Bersyukur kerana lagu "Serumpun" berjaya menaikkan namanya di persada seni.

Oleh: Khadijah Ibrahim

MULA menceburi bidang seni suara pada 2008 bersama kumpulan hip hop One Nation Emcees yang dianggotai oleh Mohamed Fareezan ‘Kozae’ Mohamed Murtaza, Mohd Norzaidi ‘Zydee’ Edris dan Nur Hasan ‘Jojoe’ Baias, namun nama Shamimi Amalina ‘Mimi’ Norhisham tampak biasa sahaja.

Kumpulan tersebut pernah muncul sebagai juara untuk program Gang Starz, musim kedua dan pada 2019, kumpulan One Nation Emcees sekali lagi menyertai pertandingan realiti Gegar Vaganza musim keenam dan menduduki tempat kelima untuk program tersebut.

Bagaimanapun selepas dua minggu program tersebut tamat, Mimi mengambil keputusan keluar daripada One Nation Emcee untuk memberi tumpuan kepada kerjaya solo selepas lapan tahun bersama kumpulan tersebut.

Di awal kemunculan dalam dunia seni bersama kumpulan One Nation Emcees.

Mimi atau dikenali dengan nama pentas Mimifly, 39, tidak takut untuk bergerak solo sejak 2015 kerana dia bukan sekadar boleh menyanyi, malah berkebolehan menulis lirik, penggubah lagu, pereka tari dan pelakon.

Penyanyi yang lebih menjurus kepada genre muzik R & B, balada, hip hop dan pop tarian itu juga pernah mencabar diri menyertai pertandingan Dangdut Academy Asia 2015 atau D’Academy Asia musim pertama. Dia juga pernah sertai The Masked Singer Malaysia musim ketiga, 2022 sebagai Dewi Angsa.

Selepas bergerak solo, Mimi mengeluarkan single pertama berjudul “Enigma” yang merupakan lagu tema untuk filem “Girlfriend Kontrak”. Sejak itu, Mimi berpeluang bekerjasama dengan ramai artis dan komposer ternama seperti Altimet, Malique, Audi Mok, Omar K, Ezra Kong dan Benzooloo.

Lagu “Pura-Pura Bujang” ciptaan Mimi bersama Ezra Kong yang didendangkan oleh Baby Shima pada 2018, berjaya mendapat lebih 22 juta tontonan di YouTube.

Mimifly kembali dengan single “Nara” yang diinspirasikan daripada legenda Puteri Gunung Ledang.

Pada 2020, Mimi bertanggungjawab mengeluarkan sebuah lagu tema untuk filem “Bisikan” yang berjudul “Hujan” kolaborasinya bersama Altimate, merupakan nukilannya bersama Khairafik Khairudin.

Walaupun Mimi banyak mengeluarkan karya sebagai penyanyi mahupun orang di belakang tabir, namanya mula menjadi bualan ramai selepas lagu “Serumpun” dikeluarkan pada tahun ini.

Sebelum ini Mimi yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik itu tampil dengan lagu “Angkat”, adaptasi daripada lagu “Angkat Kaki”, nyanyian Sheeda.

“Walaupun lagu “Serumpun” pernah menjadi kontroversi, namun saya bersyukur kerana lagu itu jugalah yang menaikkan nama saya. Tak tahu nak gambar macam mana.

Lagu-lagu nyanyian Mimifly pasti menampilkan dia menari mengikut irama.

“Saya juga tak jangka selepas video muzik “Serumpun” diturunkan dan dinaikkan semula dengan versi baharu dalam tempoh tidak sampai 24 jam, alhamdulillah sambutan yang diterima di luar jangkaan.

“Selepas kejadian itu, saya amat berhati-hati setiap kali menghasilkan karya. Terima kasih atas teguran daripada orang ramai, itu membuktikan yang saya disayangi. Malah lagu “Serumpun” juga telah membawa peluang untuk saya berkolaborasi dengan komposer legenda India, Vidyasagar,” katanya.

Menurut Mimi, komposer yang digelar Melody King itu yang menghubungi pihaknya selepas mendengar lagu “Serumpun”. Malah Vidyaasagar bakal menjayakan konsert The Name Is Vidyasagar Revisit di Axiata Arena Bukit Jalil pada 6 September ini.

“Rezeki yang tak dijangka. Saya boleh kolaborasi dengan komposer tersohor itu sebab dia yang hubungi pihak saya. “Serumpun” yang membawa rezeki untuk saya. Bersyukur yang teramat-amat dan saya bakal muncul dalam konsertnya nanti.

Bakal mengadakan persembahan bersama komposer legenda dari India, Vidyasagar pada 6 September ini di Axiata Arena Bukit Jalil.

“Kita tengoklah nanti keserasian tu macam mana kerana ini bukan sekadar rakaman tapi persembahan pentas yang membabitkan pencahayaan dan sebagainya. Saya terharu dapat bekerjasama dengan orang ternama kerana di depan mata saya, dia boleh siapkan melodi dalam masa 10 minit.

“Dia minta saya hasilkan lirik terlebih dahulu dan melodi akan dicipta berdasarkan lirik. Ketika kami bertemu baru-baru ini, saya tunjukkan lirik yang ditulis. Lagu itu bertemakan cinta yang tidak kesampaian dan dia mula merangka melodi ketika itu juga.

“Sebaik mendengar susunan awal lagu itu, saya teruja. Lagu itu ada unsur Bollywood yang rancak dan sesuai dengan jiwa saya yang suka menari. Bagi saya, menyertai konsert mega komposer legenda India, Vidyasagar itu, sebagai penghormatan besar dan pencapaian istimewa dalam karier seni,” akuinya.

Lepas “Serumpun” tampil dengan “Nara” pula

Jika “Serumpun” dikeluarkan sewaktu menjelang sambutan raya, kini sempena Hari Kebangsaan yang ke-68 tahun ini, Mimi mengeluarkan karya yang membangkitkan semangat juang iaitu “Nara”.

Jelas Mimi, “Nara” diinspirasikan daripada legenda Puteri Gunung Ledang. Lagu ini memaparkan sosok wanita yang bijaksana, berwibawa, strategik dan penuh keberanian, digubah sebagai sebuah anthem berkuasa yang membangkitkan semangat juang.

Rezeki Mimifly semakin banyak selepas lagu “Serumpun” mendapat sambutan hangat.

Tambahnya, “Nara” lahir daripada simbol ketabahan dan ketepatan yang dibawa oleh seorang srikandi, selari dengan naratif HOK (Honor of Kings) permainan MOBA mudah alih paling popular di dunia yang memaparkan pejuang legenda bertarung di medan epik.

“Ia satu penghormatan buat saya untuk menghasilkan “Nara”. Melalui lagu ini, saya ingin menjiwai semangat Puteri Gunung Ledang dari sudut kebijaksanaan, keberanian, serta keanggunan dan menterjemahkan tenaga itu dalam muzik yang membangkitkan pejuang dalam diri kita.

“Bagi saya, kekuatan sebenar bukan sekadar datang daripada tenaga, tetapi juga daripada minda dan hati. Lagu “Nara” ini dihasilkan secara bersahaja dan lirik lagu ini disiapkan sewaktu saya sedang bercuti dengan mama di Sabah.

“Motif sebenar lagu ini adalah untuk membangkitkan semangat saya. Lagu ini diinspirasi selepas lagu “Serumpun kena take down! Masa buat lagu ini di Sabah, saya sedang tengok pantai waktu itu. Ketika itulah terbayang di minda saya bagaimana saya tangani masalah “Serumpun”.

“Saya masih ingat sewaktu video lagu itu diturunkan, emosi saya bergolak, marah dan menangis. Waktu itu dah rasa habislah duit aku. Bila mama pegang saya dan dia kata think dan used your brain. Waktu itulah saya mula berfikir dan buat balik. Waktu tulis lirik “Nara”, momen kesusahan itulah tampil di minda,” hurai Mimi tentang lirik lagu yang menggabungkan pop dan hip-hop dengan sentuhan muzik Nusantara yang menjadi identitinya itu.

Bila hidup bersendirian, kata Mimifly idea untuk mencipta lagu datang tanpa dipaksa.

Meskipun, menghasilkan bunyi yang moden tetapi tetap berakar pada tradisi. “Nara” dicipta sepenuhnya oleh Mimi bersama pasukan produksi PriiBoMii, dengan melodi berulang yang bersifat “chant-like”, bertujuan membangkitkan semangat juang setiap pendengar. Malah lagu ini juga berbeza dengan lagu-lagunya sebelum ini disebabkan mood yang ditonjolkan.

“Kita tengok lagu “Angkat”, moodnya hilang, macam I don’t care. Mood “Serumpun” pula jom sama-sama iaitu kebersamaan. Tapi untuk “Nara” ia bersendirian, macam kita bercakap dengan diri sendiri. Monolog sendiri di dalam bilik atau bilik air. Inilah mood yang saya nak tonjolkan dalam “Nara”.

“Saya turut memasukkan bahasa isyarat sebagai tanda penyatuan dan keterangkuman. Sama ada anda pemain game atau tidak, saya berharap lagu ini membakar semangat untuk terus maju dan menjadi versi terbaik diri sendiri,” katanya mengenai lagu “Nara” yang boleh distrim di Spotify, Apple Music dan YouTube Music.

Mimi yang kini kembali hidup solo selepas bercerai dengan bekas suami, Mohd Firdaus Hajar pada Disember 2017, mengakui tempat yang paling digemarinya ketika ini adalah di studio untuk bekerja.

“Tempat yang menggembirakan saya adalah di studio, sebab kerja yang saya suka buat adalah di studio. Nak habiskan masa di studio kerana tempat itu memberi ketenangan sebab di situ saya boleh buat apa yang saya suka.

“Sekarang ini saya ada kira-kira 11 buah lagu demo dan saya nak polish dan develop lagu-lagu demo yang boleh memberi manfaat kepada saya dan industri. Itu harapan saya sebagai artis. Insya-Allah kalau ada peluang saya akan buat album dan kalau jadi, jadilah. Sekarang ini ilham saya memang tengah menjadi-jadi, selalu terjaga pukul 3 pagi dan mula menulis,” katanya terus terang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here