Masih tampak jelita walaupun sudah berusia 60an.

Oleh: Nafsiah Jani
Foto: Ehsan Rozita Rohaizad/Koleksi Syed Wafa

Peminat yang mengenali dan pernah menonton persembahan Rozita Rohaizad akan tahu betapa versatilenya bakat yang dimilikinya. Rozita Rohaizad anak kepada Seniwati Mariani Ismail dan Seniman H M Rohaizad serta anak saudara Puan Sri Saloma dan Tan Sri P Ramlee juga mempunyai bakat menyanyi, menari, berlakon, bermain piano, gitar dan juga menulis lirik.

Bercerita mengenai perkembangan terbarunya, kata Rozita dia akan ke Indonesia pada hujung Julai ini.

“26 julai nanti saya terlibat dalam acara Solo Keroncong Festival 2025 dengan iringan Orkes Keroncong Maktab Sabah. Manakala September nanti saya akan menyanyi di Festival Aberdeen Mela One World Festival di Scotland. Antara lagu yang akan saya nyanyikan adalah Zapin Rinduan Kasih, Joget Malam Pertama, Joget Budaya dan Keroncong Anak Ikan.

P.RAMLEE dan Saloma bersama anak-anak dan anak saudara mereka.
Berdiri dari kiri: Sazali, Allahyarham Nasir P. Ramlee, Dian dan Armali.
Duduk dari kanan: Rozita Rohaizad dan Shasha.

“Ini kali kedua saya mewakili Malaysia ke Scotland. Walaupun tak mendapat sebarang tajaan namun saya tetap akan ke sana. Alhamdulilah ada rezekinya… rugi rasanya kalau saya menolak undangan untuk menyanyi bersama pemuzik scottish di situ. Sekali gus memperluaskan rangkaian persahabatan dan membuka peluang untuk rakan artis kita nanti.”

Ketika awal kemunculannya, beliau pernah bergandingan dengan Allahyarham Sudirman dan Anita Sarawak bersatu di atas satu pentas. Rozita juga banyak buat persembahan bersama kedua-dua mereka sekitar tahun 80an .

Rozita bersama Allahyarham Sudirman Haji Arshad ketika menyanyi bersama di kelab.

“Bersama Arwah Sudirman kami berdua banyak buat show hinggalah ke Dubai untuk persembahan melancarkan penerbangan MAS ke negara UAE awal 80-an. Selepas itu, saya mengikuti Anita Sarawak menjelajah ke Amerika Syarikat, Hongkong, Dubai, Bahrain dan Oman selama 1 1/2 tahun sebagai kumpulan Lollipop yang mengiringi beliau,’’ ujar Rozita tersenyum mengingati kenangan lalu.

Menyentuh mengenai kehilangannya selepas album pertamanya pada tahun 1978, jelas Rozita lagi,“Bukan saya menghilangkan diri, selepas muncul dengan album pertama, Hari Yang Ku Nantikan, saya’ dilamar’ pengurus Anita Sarawak, Bunny Boscoe mengikut Anita sebagai penyanyi latar dan penari. Seronok bersama Anita namun banyak juga kenangan dan pengalaman pahit dan manis yang saya lalui. Yang paling saya tak tahan ialah kami selalu masuk tidur selepas Subuh.

Kenangam bersama Anita Sarawak (Paling Kanan)

“Selepas itu saya menyanyi secara solo ke Dubai dan merata tempat. Sehinggalah saya berkahwin dan memberi tumpuan pada rumah tangga dan anak perempuan saya yang kini berusia 32 tahun. Bila suami saya meninggal pada 2006 barulah saya berjinak-jinak kembali dalam industri dan secara aktifnya pada tahun 2008.

“Saya kembali ini pun kerana ibu saya ingin anak-anaknya meneruskan legasi kerana keluarga Saloma tiada pewaris dalam industri ini. Saya bersyukur dapat jalankan amanah dan kehendak arwah mak dan dengan berkat daripada Allah saya masih dapat bertahan dan aktif sehingga hari ini. Mungkin sesetengah orang yang tidak mengenali saya anggap perjuangan dan sumbangan saya tidak besar pada industri namun saya bangga dengan pencapaian saya dengan apa yang terdaya.”

Selain pernah bersama Superstar Anita Sarawak, Rozita juga sering berduet dengan Allahyarham Sudirman di kelab-kelab menyanyikan lagu-lagu Inggeris yang popular sekitar 80-an dan 90-an.

“Mungkin ramai yang tak tahu. Itulah pengalaman saya selama ini bersama Anita Sarawak dan Sudirman. Namun saya bangga kerana pernah bersama mereka berdua,” ujar Rozita yang baru saja menghasilkan lagunya yang ke 42 bergenre nostalgia bertajuk Kata-Kata P. Ramlee dan Saloma.

Kenangam berlakon dalam filem ‘Setinggan”

Bercerita mengenai kenangan manis sepanjang bergelar penyanyi, Menurut Rozita,“Kisah ini berlaku pada tahun 2008 di Menara Kuala Lumpur. Satu momen indah yang berlaku dalam hidup saya apabila komposer dan pemuzik terkenal Amerika, Jim Brickman ajak saya duduk atas bangku piano menyanyi disebelah beliau. Malangnya tak ada rakaman video kerana saya memang selalu bergerak solo dan tak sangka momen indah itu berlaku.”

Rozita cukup bertuah dan pernah melakar sejarah artis Malaysia pertama yang diundang menjayakan Festival Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa anjuran Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 2021.

Album terawal Rozita Rohaizad.

Kenangan bersama Sudirman Haji Arshad dan ibu saudara tercinta Saloma.Di pentas antarabangsa pula, Rozita pernah beberapa kali mewakili Malaysia di pelbagai festival. Pada 1982, Rozita mewakili Malaysia di ASEAN Trade Fair di Manila. Seterusnya, di National Multicultural Festival Canberra, Malaysia Fest Sydney, Fifth North Sumatra Jazz Fest, Silaturrahmi Keroncong Nusantara Indonesia, Grebek Keroncong Festival Salatiga. Malah Rozita juga berpeluang untuk muncul di Fuji Television Japan, Channel 31 Melbourne dan Channel 44 Adelaide Australia.

Bekas pelajar RMIT Australia berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Bachelor of Business) pengkhususan dalam bidang Pentadbiran Perniagaan pada tahun 1998. Rozita masih lagi berkhidmat sebagai remisier di CIMB International.

Menjadi cover majalah hiburan terkenal tanah air, ‘Kisah Cinta’ bersama Hail Amir.
Menjayakan persembahan bersama bintang angtarabangsa, Jim Brickman.

Bercerita mengenai penglibatan awalnya sebagai penyanyi, jelas Rozita lagi,“Masa itu saya tengah bersedia nak masuk pra universiti. Namun sepupu saya, Salbiah mengajak menyertai kumpulannya, Scram yang akan mengadakan persembahan di Johor Baharu. Enam bulan bersama mereka dan selepas itu saya terus bergerak solo.

“Selepas itu barulah saya memberitahu Mama (Saloma) dan Emak (Mariani) yang saya dah jadi penyanyi. Mama menyuruh saya datang ke Kuala Lumpur dan terus diperkenalkan kepada komposer Ahmad Nawab sehingga terhasilnya album pertama, Hari Yang Ku Nantikan bersama syarikat rakaman EMI pada tahun 1978.”

Bersama ibu tercinta, Seniwati Mariani.
Masih aktif menerima jemputan menyanyi.

Rozita telah merakamkan lebih daripada 40 lagu dalam genre pop, pop jazz, dangdut dan irama Melayu. Lagu klasik beliau yang paling popular ialah Cik Cik Boom dan Hingga ke Akhirnya. Manakala lagu yang sering mendapat permintaan peminat untuk didendangkan di acara keramaian ketika ini ialah Keroncong Anak Ikan dan Joget Malam Pertama

Antara lagu-lagunya ialah Hari Yang Ku Nantikan, Jangan Jangan Mengata, Kekal Abadi, Raikan Lebaran (single raya), Hingga ke Akhirnya, Kenek-kenek, Anak Ikan, Zapin Rinduan Kasih, Doa untuk Dunia, Malaysiaku Sayang, Joget Malam Pertama dan Keroncong Anak Ikan.

Berama ibu saudara, Seniwati Mimi Loma.
Bersama anak saudara,
Najwa P. Ramlee.

Cik Cik Boom, Fikirlah Sayang, Joget Budaya, Khayalan, Pandangan Pertama, Jejaka Hati Ini, Korban Cinta, Syair Sang Bulan, Kekal Abadi, Panah Rindu, Jalan Bersama, Perasaan, Bayangan Cinta Mu, Bertamu Memori, Impian Semata, Duniaku Duniamu, Rempit, Pergi Takkan Kembali, Menari dan Menari, Cinta Untukmu, Berjumpa Untuk Berpisah, Dia Milik Ku dan Menanti, Kini Aku Disampingmu

Selain menyanyi, Rozita juga aktif berlakon setelah diperli ibunya yang ingin kan anaknya mengikut jejak langkahnya berlakon. Beliau pernah membintangi filem Serampang Tiga, Setinggan, Dendam Dari Pusara (1983), Sumpahan Puaka dan Phuyal 18.

Sering mendapat jemputan menjayakan persembahan di luar negara.

Dalam filem Setinggan, Rozita turut menyumbangkan suaranya dalam lagu Gugurnya Mawar Desa ciptaan Kassim Masdor. Lagu ini telah dinobatkan sebagai Lagu Terbaik Filem pada Pesta Filem Malaysia 1983.

Dalam dunia teater, Rozita juga pernah tampil dalam teater yang cukup berprestij iaitu teater Atap Genting Atap Rumbia, Budak Joget, Muzikal Lagenda Cinta dan Teater Tun Kudu. Manakala penampilan khas beliau dalam drama bersiri seperti Tanah Kubur dan Gerak Khas 2010.

Rozita Rohaizad menerima pengurniaan anugerah Seniwati Negara dari Dewan Perniagaan Dato Dato Malaysia baru-baru ini.

“Saya bangga dilahirkan dalam keluarga seni yang hebat dan mereka juga telah membuka jalan untuk saya merakamkan lagu dan berlakon bersama-sama mereka. Namun saya sedih sebab mereka semua tidak dapat bersama saya mengecapi dan melihat kejayaan saya. Kalau mereka ada, sudah pasti saya dapat berlaun dan merakamkan lagu bersama-sama mereka.

“Jika diberi peluang, saya ingin menyertai teater seperti Muzikal P. Ramlee sebab teater tersebut memang menarik dengan tarian, nyanyian dan sebagainya. Jika diberi peluang, saya suka membawakan watak Saloma sebab saya tahu tentang ciri-ciri yang ada dalam dirinya lebih-lebih lagi dia merupakan ibu saudara saya.’’

Rozita sentiasa menjaga penampilan dan kesihatan beliau untuk kekal sihat.

Baru-baru ini, Rozita telah menerima anugerah Seniwati Negara dari Dewan Perniagaan Datuk Dato Malaysia (DPDDM).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here