Oleh Syed Wafa / Foto Ehsan Sandakiah Aziz/Koleksi Sultan Abdul Razak
FILEM “Pontianak” (1957) menjulang nama seniwati legenda ini pada sekitar era 50an.
Wajah yang jelita memukau siapa yang memandangnya, hinggakan beliau dilamar oleh Sultan Pahang ketika itu, Duli Yang Maha Mulia Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu’tasim Billah untuk menjadi permaisuri baginda.
Mereka dikurniakan tiga cahaya mata, iaitu Tengku Norashikin Sultan Abu Bakar, Tengku Baharuddin Sultan Abu Bakar dan Tengku Idris Sultan Abu Bakar.
Perkahwinan tersebut, bukan sahaja menamatkan kerjaya seninya, malah filem-filem lakonan beliau tidak boleh ditayangkan di pawagam atau di TV.
Beliau ialah seniwati legenda Datuk Sri Maria Menado yang sentiasa dirindukan oleh peminat filem Melayu, bukan sahaja kerana kejelitaan, tetapi juga kehebatan lakonan beliau.
Ramai peminat tertanya-tanya. Ke manakah beliau menghilang? Bagaimana perkembangan terkini seniwati jelita ini ?
Pastinya peminat ingin tahu berita tentang bintang legenda ini.
Akhirnya, Ladybosz dapat menjejaki seniwati legenda ini dengan kerjasama sahabat penulis, Sandakiah Aziz yang begitu rapat dengan beliau. Sandakiah merupakan anak seniman legenda Datuk Aziz Satar bersama seniwati Dayang Sofia.
“Kesihatan Datuk Sri Maria Menado buat masa ini tidak begitu mengizinkan untuk menerimaMENERIMA TETAMU atau bertemu pihak media kerana beliau baru sahaja keluar Hospital” jelas Sandakiah.
Sandakiah juga sedang membantu untuk menerbitkan buka biografi yang mengisahkan penglibatan Datuk Sri Maria Menado dalam dunia perfileman Melayu.
Pastinya peminat seniwati hebat ini tidak sabar menunggu buku tersebut yang akan diterbitkan tidak lama lagi.
Oleh kerana faktor kesihatan beliau, penerbitan buku tersebut tertangguh.
“Setakat ini sudah 80 peratus…kita doakan semoga Dato Sri diberi kesihatan yang baik dan proses untuk siapkan buku ini berjalan lancar,” kata Sandakiah dengan penuh harapan.
Menurut Sandakiah lagi, buku ini bakal diedar oleh FINAS dan dijangka dilancarkan pada tahun ini juga.
Saya juga merupakan kenalan rapat seniwati legenda ini. Banyak kenangan saya bersama beliau.
Beliau tidak pernah menolak pelawaan atau mengecewakan saya untuk menghadiri majlis ‘Seniman Dan Seniwati Legenda’ yang diadakan di Restoran Saloma, Jalan Ampang (kini sudah tidak beroperasi) yang dianjurkan oleh Tan Sri Syed Yusof atau lebih dikenali sebagai Tan Sri Jojo pada setiap tahun ketika itu.
Seniwati legenda ini dilahirkan dengan nama Liesbet Dotulong pada 2 Februari 1932 di Tonsea, Kabupaten Minahasa, Menado, Sulawesi Utara, Indonesia.
Apabila berhijrah ke Singapura beliau memeluk Islam pada usia 19 tahun dengan nama Maria Abdullah untuk berkahwin dengan seorang promoter tinju dan juga penulis skrip terkenal, A. Razak Sheikh Ahmad.
Nama Maria diambil daripada nama Belanda Maria (Bertha) Hertogh, yang merupakan punca berlaku tragedi Natrah dalam konflik antara kaum pada 1950, manakala Menado diambil dari tempat asal beliau.
Dato Sri Maria Menado memulakan kerjaya seninya bersama Malay Film Productions di Singapura.
Filem pertama lakonan beliau ialah “Penghidupan” (1951).
Beliau juga pernah berlakon bersama bintang legenda Bollywood, Shammi Kapoor dalam filem “Singapore” (1960)
Anak lelaki beliau, Sultan Abdul Razak turut berkongsi foto-foto terbaharu bersama bonda tercinta untuk tatapan pembaca Ladybosz.
Foto-foto itu sedikit sebanyak membuka ruang bagi mengubati kerinduan peminat Dato Sri Maria Menado.
Selain itu, Sultan juga berkongsi gambar ketika bondanya menjalani rawatan di sebuah hospital.
Melalui foto-foto tersebut jelas kelihatan bahawa keadaan kesihatan seniwati legenda ini tidak mengizinkan beliau bertemu dengan tetamu atau pihak media.
“Saya harap peminat mendoakan bonda tercinta saya diberi kesihatan yang baik dan sentiasa dirahmati Allah,” kata Sultan buat peminat bonda tersayang.
Ladybosz juga mendoakan semoga, Datuk Sri Maria Menado diberi kesihatan yang baik dan umur yang panjang oleh Allah SWT…Amin
SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.