Oleh:Khadijah Ibrahim
Foto:Ehsan 4u2c/Koleksi Syed Wafa
WALAUPUN sudah 33 tahun, namun sesiapa yang membesar dengan 4U2C sejak 1992, tidak pernah lupa akan trademark kumpulan tersebut hingga kini.
Siapa yang boleh lupa kerana tak pernah dibuat orang gantung cakera padat (CD) dileher sebagai rantai, tapi itulah kelainan yang ditonjolkan oleh 4U2C yang dianggotai oleh Datuk AC, Azam, Lan, Yan, Joe, Rin dan Adik pada ketika itu.
Selain menggantung CD sebagai rantai leher, perkara lain yang berkaitan dengan kumpulan tersebut yang automatik akan buat orang terus ingat kepada mereka adalah lagu “Fiona” dan “Bergema Takbir Di Pagi Raya”.

Pada penghujung 1996, kumpulan ini telah berpecah sepenuhnya dan membawa haluan masing-masing selepas melancarkan album terakhir mereka, “KembalilahFiona”. Sepanjang empat tahun bergiat aktif, 4U2C telah menerbitkan tiga album studio dan satu EP.
Meskipun agak lama tidak kedengaran perkembangan terkini kumpulan tempatan pertama yangmenyanyikan lagu rap, siapa sangka selepas menjadi artis undangan untuk konsert GenKRU, nama 4U2C kembali menjadi bualan ramai.
“Tahun ini KRU kembali dengan membuka era konsert untuk artis 90-an. Selepas muncul di konsert GenKRU, kami mendapat banyak maklum balas daripada peminat, tanya bila 4U2C nak buat konsert?
“Memang di luar jangkaan kerana malam tu kami muncul di pentas GenKRU, esok tu ada orang hubungi saya, tanya nak buat show tak? Awalnya untuk menjayakan konsert ini saya memang tak nak sebab banyak pengorbanan yang perlu dilakukan oleh setiap anggota.

“Kami perlu jalani latihan vokal, susunan semula lagu, pemasaran dan promo, itu yang surah isteri saya berbincang dengan anggota lain. Apabila semua ahli setuju, lokasi pula tak ada. Banyak orang buat konsert akhir-akhir ini.
“Iniadalah impian kami untuk ada konsert sendiri, apa pun rintangan kena usahakan. Dalam masa dua minggu saja kami rancang untuk jayakan konsert ini. Sebelum ini memang ada konsert tapi banyak menggunakan minus one.
“Untuk konsert ini kami tidak lagi menggunakan minus one tapi muzik secara langsung dam persembahan kami akan diiringi oleh pemuzik yang dipimpin oleh Aubrey Suwito sebagai pengarah muzik.
“Semuaorang bekerja keras untuk menjayakan konsert ini. Saya boleh janji dengan anda yang kami akan berikan great performance, great singing, live band, live show, harga mampu milik dan sesuatu yang anda boleh ingat,” kata AC Mizal pada sidang media baru-baru ini.

AC bersama dengan Azam, Aren, Yanz, Rinz, Lanz dan Charlie akan menjayakan konsert WE 4U2C di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 15 September depan.
Memandangkan sudah lama anggota 4U2C tidak beraksi di pentas, AC harap kemunculan mereka kelak dapat menghiburkan semua penonton yang hadir bagi menyaksikan persembahan kumpulan rap pertama Malaysia. Malah 4U2C juga pernah memenangi Kategori Penyanyi Berkumpulan Popular diAnugerah Bintang Popular Berita Harian 1993.
“Kita nak semua orang enjoy dan kami nak kongsi momen tersebut dengan keluarga juga sebab anak-anak kita orang bila bagi tahu yang kita adalah 4U2C, mereka gelak.Sekarang mereka akan tahu yang kami terlebih dulu mencipta nama daripada kumpulan BTS.
“Persembahan malam itu akan lain daripada lain. Kita akan nyanyi live dengan pengarah muziknya adalah Aubrey Suwito dan pengarah konsert Brandon. Kita akan jadikan konsert ini berbeza kerana untuk konsert ini saja kami akan lancarkan tiga single baharu, termasuk lagu “Berpisah Jangan” ciptaan sepenuhnya oleh Azam,” katanya yang memberi tugasan video klip diuruskan oleh Lanz dan Aren yang berada di Indonesia.

Tambah AC, konsert yang diuruskan oleh Juss Events itu itu secara tak langsung juga adalah untuk merai 30 tahun 4U2C bersama dan sebab itulah harga tiket yang ditawarkan tidak mahal sebab mahu semua orang enjoy sewaktu menonton persembahan mereka.
“Dalam kumpulan 4U2C ada first badge, second badge dan third badge iaitu bersama rakan-rakan artis lawak Mega. Kita sedar kita tidak akan ada konsert lagi 10 atau 20 tahun depan. Kita harap konsert ini dapat memberi kenangan indah kepada semua yang datang.
“Kita akan pilih lagu-lagu siulan peminat dan lagu baharu. Setiap lagu akan ada perbezaan dan begitu juga dengan persembahan. Saya nak kalau ada peminat baharu yang tak berapa kenal kami tapi bila tengok persembahan kami mereka suka. Itu sasaran kami.
“Sehingga sekarang kami adalah kumpulan yang menyanyi dan menari. Di konsert itu nanti orang akan tengok persembahan kami lain daripada yang lain. Saya pernah jadi juri dan hos untuk program, jadi saya tahu apa yang saya nak bawa. Rasanya hanya kami saja kumpulan yang menyanyi dan menari walaupun lagu slow dan pakai CD,” kata AC lagi.

Tambahnya lagi, sebagai bukti yang mereka benar-benar komited untuk menjayakan konsert tersebut adalah dengan mengeluarkan tiga lagu baharu, dua daripadanya adalah lagu rancak.
“Kitabuat lagu baharu sebagai bukti bahawa kami serius untuk menjayakan konsert ini. Kami nak nyanyi lagu baharu juga dan bukan setakat lagu-lagu sama saja. Tiga lagu termasuk dua lagu fast.
“Bilakita nak buat konsert, kita dah jangka apa yang perlu dilakukan terutamanya dari segi penjagaan stamina dan kesihatan. Kita dah bahagi latihan untuk dilakukan iaitu latihan vokal dan tarian. Untuk tarian memang ada sedikit janggal sebab dah lama tak menari. Ada beberapa langkah yang sudah tidak berapa ingat.
“Contoh, pada awal okay, tapi sampai hujung kami sudah mula lupa. Tetapi, biar apa pun, semuanya lancar sebab kami akan beri sepenuh usaha untuk konsert ini.Semestinya tarian ‘trademark’ 4U2C tetap kami akan bawa,” kata AC lagi.

Belum konsert sudah kecoh!
Baru sahaja 4U2C umum nak buat konsert berskala besar sebagai ‘comeback’, eh! timbul isu lain pula. Ada yang kata itu salah satu taktik pemasaran daripada kumpulan tersebut agar orang lebih teruja untuk menonton konsert mereka kelak. Sebenarnya tidak tapi ‘pergeseran’ itu adalah kenyataan.
Memang tak sangka, kemelut yang melanda 4U2C ini berkait rapat dengan insan yang pernah menjadi ‘tulang belakang’ kumpulan tersebut sewaktu di awal kemunculan mereka. Insan yang bertanggungjawab membantu kumpulan tersebut mencipta nama di persada pentas seni tanah air ialah Man Senoi.
Man Senoi atau Othman Masri, 72, mendakwa dia tidak dihubungi oleh mana-mana pihak sama ada anggota 4U2C atau penganjur konsert untuk meminta kebenaran, sedangkan Zman Productions mempunyai hak terhadap 25 lagu nyanyian 4U2C.
Tambah Man Senoi, lagu-lagu terbabit adalah hak mereka sepenuhnya dan dilindungi Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) kerana Zman Productions adalah pemilik ‘sound audio’ dan pemegang hak 25 ‘sound recording’ lagu-lagu 4U2C.

Biarpun terpalit kontroversi termasuk apa yang didakwa berkaitan hak cipta dan pemilikan lagu, jelas AC, mereka tidak akan berundur dan tetap meneruskan projek WE 4U2C Live InConcert.
Tegas AC dalam satu sidang media khas untuk menjelaskan kemelut yang melanda, dia memaklumkan konsert tetap diteruskan seperti dirancang kerana mendapat kelulusan MACP.
Katanya, 4U2C sudah mendapatkan lesen sah daripada MACP untuk mempersembahkan lagu-lagu terbabit secara langsung diiringi band. Berdasarkan Akta Hak Cipta 1987, penyanyi tidak perlu mendapatkan kebenaran pencipta untuk membuat persembahan secara langsung selagi ia tidak mengubah struktur lagu atau menerbitkannya semula dalam bentuk rakaman.
“Untuk pengetahuan, kami sudah dapat permit MACP dan konsert ini akan diteruskan. Mengikut Akta Hak Cipta Malaysia 1987 melalui MACP, setiap persembahan secara langsung menggunakan muzik ‘live’, tidak perlu dapat apa-apa persetujuan dari pencipta lagu.

“Ini kerana pencipta lagu sudah serahkan hak milik kepada MACP untuk diperdagangkan.
Bukan hendak menidakkan hak milik, apabila ada perkara berbangkit, kami jawab hari ini terutama berkenaan hak milik. Rujukan ini kami buat sebelum projek WE 4U2C Live In Concert diumumkan,” katanya.
Turut hadir pada sidang media itu adalah wakil penganjur, Juss Event Sdn Bhd, iaitu Shasha Marican dan peguam yang mewakili mereka, Carlos Mak Chuen Yuan dari firma guaman, Tang Kong Hai dan Tui, selain anggota kumpulan 4U2C.
Tiket-tiket berharga RM155, RM355, RM455, RM505 dan RM555 boleh dibeli menerusi Ticket Empire dan Fantopia. Anda boleh membuat pembayaran secara dalam talian atau menggunakan pilihan bayar kemudian seperti Atome, Shopee, Pay Later dan Pay Later by Grab

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.