Oleh Syed Wafa
Foto Koleksi Syed Wafa/Ehsan Muzlina Abu Bakar

BARU-baru ini tatkala membelek Facebook wartawan tersohor, Muzlina Abu Bakar atau mesra dengan panggilan Kak Lin, saya ternampak beberapa keping gambar beliau dengan Allahyarham Seniwati legenda Noorizan Mohd. Noor.

Ketika itu, terdetik di hati saya untuk mendapatkan kisah menarik mengenai seniwati berkenaan yang merupakan bekas Permaisuri kepada Sultan Perak Darul Ridzuan, Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah, yang meninggalkan istana demi cintanya kepada Tan Sri P. Ramlee.

NOORIZAN bersama Almarhum Sultan Yussuf Izzudddin Shah.

Puas saya memujuk Kak Lin untuk mendapatkan kisah menarik mengenai percintaan seniwati Noorizan. Setelah sebulan menunggu jawapan, akhirnya minggu lalu beliau bersetuju dengan syarat tulis apa yang diceritakan dan tidak lebih daripada itu.

Sebenarnya saya cuba juga untuk mendapatkan yang lebih eksklusif tetapi beliau tetap dengan pendiriannya demi amanah yang dipegang sejak 40 tahun lalu segala yang ‘PnC’ (Private and Confidential) beliau tetap simpan kemas tanpa berkongsi dengan sesiapa!

NOORIZAN bergambar kenangan bersama wartawan tersohor, Muzlina Abu Bakar dan artis terkenal, Noreen Noor selepas majlis pelancaran drama lakonan mereka, di Hotel Casuarina, Ipoh, Perak.

Demi mendapatkan kisah cinta berkenaan saya sanggup menerima syarat itu kerana bagi saya ia amat berbaloi apabila kita cuba menyelami hati dan perasaan seorang Permaisuri yang meninggalkan tahta demi cinta.

Sebabnya perasaan kasih, sayang dan cinta adalah sesuatu yang indah anugerah-Nya bagi setiap insan di dunia ini yang sukar untuk ditafsirkan.

Sebagai manusia kita tidak mampu menolaknya apalagi untuk menilai cinta yang zahir dalam jiwa setiap insan.

Hakikatnya kerana cinta ia menemukan manusia dalam pelbagai rupa. Disebabkan cinta manusia sanggup menempuh lautan bergelora kerana cinta itu selalunya menjanjikan kebahagiaan dan tidak kurang juga cinta itu kadangkala membuatkan manusia akan merana.

KHABARNYA rumah kuning yang terletak di Teluk Intan ini adalah hadiah daripada Almarhum Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Yussuf Izzuddin Shah kepada isterinya, Seniwati Noorizan.

Bila bercakap tentang cinta tidak mustahil apabila ia menemukan seorang Sultan dengan insan biasa seperti seniwati Noorizan. Disebabkan cinta juga seorang Permaisuri sanggup meninggalkan tahta.

Noorizan berkahwin dengan Sultan Yussuf Izzuddin Shah pada tahun 1954, ketika itu beliau berusia 27 tahun dan paling istimewa baginda telah menghadiahkan sebentuk cincin permata biru dihiasi berlian sebagai tanda dan kenangan cinta Sultan kepada Noorizan. Pada tahun 1955, beliau diberi gelaran Yang Teramat Mulia Permaisuri.

CINCIN permata biru dipagari berlian yang dihadiahkan oleh Noorizan kepada P. Ramlee kini disimpan di Arkib Negara.

Bagaimanapun semuanya berubah pada tahun 1955, apabila P. Ramlee diundang membuat persembahan di istana.

“Sebelum persembahan itu, Tuanku sudah ingatkan ‘Aunty’ (Panggilan mesra seniwati Noorizan) agar jangan pandang mata P. Ramlee. Titah Tuanku, jika seorang wanita terpandang sahaja mata P. Ramlee… boleh jatuh cinta kepadanya,” cerita Noorizan kepada Kak Lin.

“Secara tidak sengaja ‘Aunty’ terpandang mata P. Ramlee dan terus jatuh cinta. Ketika itu hanya tembok istana yang memisahkan kami. Tetapi telefon telah menghubungkan kami.

“Tuanku hanya mengetahui hubungan ‘Aunty’ dengan P. Ramlee apabila bil telefon melambung tinggi antara empat ratus sehingga lima ratus sebulan. Menyedari hal itu, Tuanku telah ‘melepaskan’ Aunty,” cerita Noorizan.

Pasangan ini berkahwin pada 6 Februari 1955 dan Noorizan telah menghadiahkan cincin permata biru tersebut kepada P. Ramlee sebagai tanda ikatan kasih dan cinta mereka berdua. Ketika itu usia Noorizan 28 tahun dan P. Ramlee 26 tahun.

Sebuah potret P. RAMLEE bersama cincin berlian permata biru hadiah daripada Noorizan sempena perkahwinan mereka.

Selepas perkahwinan mereka, filem “Hang Tuah” (1956) arahan Phani Majumdar menemui para penonton. Filem ini lakonan, P. Ramlee dan Seniwati Zaiton. P.Ramlee telah menggubah sebuah lagu “Berkorban Apa Saja” dengan lirik oleh Allahyarham Datuk Jamil Sulong untuk babak Tun Tijah yang sanggup meninggalkan istana lalu mengikut Hang Tuah balik ke Melaka.

Lirik lagu tersebut mengisahkan hidup Noorizan yang sanggup meninggalkan segala kemewahan untuk hidup bersama P.Ramlee.

Menurut Kak Lin, beliau berpeluang mencungkil rahsia cinta dan bagaimana Noorizan ke Singapura selepas bercerai apabila berkongsi bilik suite dengan beliau serta penyanyi terkenal Allahyarham Noreen Noor lebih seminggu, di Hotel Casuarina, di Ipoh, Perak pada tahun 1981 ketika mengikuti penggambaran drama arahan Allahyarham Aimi Jarr.

Drama terbitan Take One Productions itu turut dilakonkan Allahyarham Omar Manan dan ia diterbitkan untuk RTM.

Bagaimanapun kebahagiaan rumahtangga mereka mula goyah apabila Noorizan terasa disisihkan apabila nama P. Ramlee mula melonjak dan sibuk di set penggambaran disamping muncul seorang biduanita yang bernama ‘Saloma’ (Allahyarham Puan Sri Saloma).

Akhirnya setelah enam tahun hidup sebagai suami isteri, pasangan ini bercerai pada tahun 1961.

Sejak perceraian itu, Noorizan balik ke Kuala Lumpur dan menceburi bidang lakonan. Lebih 30 filem yang beliau lakonkan dengan filem pertama “Siti Payong” (1962) dan filem “Esok Untuk Siapa” (1982) arahan Jins Shamsuddin telah melayakkan beliau menerima Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-3 (FFM3) pada tahun 1982.

Bagaimanapun pada tahun 1972, P. Ramlee mengundang Noorizan berlakon dalam filem arahannya “Laksamana Do Re Mi” dengan membawa watak Permaisuri Kerajaan Pasir Berdengung. Ini adalah filem terakhir arahan beliau sebelum meninggal dunia akibat serangan jantung.

Setelah P. Ramlee meninggal dunia pada 29 Mei 1973, Noorizan berjumpa Saloma dan meminta cincin permata biru yang dihadiahkan kepada P. Ramlee tetapi beliau enggan menyerahkannya. Cincin permata biru itu P.Ramlee hadiahkan kepada Saloma sebagai tanda ikatan perkahwinan mereka pada 31 Oktober 1961.

Shasha Hamid bersama bonda tercinta Allahyarham seniwati legenda Mariani

Melalui perbualan Kak Lin bersama Shasha Hamid, anak saudara Saloma yang juga merupakan anak Allahyarham seniwati Mariani, Shasha bercerita mengenai cincin permata biru yang banyak kali bertukar tangan.

“Aunty Noorizan jumpa Mama (Panggilan mesra Saloma) tetapi Mama tidak mahu pulangkan kerana itu adalah cincin kahwin yang Arwah Daddy (Panggilan mesra Saloma pada P. Ramlee) hadiahkan kepada Mama. Memang Mama tak pernah pakai cincin itu sebab jari Mama kecil dan cincin itu sentiasa diletak di dalam sebuah gelas yang berisi air.

SAAT bahagia Shasha Hamid bersanding di pelamin bersama suaminya, Allahyarham Jamaluddin.Turut hadir di majlis persandingannya, Seniman Agong Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan isteri, Allahyarham Puan Sri Saloma yang berlangsungn di Singapura pada Mac 1973. Dua bulan selepas itu, P. Ramlee meninggal dunia.

“Bila Mama meninggal dunia pada 25 April 1983, Nenek (Mak Saloma iaitu Umi Kalsom Mahbob) pakai cincin itu dan balik ke Singapura. Setahun selepas itu, nenek meninggal dunia dan cincin itu beralih kepada Tok Mum Yusoff (Bapa tiri Saloma). Tetapi setelah setahun Tok Mum juga meninggal dunia. Mendengar berita itu, saya ke Singapura dan selesai urusan pengkebumian Atok, saya mengambil cincin tersebut dan terus balik ke KL.

“Apabila sampai KL saya hubungi Aunty Noorizan yang tinggal di Flat Pekeliling dan beritahu nak pulangkan cincin tersebut. Keesokan harinya pada tahun 1985, saya pulangkan cincin itu kepada Aunty Noorizan dan cincin itu kini disimpan di Arkib Negara. Berita mengenai saya pulangkan cincin itu ada disiarkan di akhbar Utusan Malaysia,” cerita Shasha Hamid yang begitu rapat dengan seniwati Noorizan mengenai cincin permata biru yang beliau hadiahkan kepada P. Ramlee sempena perkahwinan mereka.

PASANGAN bahagia … Noorizan dan suami tercinta, P. Ramlee.
NOORIZAN bersama P. Ramlee sambil mendukung anaknya, Sazali.
Agongnya cinta Noorizan kepada P. Ramlee sehingga sanggup tinggalkan istana

Setelah bercerai dengan P. Ramlee, Noorizan berkahwin dengan Seniman Abdullah Chik pada 26 Januari 1962 dan bercerai pada 29 Mei 1963. Beliau juga pernah berkahwin dengan Borhan Yahya pada tahun 1964.

Kenangan Noorizan bersama bekas suami, Seniman Abdullah Chik.

Noorizan meninggal dunia kerana darah tinggi pada pukul 8.00 malam pada tarikh yang sama beliau dimasukkan ke hospital iaitu 15 Mei 1992. Adalah difahamkan jenazahnya dikebumikan berhampiran pusara P. Ramlee di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Noorizan dalam filem ‘Laksamana Do Re Mi’ 1972

Di bawah ini disertakan lirik lagu ‘Berkorban Apa Saja’ yang dinyanyikan oleh P.Ramlee mengisahkan perjalanan hidup seniwati legenda Noorizan.

Berkorban Apa Saja

Berkorban apa saja
Harta atau pun nyawa
Itulah kasih mesra sejati dan mulia

Berkorban apa saja
Harta atau pun nyawa
Itulah kasih mesra sejati dan mulia
Hmmm….hmmm…hmmm

Kepentingan sendiri tidak diingini
Bahagia kekasih saja yang diharapi

Berkorban apa saja
Harta atau pun nyawa
Itulah kasih mesra sejati dan mulia
Hmmm…Hmmm…Hmmm

Untuk menjadi bukti
Kasih yang sejati itulah tandanya
Jika mahu diuji

Berkorban apa saja
Harta atau pun nyawa
Itulah kasih mesra sejati dan mulia

Penyanyi: P. Ramlee
Lagu: P. Ramlee
Lirik: Jamil Sulong

NOORIZAN bersama Muzlina bergambar kenangan ketika menjalani pengambaran drama pada tahun 1981 di Perak.
DARI kiri: Omara, Nasir P. Ramlee, Noorizan dan Norma Kamaruddin menziarahi pusara P. Ramlee di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Previous articlePes Asam Pedas Ratu Tumis Rasa Rosz Melazatkan Asam Pedas Ayam Melaka !
Next articleJanganlah bersikap sombong!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here