Andi Bernadee yang kini bernaung di bawah Universal Music Malaysia tampil dengan single "Siapakah Namamu".

Oleh: Khadijah Ibrahim

KALAU yang baru mengenali Andi Bernadee mesti ingat dia adalah pelakon kerana wajahnya kerap dilihat dalam drama-drama tempatan. Kekerapan Andi tampil sebagai pelakon menyebabkan orang sangka anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu telah melupakan bidang nyanyian.

Tidak! Andi atau nama penuhnya And Azrul An Mapangile, 34, masih lagi aktif sebagai penyanyi dan pelakon kerana kedua-dua bidang itu penting dalam kerjayanya sebagai anak seni.

Untuk meneruskan perjalanannya sebagai penyanyi, Andi baru saja tampil dengan single “Siapakah Namamu”, sebuah lagu yang mengangkat kisah indah tentang pertemuan cinta yang tidak diduga.

Single tersebut merupakan hasil kolaborasi mantap antara Andi, Kuizz, dan The T, dengan Kuizz bertindak sebagai penyusun muzik dan penerbit.

Selain menyanyi, Andi juga aktif berlakon.

Menurut Andi, “Siapakah Namamu” membawa pendengar ke dalam detik pertama jatuh cinta, saat hati terpaut pada pandangan pertama dan timbul rasa ingin mengenali insan istimewa tersebut.

“Lagu ini menceritakan tentang seseorang yang menunggu kehadiran cinta. Akhirnya, cinta itu hadir di depan mata, mempesona dengan wajah ayu, cantik, dan jelita, lalu timbul keinginan untuk berkenalan,” ujar Andi yang sebelum ini popular dengan lagu “Satu Peluang” dan “Donde”.

Idea lagu ini bermula apabila Andi menerima melodi daripada The T. Bagi Andi, melodi tersebut terus ‘mengikat’ perhatiannya sebaik sahaja didengar.

“Saya tertarik dengan melodinya dan merasakan ada sesuatu yang istimewa. Sebelum ini, saya belum pernah mempunyai rentak seperti ini dalam diskografi saya,” jelasnya.

Bukan sekadar menyanyi, Andi turut menyumbangkan idea dalam penulisan lirik bagi menambahkan sentuhan peribadinya.

“Saya mahu menyuntik elemen yang mencerminkan diri saya agar lagu ini benar-benar dekat di hati,” tambahnya.

Walaupun proses rakaman berjalan lancar dan tidak mengambil masa yang panjang, Andi mengakui lagu tersebut memerlukan ketelitian dari sudut teknik vokal.

“Melodinya kedengaran mudah, tetapi sebenarnya ia memerlukan kawalan vokal pada bahagian melodi yang naik dan turun. Keunikan melodi inilah yang menjadi kekuatan lagu ini,” katanya.
Andi turut memuji komitmen rakan kolaborasi seperti Kuizz dan The T yang menjadi tulang belakang penghasilan “Siapakah Namamu”.

“Mereka adalah insan-insan kuat di sebalik lagu ini. Saya berterima kasih kerana mereka menjalankan tugas dengan baik. Tidak ada masalah untuk saya bekerjasama lagi dengan mereka pada masa akan datang,” kata Andi.

Bagi Andi, lagu ini tidak memerlukan pendengar untuk terlalu ‘mendalami’ liriknya.

“Pasang saja lagu ini ketika anda sedang dilamun cinta dengan seseorang yang baru anda kenali. Anda akan faham perasaannya,” ujarnya.

“Siapakah Namamu” kini boleh didapati di semua platform penstriman digital utama dan muzik video boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Andi Bernadee.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here