Oleh Nafsiah Jani
Setelah enam kali menjadi penyanyi jemputan pembuka tirai, akhirnya kumpulan ‘Andra & The Backbone’ berpeluang mengadakan konsert mereka sendiri ‘Sempurna Di Kuala Lumpur ’yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 1 Disember nanti.
Sebelum ini, band yang berasal dari Indonesia ini yang ditubuhkan pada 2006 ini sudah enam kali membuat persembahan di Kuala Lumpur. Kali terakhir mereka menggalas tugas sebagai ‘opening Act’ untuk konsert Dewa 19 yang berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam pada tahun 2019.
Konsert ‘Sempurna Di Kuala Lumpur’ anjuran Qew Communications Sdn Bhd atau Qew Comm ini bakal merungkai sisi sebenar Andra, Stevie dan Dedy yang pasti memberi momen indah dan lebih ‘intim’ sekaligus memaku kesempurnaan Andra & The Backbone.
Pihak Qew Comm melahirkan rasa teruja kerana dapat bekerjasama dengan Andra yang juga merupakan salah seorang gitaris Dewa 19. Selain itu mereka juga percaya bahawa Andra & The Backbone punya kelompok peminat mereka sendiri.
Mereka juga percaya bukan hanya kelompok peminat rock tetapi peminat muzik ‘berat’ juga bakal hadir ke konsert itu nanti kerana ukhwah di kalangan mereka cukup kuat.
Namun jika anda adalah kelompok Baladewa dan Baladewi (panggilan untuk peminat Dewa 19), sudah pasti nama Andra sudah biasa terungkap di bibir. Walaupun muzik Andra & The Backbone sedikit berat berbanding Dewa 19, band ini ada persamaan terutama daripada segi lirik cinta yang puitis.
Vokal Dedy yang ‘husky’ juga dilihat sesuai dengan gubahan muzik Andra & The Backbone. Dalam erti kata lain, gabungan idea Andra, Dedy dan Stevie yang juga anggota band death metal Deadsquad memberi pelbagai warna dalam band ini.
Menerusi jenama Andra & The Backbone mereka telah mengeluarkan empat album iaitu “Andra and the Backbone” pada tahun 2007, “Season 2 ” (2008) , “Love, Faith & Hope” (2010) serta album kompilasi “The Best Of Republik Cinta” (2011).
Lagu hits mereka iaitu Sempurna yang diperkenalkan kembali oleh Gita Gutawa, Lagi Dan Lagi, Dan Tidurlah, Terdalam, Perih serta Dengarkan Aku.
Bagi anda yang menggemari lagu-lagu yang sarat dengan mesej tersirat, ini peluang untuk menyaksikan kehebatan Andra beraksi dengan lebih dekat, apatah lagi beliau memilih untuk jadi anggota paling pendiam jika beraksi bersama Dewa 19.
Bagi mereka yang ingin menyaksikan konsert tersebut bolehlah dapatkan tiket dengan harga RM169 (CAT 1), RM139 (CAT 2), RM289 (CAT 3), RM229 (CAT 4) dan RM4,000 (VIP) di myticket.asia.
Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.