Oleh : Nafsiah Jani
Pokok gelenggang atau disebut juga sebagai daun senna merupakan pokok herba renek yang tumbuh liar di belukar, tepi jalan atau hutan di Malaysia.
Di kenali juga sebagai pokok kurap, belukar lilin atau nama saintifiknya Cassia Alata atau C. Senna berasal dari keluarga Leguminosae ini banyak digunakan dalam perubatan tradisional sejak dulu lagi.
Pokok gelenggang mempunyai daun berbentuk seiras (bilateral) dan berlawanan secara simetri, akan kucup pada waktu malam. Bunga galenggang berwarna kuning dilitupi penutup yang menyerupai lilin sebelum bunganya berkembang. Buahnya bersalut kulit seperti buah kekacang dan bijinya kecil berbentuk bulat.
Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa pokok yang tumbuh meliar ditepi jalan ini mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan. Disebabkan itu kini ramai pengusaha yang tampil dengan pelbagai produk menggunakan daun pokok gelenggang antaranya losyen pelindung sinaran matahari, syampu, sabun, krim dan macam-macam lagi.
Namun disebalik banyaknya manfaat daun gelenggang untuk kesihatan, pengguna juga perlu berhat-hati ketika minum atau gunakan daun gelenggang ini kerana disebalik kebaikannya ada juga keburukannya jika digunakan secara berlebihan.
Antara kesan sampingannya ialah seperti loya, sakit perut, cirit-birit, sakit sendi, masalah angin dalam perut perubahan warna pada air kencing dan juga kerosakan pada dinding usus jika diambil pada jumlah yang terlalu banyak. Jadi gunakan airnya secara berhemah dan jika tidak pasti, dapatkan nasihat daripada doktor pakar. Selamat mencuba. Antara kebaikan pokok gelenggang ini ialah:-

1. Bagi mereka yang ada masalah kurap dan panau cubalah gunakan daun gelenggang sebagai rawatan alternatif. Lumatkan tiga tangkai daun galenggang muda yang dicampur setitik minyak tanah. Bila dah lumat, tampalkan pada tempat yang terkena kurap. Lakukan beberapa kali hingga kurap hilang. Selain itu ianya boleh dijadikan penawar kepada sengatan serangga dan eczema.
2. Mereka yang menghadapi masalah cacing yang banyak di dalam badan, boleh gunakan cara minum air rebusan daun gelenggang untuk merawat dan mengatasi masalah kecacingan.
3. Mereka yang ada masalah sembelit juga boleh minum air teh rebusan daun gelenggang untuk memudahkan pembuangan air besar. Daun ini bertindak dengan cara menggalakkan pergerakan peristalsis usus besar melalui rangsangan mukosa usus. Kesannya, ia boleh membantu mengelakkan masalah sembelit daripada berlaku.
4. Bagi pesakit asma juga daun ini juga bertindak sebagai agen melegakan dada dan paru-paru. Tumbuk atau hiris secawan biji gelenggang bersama daun dan bunganya. Kemudian rendamkan selama 15 minit dalam air mendidih dan biarkan seketika sehingga terjadinya teh gelenggang. Bila sejuk sedia untuk di minum sebanyak tiga kali sehari dan teh ini hanya boleh bertahan sehari sahaja.
5. Selain daun segar gelenggang, daunnya yang telah dikeringkan juga boleh digunakan sebagai teh. Selepas dikeringkan, daun ini disalai atas bara api untuk membangkitkan rasa dan aroma ketika dijadikan teh. Air teh daun gelenggang ini dapat melawaskan kencing, menurunkan kolesterol darah dan membersihkan perut.
6. Jika anda demam,minumlah air rebusan pokok gelenggang yang dapat menurunkan suhu badan. Selain itu, ekstrak daun pokok ini juga boleh digunakan untuk merawat demam malaria memandangkan ia juga mempunyai ciri antimalaria.

Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.









