Oleh: Khadijah Ibrahim
PADA 2021, Asyraf Nasir tampil dengan single berjudul “2PAI”. Penyanyi hip-hop yang pernah berkolaborasi dengan Yonnyboi dan Zynakal menerusi lagu “Tak Sangka” kini muncul dengan single baharu berjudul “Cinderella”.
Lagu “Cinderella”, ciptaan SonaOne dan lirik oleh Asyraf itu merupakan sebuah kisah dongeng moden penuh keyakinan, tanpa kasut kaca seperti kisah dongeng asalnya.
Dilancarkan sebagai lagu ‘feel-good’ untuk golongan yang dipinggirkan atau ‘underdog’ moden, “Cinderella” meraikan saat di mana seseorang akhirnya melangkah ke cahaya dan mendapat perhatian, bukan dalam nada berat atau dramatik, tetapi dengan rasa seronok, nakal, dan penuh gaya.
“Lagu “Cinderella” adalah untuk sesiapa yang pernah rasa terpinggir, tetapi tahu dalam hati bahawa mereka punya sesuatu yang istimewa. Lagu ini tentang keyakinan, tentang tiba-tiba semua mata memandang, dan anda menikmatinya sepenuhnya.
“Saya tidak mengambil masa lama untuk hasilkan lagu ini, dalam tempoh dua hari. Sebahagian besarnya menggunakan rakaman ‘first take’ atau rakaman pertama. Sama seperti lagu sebelumnya “Virus”, saya bersama rakan kolaborasi, SonaOne berjaya menangkap tenaga spontan yang segar di studio.

“Kita orang tak overthink. Apa yang anda dengar adalah hasil tangkapan babak sebenar. Jujur dalam cara terbaik. Bekerja dengan SonaOne, adalah pengalaman yang membuka mata.
“Dia tahu bila nak bina ruang dan bila nak naikkan tenaga. Rasanya macam main ping-pong. Saya lontar idea, dia balas, dan tiba-tiba lagu ni jadi hidup,” jelasnya.
Tambah Asyraf, bunyi ‘eccentric synth piano’ yang membuka lagu ini sebenarnya diambil daripada sebuah lagu lama Malaysia yang diolah semula dengan sentuhan moden.
“Sebenarnya, “Cinderella” bermula sebagai demo pada tahun 2020. Selepas lima tahun, lagu ini masih terngiang-ngiang di telinga saya dan rakan-rakan pemuzik yang mendengarnya. Hampir tiada perubahan drastik dibuat dari versi demo ke versi akhir, kerana keajaibannya sudah ada sejak awal.
“Kita perbaiki adunan muzik, tapi kita kekalkan rasa asal. Saya percayakan KidKenobi untuk hasil akhir. Tajuk asal lagu ini ialah “Condifento”, hasil gurauan spontan ketika proses mencipta rentak,” katanya.
Jelas Asyraf, “Cinderella” menjadi pembuka tirai kepada era baharunya kerana setiap lagu akan ada watak dan personalitinya sendiri, macam karakter dalam filem. Justeru itu, dia mahu pendengar tenggelam dalam fantasi itu.
Dengan “Cinderella”, Asyraf bukan sahaja mengetengahkan sisi baharunya, malah membuktikan bahawa kisah dongeng juga boleh hadir dengan rentak hip-hop, penuh keyakinan dan gaya tersendiri.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









