Lagu-lagu dendangan Maher Zain bukan sekadar hiburan tapi ada mesej di sebaliknya.

Oleh: Khadijah Ibrahim

SELEPAS menunggu selama enam tahun, akhirnya penyanyi Maher Zain dapat kembali ke Malaysia yang dianggap sebagai rumah keduanya bagi menjayakan konsert “The Journey to the Far East: Maher Zain – The Live Experience (Kuala Lumpur) di pentas Idea Live Arena, 3 Damansara, pada 30 Ogos lalu.

Konsert anjuran Yayasan Tengku Abdullah (YTA) dengan kerjasama promoter konsert rasmi, Hitman Solutions dan Happymoon, acara ini menghimpunkan lebih 5,000 peminat yang bersama-sama meraikan kepulangan semula artis muzik kerohanian bertaraf dunia itu

Selalunya, kalau menonton konsert hanya golongan dewasa atau remaja saja yang hadir, namun untuk persembahan Maher Zain, pelbagai lapisan penonton yang datang termasuk keluarga yang hadir bersama anak-anak, sekali gus mencerminkan tarikan penyanyi yang berasal dari Lubnan itu.

Malam tersebut bermula dengan lagu “Assalamu Alayka”, antara karya ikonik Maher Zain yang serta-merta menukar suasana dewan menjadi lautan suara yang bergema serentak.

Hampir selama dua jam, Maher Zain yang diiringi oleh tujuh orang pemuzik itu mempersembahkan rangkaian lagu-lagu kegemaran ramai yang telah membentuk perjalanan rohani jutaan peminat di seluruh dunia.

Maher Zain suka datang ke Malaysia kerana suka melihat sikap rakyat tempatan yang penuh adab.

Antara lagu yang dipersembahkan termasuk “InshaAllah”, “Alayka Salla Allah”, “Baraka Allahu Lakuma”, “Close To You” dan “For The Rest of My Life”.

Suasana mencapai kemuncaknya apabila ribuan suara menyanyi bersama-sama dan mencipta keharmonian yang terasa seperti pertemuan semula penuh kerinduan antara Maher Zain dan peminatnya di Malaysia.

“Malam ini saya sungguh tersentuh. Malaysia akan sentiasa berada di tempat yang istimewa dalam hati saya. Terima kasih kerana menyokong saya selama ini. Insya-Allah, saya akan kembali lagi,” ujar Maher Zain penuh rasa terharu, sebelum menutup malam dengan lagu “Ya Nabi Salam Alayka”.

Selain menghibur penonton dengan rangkaian lagu-lagu popularnya, Maher Zain sempat menyelitkan nasihat secara santai. Antara ungkapannya yang paling menarik, “Saya sentiasa bangga sebagai seorang Islam”.

Malah katanya, di antara banyak negara yang dikunjungi, dia paling suka Malaysia kerana rakyatnya penuh dengan keadaban. Maher Zain juga sempat bertanya kepada penonton, dalam sehari berapa kalikah anda mengucapkan Alhamdulillah sebagai tanda Syukur kepada Allah.

Selepas enam tahun menunggu untuk mengadakan persembahan di Malaysia, akhirnya pada 30 Ogos lalu impian Maher Zain tercapai.

Sementara itu, Pengerusi dan Pengasas YTA, Tengku Shaheera Tengku Tan Sri Abdullah berkata, pihaknya amat berbesar hati dapat menganjurkan konsert Maher Zain yang bukan sekadar hiburan semata-mata.

“Kami berasa amat berbesar hati dapat menganjurkan konsert sulung ini bersama Maher Zain, seorang artis yang karya muziknya mendalami nilai serta mesej yang seiring dengan pendirian Yayasan Tengku Abdullah.

“Bagi kami di YTA, ini lebih dari sekadar sebuah konsert, ia adalah cerminan iman, kemanusiaan, dan kasih sayang. Apabila kita menyaksikan ribuan orang berhimpun di bawah satu bumbung untuk meraikan mesej cinta dan harapan, ia adalah satu peringatan bahawa muzik mampu menyatukan hati.

“Kami amat bersyukur kerana dapat menjadi sebahagian daripada detik istimewa ini dan berharap dapat meneruskan misi kami untuk mengangkat serta memperkasa komuniti melalui inisiatif yang bermakna,” katanya.

The Journey To The Far East: Maher Zain — The Live Experience (Kuala Lumpur), bukan sekadar hiburan, tetapi merupakan sebuah malam penuh makna. Setiap bait lirik, setiap melodi, dan setiap detik di pentas mencipta kenangan yang akan terus terpahat dalam hati para peminat.

Bagi mereka yang hadir, ia adalah persembahan yang membawa peringatan tentang cinta, harapan, rasa kesyukuran, dan paling utama, kepentingan komuniti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here