Oleh Syed Wafa
Foto Syed Wafa
PENYANYI veteran, Datuk M. Daun Kilau, 85, baharu tiga hari keluar dari Hospital Teluk Intan, Perak.
Beliau yang terkenal dengan lagu ‘Cik Mek Molek’ kini terlantar di kediamannya di Kampung Sungai Balai Baroh, Bagan Datuk, Perak
Beliau mengalami berbagai penyakit, antaranya kencing manis, masalah jantung, kebas kaki dan tangan.
Menurut isteri beliau, Datin Rohani Awang Ngah, 62, keadaan beliau sangat lemah dan banyak terbaring di atas katil.
“Datuk agak lemah dan kadang-kadang selera makannya agak kurang” jelas Datin Rohani lagi.
Beliau yang juga dikenali sebagai ‘Raja Gelek Malaysia’ berharap sangat agar kawan-kawan artis datang melawat kerana rindu sangat dengan mereka.
“Setiap hari saya menanti kawan-kawan datang melawat, tapi harapan saya hampa, saya faham agaknya mereka sibuk,” kata Datuk dengan sebak.
“Sebenarnya kedatangan mereka akan buat saya gembira dan sakit saya hilang seketika,” tambah beliau lagi dengan penuh harapan.
Di harap rakan-rakan artis boleh meluangkan masa untuk datang melawat artis legenda ini, jangan pula setelah tiada baru kita nak tangisi dan mengingati jasa mereka.
Ladybosz juga berkesempatan berkunjung ke kediamannya baru-baru ini dan ternyata kehadiran kami dinanti-nantikan oleh beliau untuk mengubati rindu.
“Doakan semoga saya diberi kesihatan yang baik…saya sentiasa rindu peminat-peminat semua,” kata beliau dengan nada yang lemah.
Beliau juga bersyukur isteri dan anaknya Ahmad Zaini, 52 tahun setia menjaganya dengan penuh kasih sayang.
Semoga Datuk M. Daud Kilau diberi kesembuhan dari Allah SWT….Amin
SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.