Oleh: SYED WAFA
Foto: Koleksi Syed Wafa
KALAU sebut nama Seniwati Rohaya Rahman mungkin ramai peminat filem Melayu yang ingat-ingat lupa akan seniwati ini.
Sebabnya sepanjang penglibatannya dalam dunia filem bermula dari tahun 1966 sehingga 1984, beliau hanya membintangi 11 filem.
Diantara filem-filem lakonan Rohaya ialah “Do Re Mi,” (1961) “Si Badol” dan “Tuan Badol” (1979), “Potret Maria” (1980), “Tujuh Biang Keladi” (1984) dengan filem terakhirnya “Puteri” (1987).

Selain filem, Rohaya Rahman juga diundang berlakon dalam satu telefilem “ Lain Tunang ‘Eh’ Kawin Lain” terbitan TV3 pada tahun 1989 dan dalam iklan Pampers pada tahun 1991.
Bagaimanapun diantara filem-filem berkenaan, filem “Do Re Mi” arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pasti mengingatkan anda satu babak suami isteri antara Masdo atau Do (P. Ramlee) dengan isterinya, Minah (Rohaya Rahman) yang sanggup menipu tentang ‘kematian’ mereka demi mendapatkan duit!


Dari kiri: Noran Nordin, Wan Chik Daud dan Rohaya Rahman.
Keadaan menjadi kelam kabut apabila ‘mayat si mati’ berubah apabila yang datang menziarah bertukar orang.
Penipuan terpaksa dilakukan kerana sikap Do yang tidak mempedulikan hal rumahtangga dan banyak berhutang sehingga sanggup menipu Bapak Minah (bapa mertua Do – lakonan Allahyarham Seniman Datuk Mahmud June) dan Ibu Tiri Minah (Noraini Yusof) dan Mak Minah (bekas isteri Bapak Minah lakonan Minah Hashim) bahawasanya salah seorang daripada mereka telah meninggal dunia.
Akhirnya bila pekung di dada terbongkar mengenai kematian palsu Do dan Minah, mereka mengambil keputusan bercerai.
Walaupun babak berkenaan hanya beberapa minit sahaja namun gara-gara penipuan pasangan ini bukan sahaja menimbulkan huru-hara dan berjaya mencuit hati penonton tetapi yang pasti satu babak dari filem “Do Re Mi” ini telah melahirkan seorang bintang iaitu Rohaya Rahman.


Sejak filem tersebut, nama Rohaya Rahman mula dikenali dan pada tahun 1966, beliau menerima tawaran berlakon dalam tiga filem “Miang-Miang Keladi” “Ahmad Albab” dan “Kancan Tirana.”
Apabila nama Rohaya Rahman mula menjadi sebutan, ramai yang tertanya-tanya siapakah gerangan beliau yang berjaya menambat hati P. Ramlee sehingga membawanya menjadi salah seorang ‘bintang’ dalam filem-filem arahan beliau.

Selain pernah berpasangan dengan P. Ramlee dan berlakon dibawah arahan beliau, Rohaya Rahman juga pernah berlakon sebagai ibu kepada Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin sebagai Kanchan dalam filem “Kanchan Tirana.”
Walaupun beliau hanya berpeluang berlakon 11 filem tetapi beliau bertuah kerana selain P. Ramlee, beliau berpeluang berlakon di bawah arahan S. Kadarisman dalam filem “Panglima Harimau Berantai” (1969).


Bukan itu sahaja, peluang beliau berlakon di bawah arahan Datuk Rahim Razali dalam filem “Puteri” (1987) sebagai isteri Pak Amin (Ahmad Marbawi) pasti meninggalkan kenangan manis buat beliau.
Biar mungkin babaknya tidak sebanyak mana, namun muncul dalam filem arahan pengarah yang cukup terkenal pada era 1980-an cukup bermakna buat beliau.

“Puteri” bukan sahaja filem pertama Rohaya Rahman berlakon dibawah arahan Rahim Razali malah itu adalah filem terakhir lakonan beliau.
Rohaya Rahman atau nama sebenarnya Zabidah Ibrahim adalah isteri kepada tokoh bangsawan dan penerima Anugerah Seniman Negara yang keenam pada tahun 2004 iaitu Abdul Rahman Abu Bakar atau lebih dikenali Rahman B.

Sebelum dikenali sebagai Seniwati, Rohaya Rahman aktif dengan kumpulan bangsawan Bintang Timor milik suaminya.
Rohaya Rahman meninggal dunia pada 10 Januari 1998. Jenazah Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Kami di Ladybosz sentiasa mendoakan semoga roh Allahyarham Seniwati Rohaya Rahman sentiasa dicucuri rahmat…Amin.



SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.









