Oleh : Nafsiah Jani
Menyedari keadaan ekonomi yang tidak menentu membuatkan FELDA, FGV Holdings Berhad, dan MSM Malaysia Holdings Berhad, pengeluar jenama terkenal Gula Prai berkolaborasi mengeluarkan Gula Felda Edisi Khas seberat 500 gram pada majlis Karnival Mega 3 Dimensi FELDA (MK3D).
Pelancaran rasmi produk terbaru ini bertepatan dengan ulang tahun ke-69 FELDA dan 60 tahun penubuhan syarikat sebagai simbol penghargaan terhadap komuniti peneroka yang menjadi tulang belakang kemajuan ekonomi luar bandar negara.
Produk gula baharu ini hadir dalam bentuk pek bersaiz kecil (500g), lebih mudah dibawa, sesuai dengan gaya hidup moden dan pengguna bandar yang mengutamakan keselesaan, kepantasan dan kebersihan. Dengan harga sasaran di bawah RM2 menjadikannya lebih mesra pasaran dan mampu milik.
Pengerusi FELDA, Dato’ Sri Ahmad Shabery bin Cheek berkata,“Sebagai sebahagian daripada keluarga besar Felda dengan lebih 114,000 peneroka, kami berbangga memperkenalkan produk yang praktikal dan relevan untuk masyarakat kini.

“Kerjasama dengan MSM melalui jenama Gula Prai memberi jaminan kualiti terbaik untuk pengguna. Gula super ini menawarkan tahap kemanisan lebih tinggi berbanding gula biasa. Ini membolehkan pengguna menggunakan dalam kuantiti lebih sedikit, lebih menjimatkan dan efisien.”
Produk ini disasarkan untuk pasaran on-the-go seperti 7-Eleven, kedai serbaneka, pasar mini, petromart dan juga sektor hospitaliti berskala kecil.
Sementara itu, Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, MSM Malaysia Holdings Berhad,Hasni Ahmad, pelancaran ini adalah usaha berterusan syarikat dalam memperluas akses produk berkualiti tinggi sambil menyokong agenda pembangunan luar bandar negara.
“Kami teruja menyertai inisiatif ini bersama FELDA dan FGV. Ia membuka ruang kepada produk Gula Prai untuk menembusi pasaran baharu sambil menyokong komuniti luar bandar.
“Kami bukan hanya menjual gula. Kami membawa manisnya perjuangan FELDA dan kini, kemanisan itu lebih dekat dengan anda melalui pek 500g yang praktikal dan moden ini,” katanya.
Karnival MK3D yang berlangsung selama lima hari dari 30 Julai hingga 3 Ogos ini bukan sahaja mempamerkan produk usahawan desa, tetapi juga menjadi pentas memperkasakan inisiatif Satu Daerah Satu Industri (SDSI) dan jaringan kerjasama antara agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Pelancaran Gula Felda Edisi Khas ini membuktikan komitmen FELDA, FGV dan MSM untuk terus menyumbang kepada kestabilan industri makanan asas negara dan meletakkan semangat perjuangan peneroka dalam setiap produk yang dibawa ke pasaran.

Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.









