Bob Yusof tampil dengan single baharu "Sumpah Setia".

Oleh: Khadijah Ibrahim

SETIAP kali menonton drama ‘Pasca Kau Pergi’ menerusi slot Akasia di TV3, pasti anda akan mendengar lagu “Sumpah Setia” dendangan Bob Yusof yang merupakan runut bunyi untuk drama 13 episod arahan Rashidi Ishak.

Membawakan tema cinta dan penghargaan terhadap ibu bapa, “Sumpah Setia” menampilkan susunan muzik yang penuh emosi dengan lirik yang kuat daripada segi penceritaan. Lagu ini juga menandakan single kedua Bob atau Yusrizan Usop, 44, bersama Alternate Records.

“Saya amat berbesar hati dan terima kasih kepada pihak Alternate atas kepercayaan sekali lagi memilih saya untuk menyampaikan karya ini. Saya juga amat teruja untuk kolaborasi ini kerana dapat bekerja dengan anak muda yang berbakat dalam karya-karya mereka,” kata Bob yang pernah menyertai program Akademi Fantasia musim kedua pada 2004.

Hasil ciptaan sepenuhnya oleh gandingan komposer muda, iaitu Emeer Bak, Amsyar Razqa dan Yunus Zawawi, lagu ini menampilkan sisi berbeza Bob, bukan sahaja daripada segi penyampaian vokal, malah daripada sudut pemahaman emosi dan penceritaan.

“Melodi lagu ini agak mencabar untuk saya pada mulanya, tetapi dengan bantuan para komposer, saya berjaya menjiwai dan mengikuti rentaknya.

“Sumpah Setia” nyanyian Bob Yusof merupakan runut bunyi untuk drama ‘Pasca Kau Pergi’.

“Dengarkan lagu “Sumpah Setia” ini kerana ia membawa sentuhan yang berlainan, susunan muzik yang segar, dan hasil ciptaan komposer baharu yang sedang mencipta nama,” jelasnya yang merupakan guru vokal kepada beberapa rakan artis.

Lirik “Sumpah Setia” membawa mesej yang menyentuh hati, bukan cinta antara pasangan seperti kelazimannya, sebaliknya tentang kasih sayang dan pengorbanan antara seorang anak dan ibu bapanya.

Menurut trio komposer, idea asal lagu ini datang daripada Yunus Zawawi dan kemudiannya dikembangkan secara bersama.

“Lirik lagu diolah semula bagi menyesuaikan maksud lagu dengan jalan cerita drama. Lagu ini lebih kepada cinta dan rasa syukur seorang anak terhadap ibu bapa. Ia bukan cinta antara pasangan seperti kebiasaan.

“Kami senang bekerjasama dengan Bob semasa sesi rakaman. Walaupun dia seorang cikgu vokal, Abang Bob tetap beri ruang kepada kami untuk beri panduan.

“Dia sendiri minta untuk buat rakaman semula selepas demo pertama kerana mahu hasil yang lebih baik, itulah versi “Sumpah Setia” yang kita dengar hari ini,” kata mereka.

“Sumpah Setia” yang menampilkan kematangan suara Bob dan karya komposer muda yang sedang mewarnai landskap muzik tempatan itu boleh distrim di semua platform digital termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here