Oleh Nafsiah Jani
Foto Syed Wafa dan Ehsan Nasha Aziz

MELIHAT kejelitaannya, mungkin ramai yang tidak percaya yang Nasha Aziz,52, masih belum menemui cinta sejati. Malah kebanyakan wanita seusianya sudah menikmati kehidupan bahagia bersama keluarga dan anak cucu. Namun ini tidak mendatangkan sedikit ‘kudis’ kepada Nasha.

Baginya sudah tertulis hak dan bahagia masing-masing sejak dari dalam perut ibu mereka lagi. Percaya pada qada dan qadar, Nasha sentiasa berserah dan percaya bahawa jodohnya tetap ada seperti yang diaturkan Allah SWT.

“Seperti orang lain, memang saya sentiasa mencari cinta. I love …love. Saya juga bersyukur kerana sentiasa menerima banyak cinta. Pada pandangan saya, untuk mendapat cinta sejati kita kena sentiasa memberi cinta.

“Kita kena cipta cinta. Cinta bukan saja dari apa yang kita cakap… I love You… tapi bagaimana kita membuktikan cinta itu dengan kehidupan. Saya bertemu cinta setiap hari dan saya sentiasa bersedia untuk menjalinkan perasaan tersebut,” kata Nasha yang pernah beberapa kali kecundang dalam percintaan.

Nasha atau nama sebenarnya, Noraishah Abdul Aziz menambah, sekarang cinta antara wanita dan lelaki sebenarnya sukar.

“Dalam percintaan memerlukan banyak persefahaman antara kedua-dua pihak. Perlu luangkan banyak masa bersama, perlu memberi lebih perhatian pada pasangan.

“Saya memang demanding dalam bercinta. Pada saya, kehidupan kita perlulah seimbang. Kalau bercinta, dengan sepenuh jiwa. Selain itu, sikap faham-memahami antara satu sama lain, bertolak-ansur dalam hubungan dan komited menjalin hubungan.

“Saya suka lelaki yang jujur, telus dalam bercinta dan tiada agenda tersembunyi ketika menjalinkan hubungan cinta.

Bila dah serius, tak perlu lagi nak menguji atau ada games untuk uji perasaan atau jiwa kekasih kita,’’ katanya lagi, seakan meluahkan perasaan yang terpendam.

Nasha menambah,“Bila pasangan saya lakukan perkara sedemikian rupa membuatkan saya banyak berfikir…apa ni? Kenapa dia nak uji aku? Itu sebabnya saya anggap bercinta ini sangat complicated. Nak ikut, banyak cinta yang saya dapat tapi malangnya saya jumpa ramai lelaki yang berperangai sebegitu.

FOTO: Instagram Nasha Aziz

“Perangai-perangai begini buat saya letih. Mungkin mereka rasa tak selamat bila bersama saya. Sedangkan saya ini adalah seorang perempuan yang setia bila bercinta. Kini dari sibuk mencari ‘cinta’ lebih baik saya tumpukan perhatian menjaga dua orang emak saya.”

Nasha kini menjaga ibu kandung yang dipanggil mummy serta ibu angkat yang MENJAGANYA (ibu).

“Buat masa ini hidup saya tidak kosong kerana ada dua orang emak mengisinya. Bila tengok ada pasangan yang bahagia, saya tengok dan memerhati sahaja. Pada saya daripada nak tengok lebih-lebih, lebih baik saya tengok wayang saja (katanya melawak sambil ketawa).

“Itu sebabnya untung jadi pelakon. Bila dapat watak yang dilanda cinta, saya akan berlakon bersungguh-sungguh. Oleh sebab saya tak dapat nak luahkan rasa cinta dalam kehidupan realiti dan bila dapat peluang berlakon saya akan curahkan segala-galanya melalui watak tersebut,’’ ujar Nasha yang pernah mendapat jolokan Supermodel Malaysia.

 Kekal Jelita di Usia 50-an

Mungkin ramai peminat di luar sana tertanya-tanya bagaimana Nasha Aziz kekal cantik dalam usianya mencecah 50-an.

Nasha, pelakon filem Laila Isabella ini berkata, dia seorang yang serius dalam bab-bab menjaga kesihatan dan kecantikan.

“Orang nampak macam saya main-main saja, sedangkan saya seorang yang berdisiplin dan cukup serius bila bercakap tentang kesihatan dan kecantikan. Untuk kekalkan kecantikan, saya banyak membaca dan ilmu yang saya dapat saya praktikkan dalam kehidupan saya.

“Nak cantik bukan saja datangnya dari makanan, ia juga berkaitan dengan mental, emosi, naluri, fizikal dan pergaulan. Itulah kelima-lima perkara ini yang saya harus jaga setiap hari,” kata Nasha lagi.

Menurut Nasha,“Saya jenis kuat makan kalau sibuk dengan penggambaran atau berlakon teater. Saya ambil makanan yang bekalkan protein dan karbohidrat.  Setiap pagi saya pastikan minum tiga gelas air kosong bersama lemon dan mulakan dengan makanan yang tidak bergula ataupun bergaram.

“Untuk rasa kenyang saya makan salad bersama perahan lemon dan telur hancur sebanyak enam biji. Dua biji saya ambil kuningnya sahaja dan empat lagi saya ambil putihnya sahaja. Nak bagi sedap saya tambah sikit minyak zaitun, lada hitam bersama cili flakes tanpa garam.

“Jangan ingat saya tak makan nasi. Saya suka lauk sambal tempe bersama kentang dan dua keping dada ayam. Petang saya makan tau foo fa, minum avokado ataupun air kopi latte, mocha, cappuccino bersama sikit saja susu.”

Nasha bertuah kerana memiliki tubuh badan yang mudah menghadamkan segala yang dimakannya dengan cepat.

“Badan saya cepat hadamkan makanan. Walaupun banyak yang saya makan, berat badan saya kekal 54  sekarang. Kalau tak ada kerja, setiap pagi saya akan buat senaman regangan dan lepas zohor saya akan pergi mana-mana gym untuk buat latihan fizikal. Malam pula saya akan buat brisk walking pula.”

@ladybosz.officiial Awet muda dan jelita Nasha Aziz. Walau usia cecah 52 tahun. . #rahsiakecantikanwanita #rahsiakecantikan #rahsiaawetmuda #awetmuda #awetmudaitupilihan❤️ #awetmuda💃🏻 #rahsiakecantikan #nashaaziz #nashaazizmalaysia #artismalaysia #artismalaysia🇲🇾 #ceritaartismalaysia #ladybosz ♬ original sound – LadyBosz

 Lakonan tak dibayar, terkubur Impian Nasha jadi produser

Sebelum ini, Nasha Aziz, yang merupakan Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-17 memasang impian untuk berjinak-jinak menjadi produser.

“Ada rezeki, saya ingat nak jadi produser. Tapi bila ada produser yang tak bayar setelah selesai saya berlakon selama beberapa bulan, ia membuatkan saya takut.  Dia hutang ramai orang dan ini buat saya terfikir semula mampukah saya nanti? Disebabkan itu, terus terkubur impian saya

“Tak apalah. Ada rezeki saya teruskan hidup macam sekarang dan terus berlakon selagi ada tawaran. Baru-baru ini, bila dah terima tawaran bersama Dr. Rosminah, tiba-tiba ada tawaran drama 10 episod.

“Saya tolak dengan baik kerana saya tak suka buat dua kerja dalam satu masa. Keputusan itu kena buat dengan reda. Ini juga rahsia yang buat saya kekal sihat dan cantik seperti sekarang,’’ kata Nasha yang membawakan empat watak dalam Kopi Pangku & Gaun Baju Melayu.

FOTO: Instagram Nasha Aziz.

Menurut Nasha lagi, menyelami perasaan empat wanita dalam satu pementasan bukan kerja mudah.

“Tak ada manusia yang tanggung empat perasaan dalam satu masa sehinggakan saya terbawa-bawa salah satu karakter ini ke luar. Keempat wanita ini berlainan kerana mereka mengalami tragedi, usia, latar masa, momen, sejarah, agenda dan misi yang berbeza-beza.”

Kopi Pangku & Gaun Baju Melayu dipentaskan pada 18, 19 dan 20 Ogos ini di Stor Teater, Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur.

Tiket dijual pada harga RM30 dan RM50. Hubungi 0178716060 untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Malam ini merupakan malam terakhir, dan bagi mereka yang meminati lakonan hebat Nasha Aziz masih sempat membuat tempah tiket.

Previous articleLinda dan Beego sibuk bisnes minyak wangi
Next article

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here