Allahyarham.

“Bila Karangkraf melantik beliau sebagai penulis tetap tugas saya adalah memastikan bahan berkenaan sampai sebelum ‘dateline’.

“Setiap minggu saya akan ambil artikel dan lukisan kartun di pejabat beliau. Bukan setakat itu, malah beliau juga mengajar saya bagaimana menulis surat rasmi untuk membuat temujanji dengan VVIP. Beliau juga membimbing saya menjadi seorang yang berani,” cerita Intan Zabidin.

PADA tahun 1980-an… Sudirman Haji Arshad sering menjadi Cover Majalah URTV.

Menurut Intan Zabidin, walaupun Sudirman memang berbakat sebagai penulis namun baginya menuntut ilmu itu penting.

Berpegang pada prinsip itulah Sudirman memujuk saya untuk sama mengikuti kursus kewartawanan yang dianjurkan oleh Aimi Jarr.

“Selama mengenali Arwah saya amat menghormati sikap profesionalnya dalam menyantuni setiap wartawan yang membuat liputan majlis pelancaran albumnya atau apa juga yang berkaitan dengannya.

“Bagi Sudirman sama ada wartawan itu orang lama atau baru mereka dilayan dengan baik dan tiada sikap pilih kasih. Itulah sikap Sudirman yang saya hormati,” kata Intan Zabidin.

Menurut Intan, walaupun hubungan mereka bagaikan adik dengan abang namun beliau reda apabila Sudir ‘menghilangkan diri’ ketika beliau sakit.

SUDIRMAN Haji Arshad di hadapan rumah keluarganya di Temerloh, Pahang. Rumah ini hanya tinggal kenangan kerana kini hanya tinggal tangga sahaja setelah terbakar tiga tahun lalu.

“Saya hanya mendapat tahu Sudir meninggal dunia pada pukul 10 pagi pada tarikh berkenaan,” kata Intan sambil menyifatkan ‘pemergian’ Sudirman adalah satu kehilangan besar dalam dunia seni tanahair.

Menurut wartawan terkenal dan juga bekas editor URTV, Huzz tidak akan melupakan kebaikan insan bernama Sudirman.

“Kalau ada sidang media melibatkan Sudirman yang tidak dapat saya hadiri, pasti arwah akan kirimkan hidangan kesukaan saya di majlis tersebut ke pejabat.

SUDIRMAN Haji Arshad sentiasa menghargai para peminatnya walaupun kanak-kanak.

“Sehingga sekarang saya tidak jumpa artis di Malaysia yang boleh mencapai kejayaan seperti arwah,” kata Huzz jujur.

Bersama teman artis, Ogy Ahmad Daud, Datuk Amy dan Noor Kumalasari.

“Sampai hari ini saya tidak akan lupa tarikh 6 Mac 1989 ketika kami dalam penerbangan ke London untuk menyertai Salem Music Awards Festival yang akan berlangsung pada 19 Mac, apabila tiba-tiba Sudir beritahu kalau kalah dia tidak akan balik ke Malaysia sebaliknya akan terus menetap di London,” cerita bekas Pengurus Sudirman, Daniel Dharanee Kannan ketika ditemui tidak lama dulu.

Menurut Dharanee, ketika itu beliau terkejut kerana tanpa pengetahuannya, Sudir telah membeli sebuah rumah di Lake District, Crumbria, North West London.

SUDIRMAN Haji Arshad bersama Pengurusnya, Danie Dharanee Kannan.

“Saya tahu Sudir bukan main-main tetapi itulah keputusannya dan saya tak boleh halang. Tetapi Sudir tetap mahu saya menjadi pengurusnya. Saya cuma beritahu saya tidak ada ‘contact’ tetapi saya bersedia membantu apabila beliau sudah berjaya.

“Sudir nekad meninggalkan Malaysia kerana ketika itu, arwah kecewa dan agak merajuk dengan sikap para peminat yang tidak menghargainya dan tulisan wartawan yang meramalkan beliau tidak akan berjaya menandingi kehebatan Leslie Cheung dan Anita Sarawak yang turut bertanding di Salem Music Awards Festival di pentas yang sama.

SETIAP kali menyambut Hari Kemerdekaan Sudirman Haji Arshad lebih suka menjalani fotografi dengan baju bertemakan Bendera Malaysia sebagai menzahirkan semangat patriotiknya kepada negara.
Mengetuai pembarisan artis sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke 30 tahun pada 31 Ogos 1987 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur

“Kita hanya merancang tetapi Tuhan yang menentukan apabila nama Sudirman diumumkan sebagai Penghibur No. 1 Asia, saya adalah orang yang paling gembira kerana Albert Hall London telah membuktikan Sudirman memang terbaik bukan sahaja di Malaysia malah di Asia!

“One Thousand Million Smiles… memang dicipta khas buat Sudirman! Saya ‘speechless’ apabila nama Sudir diumumkan tetapi pada waktu yang sama saya gembira kerana saya tidak balik ke Malaysia sendirian,” cerita Dharanee menyingkap kisah sedih dan gembira di sebalik kejayaan Sudirman dengan lagu berkenaan.

Sudirman juga seorang artis yang begitu tinggi semangat patriotiknya. Ini terbukti dengan lagu nyanyian beliau antaranya ‘Tanggal 31’ dan ‘Warisan’ sehingga kini menjadi lagu malar segar untuk menaikkan semangat cintakan negara terutama setiap kali sambutan kemerdekaan negara kita.

Kehilangan besar negara… Jenazah Allahyarham Sudirman Haji Arshad diusung untuk disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chengal, Temerloh, Pahang.
ATAI ketika menziarahi pusara Cokman, Allahyarham Sudirman Haji Arshad.

Malah beliau pernah mengetui barisan artis untuk bersama dalam pembarisan sempena Hari Kemerdekaan yang ke 30 pada 31 Ogos 1987 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Kami di Ladybosz sentiasa mendoakan semoga roh Allahyarham Sudirman dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman… Amin.

DUDUK dari kiri: Rodziah Haji Arshad dan Rubiah Suparman bersama Habsah Hassan (berbaju kurung biru) ketika menziarah pusara Allahyarham Sudirman Haji Arshad tidak lama dulu, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chengal, Temeroh, Pahang.
BERDIRI dari kanan: Syed Wafa (Penulis), Zaiton Sameon, Habsah Hassan, Intan Zabidin dan Rodziah Haji Arshad.
Previous articleKebaikan Petai Untuk Wanita
Next article`Suami hanya pinjaman tak perlu nak rebut-rebut’ Zarina Zainuddin

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here