Single "Waktu" dihasilkan tatkala Erissa Puteri sedang melalui fasa bahagia sebagai pengantin baharu.

Oleh: Khadijah Ibrahim

BOLEH dikatakan masih dalam fasa ‘pengantin baharu’ namun Erissa Puteri Hashim yang sah bergelar isteri kepada Muhamad Daniel Iskandar Zaidi pada 18 April lalu, tetap meneruskan kerjayanya sebagai penyanyi dan pelakon.

Erissa Puteri, 22, bintang kelahiran program ‘Ceria Popstar’ musim kedua itu baru saja tampil dengan single baharu berjudul “Waktu”. Lagu ciptaan juara Anugerah Juara Lagu ke-39, Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh serta karya lirik sepenuhnya Ikhwan Fatanna ini amat kena dan bertepatan dengan situasi dilalui pengantin baharu itu.

Menariknya, Erissa Puteri turut memilih menampilkan Daniel, 26, dalam video muzik yang memaparkan momen-momen indah mereka berdua dari awal pertemuan sehinggalah bergelar suami isteri.

Erissa Puteri mula dikenali sejak menyertai program Ceria Pop Star.

Erissa Puteri yang juga pelakon ‘Geng UPSR’, ‘Puasa Oh Puasa’, ‘SMK’ berkata, lagu “Waktu” dipilih sebagai runut bunyi untuk sebuah drama itu sangat kena dengan jiwanya.

“Saya dapat lagu ini pada tahun lepas menerusi demo yang berjudul Waktu. Kali pertama dengar pun saya dah rasa sangat tertarik. Lagunya best, liriknya sangat kena dengan saya kerana ia mengisahkan seorang lelaki yang terima pasangannya dengan seadanya.

“Boleh dikatakan, ia berkait rapat sangat sepertimana hubungan saya dan Daniel. Namun, “Waktu” kebetulan dihasilkan begini, bukan saya menyuruh Ikhwan agar buat lagu mengisahkan percintaan kami berdua,” katanya.

Akui senang bekerjasama dengan komposer Ikhwan Fatanna.

Ujarnya lagi, lagu tersebut adalah runut bunyi berdasarkan cerita yang akan dikeluarkan dan sebaik mendengar sahaja, dia bersetuju merakamkannya.

“Single pertama saya berjudul “Matahari” dihasilkan pada 2014 dan masih diingati terutama oleh generasi Z. Ia dihasilkan selepas saya keluar dari ‘Ceria Popstar’.

“Selepas itu, orang tengok saya banyak berlakon. Ini peluang terbaik untuk saya kembali dalam bidang nyanyian,” katanya.

Sementara itu, Ikhwan pula berkata, dia gembira dapat bekerjasama semula dengan Erissa Puteri kerana pernah menghasilkan lagu runut bunyi berjudul “Teruskan Mencuba” untuk penyanyi itu sebelum ini untuk cerita kanak-kanak ‘Suatukala’ di Astro.

Menampilkan suaminya dalam video muzik “Waktu” kerana ia sesuai dengan jalan cerita lagu tersebut.

“Saya sudah ada pengalaman bekerja dengannya. Dia muda tapi berbakat besar. Erissa ada pakej sebagai seorang penyanyi jadi senang nak bekerjasama dengannya.

“Genre lagu ini pop balada, lagu-lagu yang manis, yang sesuai untuk dijadikan lagu tema perkahwinan dan tema percintaan untuk semua golongan,” katanya.

Menurutnya, konsep lagu ini mengisahkan pasangan suami isteri yang pernah melalui pelbagai fasa dalam hidup mereka.

“Mungkin ada yang buat salah. Tak kisahlah sama ada suami atau isteri, apabila merenung semula rasanya takkan jumpa lagi pasangan yang terbaik sebaik mana pasangan yang sedia ada.

Erissa Puteri beruntung kerana Daniel Iskandar sentiasa menyokong kerjaya seninya.

“Sebabnya, pasangan itulah yang terima kita seadanya, terima baik buruk, kurang dan lebih kita. Lagu ini ibarat satu penghargaan dan satu bentuk cinta yang kita hadiahkan untuk orang yang kita sayang. Jadi secara umumnya, inilah konsep lagu “Waktu”.

“Dari sudut penciptaan lagu pun, kita memang masukkan vibe-vibe perkahwinan, vibe-vibe yang penuh rasa keindahan. Waktu sangat ‘easy listening’ bila didengar dan itulah yang akan menarik para pendengar.

“Kita tahu sekarang pelbagai macam trend ada dalam TikTok dan media sosial. Jadi lagu ini boleh digunakan untuk semua video yang ada momen-momen indah. Itu yang kita nak rakamkan dan itu juga yang saya bayangkan waktu cipta lagu ini,” jelasnya.

Lagu “Waktu” nyanyian Erissa Puteri terbitan Nova Music boleh distrim di semua pelantar penstriman muzik dan video muzik rasmi lagu tersebut boleh ditonton di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ di pautan ini https://www.youtube.com/watch?v=HJp3ip3n3-s

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here