Sanggup menggunakan wang simpanan untuk memastikan pembikinan album "Pujangga"berjalan lancar.

Oleh: Khadijah Ibrahim

PENYANYI Hazama Ahmad Azmi, 41, melahirkan rasa kesyukuran kerana hasil usahanya bersama team dipandang dalam industri muzik tanah air.

Hazama meluahkan rasa gembira kerana karyanya yang dilaksanakan bersama team berjaya tersenarai sebagai Top 5 untuk enam kategori dalam Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24).

Enam pencalonan Hazama di AIM24 ialah Vokal Lelaki Terbaik menerusi lagu “Medonan”, Lagu Rock Terbaik (lagu “Aku Ada”, “Rembulan & Pungguk” dan “Semacam Pandora”), Lagu Tradisional Terbaik (“Penawar Kita” yang menampilkan Noraniza Idris) dan Rakaman Album Terbaik (album “Pujangga”).

Momen twrindah bagi Hazama kerana muncul sebagai juara AF9 pada 2011.

“Alhamdulillah, saya rasa sangat bersyukur kepada Allah SWT, hasil usaha saya dengan team nampak dalam industri dan saya rasa gembira. Bagi saya, ini adalah satu berita gembira untuk saya dan kawan-kawan.

“Saya pun tak percaya tercalon dalam enam kategori, saya jangka mungkin salah satu kategori ada satu lagu. Ini untuk kategori rock ada tiga lagu saya, memang seronok dan tak tahu nak gambarkan macam mana kerana ini pertama kali.

“Sebelum ini untuk album pertama, “Penglipurlara”, album itu bukan saya yang buat. Bila tercalon saya sebagai penyumbang suara saja. Tapi untuk album “Pujangga” ini memang saya yang terlibat sepenuhnya, melodi daripada jiwa saya,” kongsi Hazama tentang kegembiraannya itu.

Di antara kategori yang tercalon, Hazama menganggap kategori Vokal Lelaki Terbaik paling sengit kerana turut tersenarai dalam kategori tersebut adalah Hafiz Suip, Akim Ahmad dan Amir Masdi. Begitu juga untuk kategori Lagu Rock Terbaik.

Untuk lakonan Hazama telah membawa pelbagai watak.

“Dalam kategori vokal lelaki ataupun untuk kategori lagu rock, saingan memang sangat sengit. Bagi saya sudah tercalon pun satu berita gembira untuk saya, tak boleh nak jangka. Kalau tersangkut, itu bonus bagi saya.

“Masa album pertama, saya banyak juga tercalon tapi yang saya harapkan itu tak dapat. Saya faham pertandingan ini ada menang dan kalah. Bagi saya sudah sampai Top 5 ini pun alhamdulillah. Kalau menang itu bonus. Kalau sebaliknya, saya tak kecewa dan saya tetap akan berkarya sampai bila-bila. Selagi saya menjadi penyanyi kat Malaysia ini, selagi itu saya akan berkarya.

“Lagu dengan Noraniza Idris, “Penawar Kita” turut tercalon, saya terkejut juga. Itu bukan lagu saya, sekadar kolaborasi. Saya tak tahu nak jangka apa dalam kategori Lagu Tradisional Terbaik ini. Kalau ada alhamdulillah sebab irama Malaysia itupun irama orang Melayu, saya pun orang Melayu, kalau tersangkut saya berbangga juga sebab itu salah satu perjuangan kita juga,” kata Hazama.

Tambahnya, untuk pencalonan yang diluar jangkaan itu membuatkan dia lebih bersemangat untuk keluarkan lebih banyak karya untuk diri sendiri dan orang lain.

Black Hanifah, Hattan dan Hazama bergandingan menjayakan konsert Hitam Manis.

“Ada beberapa lagu yang saya pilih untuk dimasukkan dalam beberapa kategori tertentu. Untuk kategori album terbaik pun saya masukkan juga cuma tak sangkut kat album. Saya lebih harapkan album saya tersangkut untuk Top 5 tapi saya tetap bersyukur juga.

“Sebab saya bukan keluar single tapi album, kalau boleh album itu saya naklah terpilih untuk Top 5. Tapi tak apa saya pun dah rasa bertuah dan bersyukur kerana ada juga kategori yang sangkut.

“Melihat kepada pencalonan yang diumumkan, saya bukan saja bersemangat untuk keluarkan karya tapi lebih yakin untuk saya terbitkan lagu. Bila tercalon dalam kategori tersebut, orang luar akan nampak saya sudah boleh jadi produser.

“Mungkin lepas ini ada penyanyi baharu yang berani nak minta saya terbitkan lagu untuk mereka. Saya harap orang kat luar yang nak masuk dalam industri ini akan lebih yakin untuk bekerjasama dengan saya,” katanya penuh semangat.

Bersama isteri Genervie Kam yang dinikahi sejak 2017.

Korbankan tabungan IVF demi album

Hazama yang merupakan suami kepada pengarah muzik, Genervie Kam sejak 14 Januari 2017 itu berharap rezeki akan berpihak kepadanya juga pada malam kemuncak AIM24 yang bakal berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang pada Sabtu, 13 September ini.

Bukan Hazama sahaja, setiap yang tersenarai sebagai Top 5 pasti ada impian yang sama. Jelasnya untuk menerbitkan album “Pujangga” bukanlah mudah kerana dia terpaksa menggunakan wang simpanan untuk rawatan in vitro fertilisation (IVF) isterinya kira-kira RM200,000 bagi penerbitan album tersebut.

“Selain menggunakan Dana Kandungan Digital (DKD) menerusi MyCreative Ventures, saya guna duit sendiri juga untuk siapkan album “Pujangga”. Jadi, saya tambah lagi sekitar RM200,000 dari wang simpanan itu untuk mencukupkan kos penerbitan album.

“Dengan apa yang saya dapat (pencalonan AIM24), saya rasa keputusan ini berbaloi. Sebabnya, saya fikirkan bahawa peluang untuk terbitkan album bukanlah selalu datang.

Bakal menjayakan konsert bersama ST12.

“Disebabkan kami belum ada rezeki untuk ada cahaya mata, kami lahirkan album ini yang saya anggap sebagai ‘baby’ kami juga. Album ini kos besar sebab saya ada siapkan dokumentari dan kita ada buat video klip. Saya banyak buat ikut idea sendiri dan banyak makan modal,” katanya yang ketika ini sibuk mempromosi single “Aku Bukan Narsisis”, (runut bunyi drama ‘Dia Bukan Syurga’) ciptaan Farouk Roman dan lirik ditulis olehnya bersama Zel Hadauan.

Jelas Hazama, isterinya tidak membantah kerana itu adalah wang simpanannya sendiri dan mereka juga sudah beberapa kali melakukan IVF.

“IVF pun sudah beberapa kali cuba tapi saya rasa tanggungjawab saya pada industri muzik tak selesai lagi. Harapan saya sebagai seorang penyanyi, kalau boleh karya saya tu naklah orang tahu. Saya nak settle itu dulu, sebab sebelum saya berkenalan dengan isteri, saya berkenalan dengan kerjaya saya ini dulu.

“Jadi saya nak settle kerja saya kerana kerja saya inilah saya dapat berjumpa dengan isteri. Isteri saya hormati keputusan saya dan lepas itu barulah kita fokus kepada IVF kerana kami sentaisa berikhtiar untuk dapatkan anak,” katanya terus terang.

Hazama yang pernah menjayakan konsert ‘Hitam Manis’ bersama Datuk Hattan dan Black Hanifah pada 8 Februari 2025 mula diperkenalkan di persada muzik ketika usianya 20 tahun.

Dia pernah tersenarai sebagai salah seorang calon awal untuk program realiti Akademi Fantasia musim keempat (AF4) pada 2006, namun tuah tidak memihak kepadanya.

Hazama terharu tercalon dalam enam kategori untuk AIM24.

Semangatnya untuk bergelar penyanyi, akhirnya tercapai apabila muncul sebagai juara untuk AF9 pada 2011. Rentetan kejayaannya itu, pada penghujung 2012, Hazama mengeluarkan single pertama yang berjudul “Majnun” dan diikuti dengan single “Relakan Jiwa” yang dijadikan runut bunyi untuk drama ‘Jika Itu Takdirku’.

Setakat ini Hazama telah mengeluarkan dua album, “Penglipurlara” (2013) dan “Pujangga” (2024). Manakala lagu “Simetri (feat. Datuk Amy Search) yang dimuat dalam album pertamanya yang dikeluarkan pada 2013, itu turut tercalon untuk kategori Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Lelaki) dan Lagu Rock Terbaik di AIM19.

Selain berduet dengan Amy Search, Hazama juga pernah berkolaborasi dengan Dina Nadzir menerusi lagu “Percaya”, “Percayakan Hati Kita (bersama Noryn Aziz), “Saya Anak Malaysia” (bersama Usop), “Terakhir Buat Teman” (nyanyian bersama Allahyarham Siti Sarah), “Suara Licik” (bersama Tomok, Black & Akim) dan bersama kumpulan ST12 (“Cinta Tak Biasa” dan “Harapan Tak Kunjung Usai”).

Hazama yang pernah menjadi ‘runner’ hantar laksa buatan isteri sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan setakat boleh menyanyi, dia juga seorang pelakon.

Orang pertama yang mengesan bakat lakonannya adalah pengarah Ahmad Idham yang mempelawa dia berlakon watak samping dalam filem ‘Apa Celop Toqq’ pada 2012. Lain-lagin filem lakonan Hazama antaranya, ‘Hantu Nan Sempit’ (2013), ‘Coast Guard Malaysia: Ops Helang’ (2023), Harimau Malaya: The Untold Journey (2024).

Bukan setakat filem, dia juga sering mendapat tawaran berlakon drama ‘Ammar & Opie’ (2018), ‘Kampong Pisang Bersiri-siri’ (2020), ‘Epilog Tiga Naga’ dan ‘Seindah Cinta’ (2022).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here