Oleh: Khadijah Ibrahim
JIKA anda mempunyai idea dan suka menulis skrip, jangan disimpan karya tersebut sebagai koleksi. Sebaliknya, hasil penulisan anda terutamanya, skrip boleh dijadikan punca pendapatan jika terpilih.
Bagaimana caranya? Mudah sahaja, anda hanya perlu menghantar nukilan anda itu kepada Usanita Sdn. Bhd kerana sekarang ini Usanita sudah ada platform penstriman digital eksklusif (OTT) sendiri iaitu UTV.
Plaform yang menggunakan tagline ‘Steam For You’ itu adalah ruang baharu yang bukan sahaja menyajikan hiburan, tetapi juga membuka peluang besar kepada bakat kreatif tempatan untuk melangkah ke pentas lebih luas.
Presiden UTV merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Group, Datuk Adzliana Hassan atau Datuk Nana berkata, UTV lahir daripada inspirasi dan pengalaman panjang Usanita bekerjasama rapat dengan industri seni tempatan serta stesen televisyen antarabangsa.
“Industri seni adalah nadi masyarakat. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi warisan yang mengangkat budaya, identiti dan kisah hidup kita. Dari inspirasi itu, kami lahirkan UTV sebagai platform yang bukan hanya menyiarkan karya, tetapi juga memberi ruang kepada idea baharu untuk direalisasikan.

“Saya percaya ramai penulis skrip, penerbit dan kreator di luar sana menyimpan jalan cerita yang hebat tetapi belum ada peluang. UTV hadir untuk membuka pintu itu,” katanya.
Tambahnya, buat masa ini, UTV akan beroperasi menggunakan model Pay Per Content, yang memberi kebebasan kepada penonton memilih kandungan yang mereka mahu tanpa perlu melanggan keseluruhan pakej.
Antara pakej yang diperkenalkan adalah UTV Original yang menyiarkan drama dan telefilem eksklusif berkualiti tinggi. Karya yang sedia ada untuk ditonton adalah “Saling Tak Terlihat”, lakonan Remy Ishak bersama Nora Danish, “Langit Tanpa Bintang” (Nabila Huda & Hasnul Rahmat), “Diari Air Mata” (OST Ajai & Aisha Retno), “Poskad Cinta Dari Auckland” (Fattah Amin & Amira Othman), “Anak Mak” (Sheila Rusly & Sophia Albarakbah), “Aku Cinta Dia” (Zoey Rahman & Fattah Amin) dan “Hantu Cinta Kamu” (Zizan Razak, Sherry AlHadad & Nora Danish).
Manakala bagi yang mahu menonton konsert penyanyi kesukaan anda, bolehlah melanggan UTV Music yang menayangkan konsert eksklusif ke skrin anda seperti Showcase Janji (Dayang Nurfaizah) dan A Night With Aina Abdul 3.0.
Sementara itu, UTV Podcast pula berkisar mengenai perbincangan segar dan relevan, antaranya Hitam Putih, Ruang Usanita serta akan datang Next Gen Ummah.
Untuk UTV Talkshow pula lebih fokus kepada bual bicara santai namun penuh nilai seperti Unwrapped: Kisah Disebalik Spotlight dan Cook With Sheila Rusly.

Pelanggan juga boleh menonton UTV Smart iaitu gabungan hiburan dan ilmu, antaranya Bootcamp Usanita serta Online Business Game 101 with Zoey Rahman.
Pendekatan ini memberi nilai eksklusif kepada setiap karya serta memudahkan pengguna menyesuaikan pilihan mengikut minat. Apa yang membezakan UTV daripada platform lain ialah kesediaannya membuka ruang pitching kepada semua.
Tidak kira sama ada anda sebuah syarikat produksi besar, penerbit indie, atau penulis skrip baharu, pintu UTV terbuka luas. UTV mahu menjadi platform yang mencungkil bakat baharu serta mengetengahkan idea segar agar industri seni terus subur dengan kepelbagaian karya.
“Kita sering dengar keluhan kreator muda yang sukar mencari ruang menayangkan idea mereka. Ada yang menulis skrip bertahun-tahun, ada yang menyimpan sinopsis penuh potensi, tetapi akhirnya tersimpan di laci kerana tiada platform untuk direalisasikan.
“Di UTV, kami mahu ubah keadaan itu. Hantar idea anda, jangan takut mencuba. Jika ia kuat, kami sedia menilai, membimbing dan membawa karya itu ke skrin UTV,” kata Datuk Nana lagi.
UTV mengalu-alukan semua pihak menghantar idea dan sinopsis mereka melalui e-mel [email protected] atau mesej di media sosial rasmi UTV: Instagram @utv.official dan TikTok @utvoriginal.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









