Oleh Nafsiah Jani
Sebenarnya bukan mudah untuk mencipta nama di luar negara. Namun Yuna telah membuktikan sebaliknya dimana ada kemahuan di situ ada jalan. Jadi tidak hairanlah kini penyanyi dan pemuzik wanita Yuna berjaya membuktikannya.
Pemenang Juara Lagu ke-27, Terukir Di Bintang, Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Mat Zara’ai,36, tidak pernah merasa gentar untuk membawa dan terus memperkenalkan karyanya serta dalam masa yang sama cuba menambah ilmu sewaktu berada di perantauan.
Setelah beberapa tahun ternyata hasil yang dituai berbaloi dengan pengorbanannya selama ini. Berkat kesabarannya menghasilkan karya-karya yang terbaik, Yuna bukan saja berjaya menembusi pasaran lewat kolaborasi bersama figura-figura tersohor seperti Usher dan Jay Park, namun yang penting bagaimana karya miliknya diterima baik oleh pendengar di seluruh dunia.
Mungkin sudah rezekinya dan kini bintang Yuna semakin `bersinar ‘di Amerika Syarikat. Khabarnya kini lagu-lagu ciptaannya bernilai 100 USD dan Yuna juga kini sibuk mencipta lagu untuk artis-arts luar negara. Dimana penyanyi Usher juga berminat untuk mendapatkan khidmat Yuna sebagai penerbit album terbarunya.
Jadi berbaloilah pengorbanannya sewaktu mula bertapak di Amerika dimana Yuna mengaku hanya makan mee segera, nasi dan lauk sardin untuk kelangsungan hidup di AS yang sememangnya semuanya mahal-mahal belaka.
Kejayaan demi kejayaan yang digapainya apabila lagunya, All I Do yang terdapat dalam album barunya, Chapters terpilih untuk dimainkan dalam episod pertama musim ke-13 siri Grey’s Anatomy. Drama ini antara siri paling popular dan berjaya diseluruh dunia. Ia juga selalunya berjaya mempopularkan lagu-lagu yang kurang mendapat perhatian.
Malah lagu ciptaannya, Shine Your Way telah disenarai pendek untuk pencalonan Anegerah Akademi (Oscar) bagi lagu asal terbaik pada 2016. Manakala singlenya, Crush bersama Usher juga turut mendapat pengiktirafan Recording Industry Association of America (RIAA).
Sebelum ini Yuna sibuk dengan pembikinan album terdahulunya seperti Chapters, Rouge dan terbaharu Y5. Setelah albumnya siap Yuna harus menyiapkan diri untuk siri jelajah sekitar Amerika Syarikat.
Yuna yang juga popular dengan lagu Crush, kini bahagia bersama suaminya Adam Yousof Mohamed Sinclair, 38, yang dikahwininya sejak lima tahun lalu. Walaupun sudah lebih 12 tahun menetap di Los Angeles, Amerika Syarikat namun Yuna masih belum terfikir untuk kembali menetap di Malaysia.
“Memang saya terfikir bila dah settle down nanti nak balik Malaysia, tapi buat masa ini belum ada perancangan lagi. Mungkin dah ada anak nanti, saya akan berfikir untuk kembali tinggal di Malaysia. Tapi buat masa ini memang tak boleh nak fikir apa-apa kerana masih ada banyak benda yang perlu saya selesaikan dan buat disana,’’ kata Yuna yang kini bernaung di bawah Verve Music Group milik David Foster.
Yuna Asia Tour 27 Oktober di Kuching Sarawak
Yakin dengan kehebatan Yuna membuatkan pihak penganjur tidak mengikut `arus’ memulakan konsert di Kuala Lumpur. Sebaliknya konsert Yuna, Yuna Asia Tour ini pihak penganjur Icon Entertainment dan RK LiveAsia yakin mengadakan Konsert Yuna Asia Tour pada 27 Oktober ini di Hikmah Exchange, Kuching, Sarawak.
Sebelum ini, Yuna juga pernah mengadakan Konsert Yuna Homecoming pada 2012 di Sarawak Cultural Village. Pemilihan Kuching dianggap sebagai langkah berani Yuna untuk terus melebarkan sayapnya di seluruh Malaysia khususnya di wilayah Borneo.
Selaku penganjur, Iman Tang berkata, dengan imej dan `kuasa’ Yuna di mana pun lokasi persembahannya ia pasti mendapat sambutan yang luar biasa.
“Ini Yuna, seperti istimewanya wanita yang berhati besar membawa juga karya-karyanya mengembara ke seluruh pelusuk dunia. Kami di RK LiveAsia dan Icon Entertainment percaya, Kuching akan menyaksikan sebuah persembahan spektakular daripada beliau.
“Selain lagu Melayu, Yuna juga akan menyanyikan lagu-lagu Inggeris. Yuna Asia Tour ini akan mencipta momen tersendiri di antara penyanyi kesayangan ramai ini dengan peminat yang sudah lama menantikan kedatangan semula Yuna ke Sarawak.”
Selain Kuching, konsert jelajah berkenaan turut diadakan di Tokyo, Jepun pada 16 Oktober dan Singapura pada 18 Oktober ini.
Yuna yang baru saja mengeluarkan single terbarunya, Masih Sunyi turut akan menyanyikan lagu Hello, Lullabies, Dan Sebenarnya dan Menanti
Mereka yang berminat untuk menyaksikkan konsert tersebut bolehlah membeli tiket www.ticket2u.com.my.
Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.