Oleh: Khadijah Ibrahim
CUBAAN pertama penyanyi Afieq Shazwan mencipta lagu sendiri yang berjudul “Mendayung Rindu” mendapat pujian ramai daripada penggemar-penggemar lagu tempatan sejak dimuat naik di saluran YouTube FMC Music, dua bulan lalu.
Afieq Shazwan atau nama lengkapnya, Muhammad Shafieq Shazwan Zamros, 28, yang mula terlibat dalam bidang seni suara sewaktu usia 10 tahun kerana menyertai program ‘Idola Kecil’ berkongsi rahsia tentang pembikinan lagu tersebut.
Kata Afieq, lagu tersebut sedikit sebanyak ada kena mengena dengan kisah hidupnya. “Mendayung Rindu” berkisar tentang putus cinta tapi masih mengharapkan cinta itu semula.

“Lagu tu saya cipta dan tulis lirik sendiri, baru release baru-baru ini dan sekarang masih dalam fasa promosi. Boleh dikatakan berdasarkan kisah benar. Saya dapat ilham itu waktu saya pergi umrah awal tahun dan saya dapat lirik kat sana.
“Nak menyiapkan lagu itu lama walaupun lagu dah ada tapi lirik masih tercari-cari lagi. Masa balik dari umrah terus beritahu bos dan bos kata okey, terus siapkan lagu itu, masuk studio buat rakaman dan mixing. Ini kali pertama saya buat lagu.
“Masa tulis lirik itu ilham datang dari kisah saya sendiri. Masa tulis tu memang tengah sedih la. Tak naklah cakap sekarang ini tengah happy ke apa tapi boleh dikatakan kisah lagu itu ada kena mengena dengan hidup saya.
“Saya rasa puas apabila dapat luahkan apa yang saya rasa itu dalam lagu. Bila saya dah lepas dalam lagu itu, saya punya hati dah tak sangkut. Walaupun lagu itu tidaklah terlalu straight forward. Ada orang kata kias-kias sikit tapi itulah luahan seorang Afieq Shazwan dalam sebuah lagu,” katanya.
Sebagai orang baharu dalam bidang penciptaan lagu, Afieq mengakui ada rasa bangga tatkala mendengar lagu ciptaannya dipasang di corong radio.
“Pertama kali dengar lagu “Mendayung Rindu” di radio, sewaktu saya sedang memandu untuk pergi ke pasar menemani mak, pada hari Ahad. Memang bangga sangat dapat dengar hasil kerja dan nyanyian sendiri di radio.
“Bagi saya cukup kalau orang suka dengar lagu ini. Nak harap lebih-lebih tak berani tapi kalau ada rezeki, kita cuba calon lagu ini masuk AIM atau AJL. Kalau ada rezeki insya-Allah. Paling nervous sebab lagu ini saya cipta dan tulis sendiri. Paling saya tak yakinlah.

Rindu”.
“Selalunya kalau ke semi final adalah lagu ciptaan komposer lain, bila nyanyi lagu ciptaan sendiri lagi nervous. Sebab lagu yang kita cipta akan dijurikan, belum nyanyi lagi,” ujarnya.
Tambah Afieq, sebagai penyanyi, dia ingin mencuba pelbagai genre muzik dan selepas ini dia akan muncul dengan lagu cover “Bintang” nyanyian asal oleh kumpulan Budak Kacamata, bersama Haqiem Rusli dan Tajul.
Dia yang suka irama reggaeton seperti lagu “Lelaki Di Telefon” yang dikeluarkan pada 2019, berkata, selepas lagu “Bintang”, akan disusuli pula dengan sebuah lagu yang menjurus kepada ketuhanan.
Dalam kerjaya sebagai penyanyi, Afieq paling banyak berduet dengan Tajul menerusi lagu “Malam Semakin Dingin”, “Resah Kerinduan”, “Di Mana Janjimu Dulu”, “Insanku Sayang Kini Menghilang” dan “Hilangmu Tak Berganti”.
Lain-lain kolaborasinya dengan penyanyi naungan FMC adalah “Di Alam Fana Cintamu” bersama Haqiem Rusli, “Mengusung Rindu” (bersama Tajul, Haqiem Rusli & Zack Zakwan), “Cinta Hanya Buatan” (bersama Muna Shahirah) dan “Langkah Seiringan” (bersama Asyraff Khan).
Afieq yang terkenal menerusi watak Rizal dalam drama “Rampas Cintaku” yang merupakan kesayangan Datin Safieya berkata, buat masa sekarang dia mahu fokuskan kepada kerjaya seni suara.

“Alhamdulillah, tawaran berlakon memang ada tapi buat masa sekarang saya fokus pada show dan promosi lagu-lagu baharu. Kalau saya sibuk dengan lakonan, saya tak ada masa nak promosi lagu saya. Jadi saya terpaksa korbankan waktu berlakon disebabkan lagu dan projek yang saya ada.
“Saya dapat tawaran macam-macam watak dan watak yang best pun ada juga tapi disebabkan kekangan waktu, saya terpaksa berkorban. Saya suka bidang lakonan ni sebab saya suka tengok hasilnya. Nak terbitkan drama atau filem bukan mudah. Mengambil masa yang lama dan banyak kerja lain yang perlu digadaikan untuk siapkan projek tersebut,” katanya yang dilantik sebagai wajah untuk minyak wangi Yaya Empire sejak tahun lalu.
Bagai melunaskan tanggungjawabnya sebagai wajah untuk produk tersebut, Afieq yang merupakan lulusan Ijazah Perniagaan di Management & Science University (MSU) tidak kisah walaupun terpaksa mengadakan pesembahan di acara-acara kecil.
“Saya adalah salah satu wajah untuk Yaya Empire. Dalam event kecil atau besar saya akan sertai kerana saya mewakili Yaya Empire untuk jadi wajah-wajah yang akan menceriakan slotnya. Nak tak nak saya akan turun untuk nyanyikan beberapa buah lagu termasuk juga lagu-lagu saya. Kalau saya ada lagu baharu, saya akan ambil peluang itu untuk mempromosi lagu tersebut.
“Kalau untuk produk pewangi, Yaya Empire yang pertama. Untuk produk lain ada juga untuk buat reviu atau kempen itu normal. Ada juga yang ikat enam bulan untuk produk air. Tapi kalau untuk pewangi ini pertama dan kalau ikut tempoh sudah hampir setahun bersama Yaya Empire,” katanya ceria sebab menerusi acara sebegitu, dapat bertemu dengan peminat secara dekat.

Gara-gara lakonan, Afieq ditawar RM25,000
Sepanjang kerjayanya dalam bidang seni, Afieq yang pernah menyertai program Big Stage musim pertama (2018) telah berlakon tiga filem, “Siapa Tutup Lampu?” pada 2021, “Peluang Ketiga”, “Saka Perawan” (2024) dan tahun ini tampil dalam filem “Abu Si Raksasa”.
Manakala drama pula, dia sudah berlakon sejak 2008 menerusi “Idola Kecil Cindarella Stories”, “Idola Kecil The Series”, “Elly & Epit”, “7 Hari Mencintaiku” (2016), “Diari Seorang Suami” (2021) serta “Rampas Cintaku 2” (2024).
“Untuk filem “Abu Si Raksasa”, saya rasa okey dan have fun dari permulaan penggambaran sampailah selesai. Dari segi lakonan, saya gembira dapat berlakon dengan pelakon hebat dan dapat berada dalam poster bersama dengan pelakon yang ada.
“Kalau ada lagi cerita-cerita yang bertemakan sci-fi, saya tak ada masalah untuk terima projek. Sebab pada awalnya kita tidak ada gambaran tapi kita cuba untuk meletakkan kepercayaan. Lakonan pun kita tak adalah ambil remeh.
“Dari sudut lakonan kita ambil serius. Kalau dari segi dialog dan lakonan, cuba juga research apa watak yang boleh kita bawa dalam filem tersebut dan ikut juga kehendak pengarah. Sebagai pelakon, saya akan ikut permintaan pengarah.
“Dalam bidang lakonan ini saya pegang nasihat pelakon senior seperti ibu Fauziah Nawi. Dia kata ada waktu kita kena pilih watak dan ada ketika lain, tidak. Kalau untuk saya, saya letakkan diri sangat kerdil sebab kalau kita nak memilih tu pun saya rasa belum layak. Kalau apa yang datang, saya rasa baik, saya akan cuba buat. Sebab kadang dalam mana-mana cerita yang saya rasa baik atau tak baik, kita tak boleh nak judge.
“Contoh, cerita yang saya kena kecam juga tapi orang puji lakonan saya, “Rampas Cintaku”. Pada awalnya saya tak nak berlakon cerita itu tapi itulah cerita yang secara tak langsung rezeki menaikkan nama saya dan orang nampak lakonan saya. Kalau ada tawaran lakonan, saya terima kalau jadual okey dan saya tak nak memilih,” katanya terus terang.
Gara-gara drama arahan Ejump Mohd itu, ada yang berpendapat di luar set, Afieq juga adalah Rizal yang suka mendampingi wanita berusia (Datin Safieya).
“Ada juga yang pernah bertanya, kalau saya nak keluar dengan awak, berapa saya kena bayar? Sampai minta saya sertakan amaun. Saya kata itu bukan kerja saya untuk keluar dengan orang. Contohlah, kalau saya letak amaun tertentu dan kata boleh keluar dengan saya, pasti havoc.

“Saya dapat pertanyaan sebegitu daripada perempuan dan lelaki. Saya tengok akaun tu tapi lama kelamaan, saya memang block. Ada juga yang hantar gambar-gambar yang tak sepatutnya, cuma saya tak hebohkan saja.
“Pernah sampai satu tahap, ada seorang wanita yang sunting gambar saya berpelukan dan berkahwin dengannya. Rupa-rupanya perempuan itu adalah dari negara jiran. Ada juga terima gambar tak senonoh kat sosial media ada yang DM kat TikTok dan Instagram, memang tak dapat nak kawal.
“Cuma kalau kita buka request untuk tujuan pekerjaan, dapat pula gambar-gambar tu, saya akan delete dan terus block. Saya minta maaf kalau dia juga peminat saya. Saya terpaksa block orang macam tu sebab awak menghantar benda yang tak baik.
“Ada orang tu sanggup bayar RM25,000 untuk ikut dia pergi travel. Saya tahan sabar dengan satu pegangan, rezeki saya untuk sampai ke tahap sekarang, semua ditangan Tuhan. Ini semua ujian. Memang kita tahu tak semudah itu untuk dapat sebanyak itu tapi saya bersyukur dengan kerja-kerja yang saya buat sekarang, menyanyi, berlakon dan mengacara.
“Cukuplah walaupun orang kata susah payah kena beli baju dan penat tapi saya lebih rela berurusan dengan kerja begitu daripada memilih kerja senang, easy money tapi kena buat benda-benda macam tu, tak nak saya,” katanya.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









