Oleh: Khadijah Ibrahim
REZEKI seseorang tidak dapat diduga. Ternyata selepas melalui pelbagai cabaran dalam kehidupan terutama sewaktu bergelar isteri, kini nasib ibu tunggal ini berubah selepas bercerai.
Siapa lagi kalau bukan penyanyi Bella Astillah yang hangat dikaitkan dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Ternyata kini kerjaya seni Bella semakin melebar dan rezekinya tak pernah putus.
Terkini, Bella yang baru saja mengeluarkan single berjudul “Lebih Indah Berpisah”, ciptaan Ade Govinda itu bakal mengisi ‘line up’ terbaharu konsert Glenn Fredly Holographic Performance: Live in Malaysia yang bakal berlangsung pada 18 Julai ini di Zepp Kuala Lumpur.
Selain Bella, turut serta dalam konsert ini terdiri daripada The Bakuucakar, Noh Salleh, Mutia Ayu, Rian Ekky Pradipta, Nadira Adnan, Gretchene Quirina, Matthew Sayersz dan Allan Anderson.
Bella yang menyifatkan pemergian lelaki berkenaan sebagai satu kehilangan besar buat industri muzik Nusantara kerana dia adalah salah seorang peminat muzik mendiang Glenn dan mengakui penyanyi berkenaan banyak memberikan inspirasi kepadanya sejak dahulu lagi.
“Mendiang Glenn Fredly merupakan antara penyanyi kegemaran saya sejak dahulu. Sejak kecil lagi saya memang sudah mengenali sebahagian besar daripada karyanya memandangkan muzik yang dipertaruhkan juga berbeza daripada yang lain.
“Rangkaian lagu-lagu seperti “Kasih Putih”, “Januari” dan “Akhir Cerita Cinta” begitu diminati. Saya pasti sebahagian besar daripada kita pun memang menjadikan muzik Glenn sebagai rujukan dan menjadi kegemaran ramai,” kata Bella bercerita mengenai sosok berkenaan.

Pastinya Bella bersyukur menjadi sebahagian daripada sejarah baharu buat industri muzik tempatan sementelah konsert holografik julung-julung kali diadakan di Malaysia.
Kuala Lumpur sebetulnya menjadi lokasi kedua selepas kejayaan luar biasa konsert sama yang berlangsung di Beach City International Stadium, Jakarta dua tahun lalu.
Glenn yang tampil secara holografik membuktikan bahawa kehilangan fizikal tidak mampu memadamkan cinta dan penghargaan yang mendalam terhadap legasi muzik beliau.
“Ini adalah satu penghormatan besar buat saya apabila dijemput bersama-sama dalam konsert kali ini. Saya pasti teknologi yang bakal dipertaruhkan berbeza dan menjadikan konsert ini begitu istimewa.
“Pun begitu masih terlalu awal untuk saya mendedahkan apakah bentuk persembahan itu nanti kerana saya mahu mengajak semua peminat untuk sama-sama hadir dan menyaksikan sendiri persembahan kami nanti,” ujar Bella.
Kini, rakyat Malaysia pula berpeluang mengubati rindu dalam sebuah perayaan seni yang mengangkat kenangan dan jiwa dalam konsert yang berdasi selama dua jam setengah.
Tidak sekadar acara mengingat dan mengenang sosok berkenaan, konsert ini juga akan membawa penonton menyanyi, menari, berhibur selain menikmati pengalaman baharu.
Konsert ini dibawakan oleh Premier Live Productions dengan kerjasama Matahati Sdn Bhd, menampilkan bukan sahaja teknologi canggih yang ‘menghidupkan’ semula sosok Glenn Fredly di atas pentas tetapi juga barisan artis yang pernah berkongsi cinta dan karya bersamanya.
Tidak sekadar hiburan, konsert ini menjadi penanda aras kepada sejarah muzik Asia Tenggara yang membuktikan bahawa teknologi mampu menjadi jambatan antara masa lalu dan masa kini selain mengingatkan tentang kehilangan dan sebuah penghormatan.
Menariknya beberapa promosi istimewa turut disediakan oleh pihak penganjur untuk peminat termasuklah pembelian tiket couple dengan harga RM266 sahaja.
Bagi pembelian perseorangan pula, peminat boleh menggunakan kod promosi GlennXBella, GlennXAllan atau GlennXNoh untuk mendapatkan potongan istimewa sebanyak 30 peratus.
Tiket bagi Glenn Fredly Holographic Performance: Live in Malaysia boleh didapati menerusi laman web www.ticket2u.com/GlennHologram

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









