Konsert Legasi P. Ramlee akan diadakan di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 20 September ini.

Oleh: Khadijah Ibrahim

SUDAH 52 tahun Seniman Agung Negara, Tan Sri P.Ramlee meninggalkan alam fana ini namun karyanya masih terus menjadi bualan ramai.

Sebagai tanda penghargaan kepada Allahyarham P.Ramlee atau Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh yang semasa hayatnya terkenal sebagai penyanyi, pelakon, pengarah, pemuzik dan penulis lagu, syarikat produksi tempatan, Tanahair Films Sdn. Bhd., mengambil inisiatif menganjurkan ‘Konsert Legasi P. Ramlee’.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Tanahair Films Sdn. Bhd., Dato’ Khairul Anwar Salleh mengumumkan bahawa ‘Konsert Legasi P. Ramlee’ bakal berlangsung di Mega Star Arena Kuala Lumpur, Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur pada 20 September 2025.

Khairul Anwar Salleh (kiri) dan Adlin Aman Ramlie dari Tanahair Films Sdn. Bhd., bertanggungjawab melaksanakan Konsert Legasi P. Ramlee.

Menurut Khairul Anwar, konsert yang menjanjikan pengalaman persembahan yang unik dan luar biasa dengan menggabungkan konsep klasik, kontemporari dan popular dalam gaya persembahan yang teatrikal, dramatik dan sinematik merupakan kesinambungan projek perdana P.Ramlee yang diterajui olehnya bersama Adlin Aman Ramlie selepas melancarkan format Legasi Podcast sejak September 2024 yang lepas.

“Ia bukan sekadar penghormatan kepada Seniman Agung Negara, malah satu usaha menyemarakkan semula semangat dan keindahan era kegemilangan seni Melayu yang menjadi khazanah dan legasi kepada khalayak generasi masa kini dan akan datang. Pelancaran ini sebagai langkah penting dalam mengangkat martabat seni tanah air ke aras yang lebih tinggi.

Maestro Muzik ternama, dari kiri Ramli MS, Helen Yap dan Michael Veerapen akan mengemudi 60 pemuzik orkestra sepanjang konsert berlangsung.

“Konsert ini lebih daripada sekadar persembahan hiburan. Ia adalah jambatan yang menghubungkan generasi, menyatukan nilai seni yang tidak lapuk dek zaman, serta melakar penghormatan yang tulus kepada legasi seorang tokoh agung dalam sejarah seni kita,” katanya.

Tambahnya, konsert tersebut bakal menampilkan empat Maestro Muzik terkemuka tanah air iaitu, Dato’ Ramli MS, Datuk Mokhzani Ismail, Helen Yap, dan Michael Veerapen, pengarahan muzik mereka akan mengemudi kekuatan 60 pemuzik orkestra yang bakal menghidupkan lebih 30 karya agung P. Ramlee.

“Karya-karya tersebut bakal dipersembahkan secara medley, duet mahupun solo secara klasik mahupun susunan muzik baharu dengan gaya lebih terkini, dipercayai ‘repertoire’ persembahan itu nanti akan mampu menyentuh emosi dengan kesan lebih segar selain menghormati keasliannya.

Barisan penyanyi ini akan mengekpresikan penghargaan mereka kepada P. Ramlee melalui nyanyian dan gaya persembahan yang rersendiri.

“Ini kerana gandingan ikon legenda dan bintang terkini seperti Dato’ Jamal Abdillah, Datuk Zainalabidin, Ella, MimiFly, Nadeera, dan Liza Hanim akan mengekspresikan penghargaan mereka kepada Allahyarham Tan Sri P. Ramlee melalui nyanyian dan gaya persembahan mereka yang tersendiri,” ujarnya.

Sebagai penghargaan kepada warisan seni P. Ramlee yang tidak pernah luput ditelan zaman, konsert ini turut menampilkan persembahan istimewa oleh tiga figura yang sinonim dengan gaya dan persona seniman agung tersebut iaitu P. Radhi, Danie Hasbullah dan Musly Ramlee.

Barisan artis, maestro muzik dan impersonator P.Ramlee yang bakal memeriahkan Konsert Legasi P. Ramlee.

Dikenali sebagai antara ‘impersonator’ paling menyerlah di negara ini, mereka akan membawa penonton menyusuri era klasik yang penuh nostalgia menerusi interpretasi tersendiri yang menggabungkan keaslian suara dan gaya P. Ramlee dalam nuansa persembahan kontemporari.

Sementara itu, Adlin Aman Ramlie selaku pengarah artistik dan pengasas Tanahair Films Sdn. Bhd., menegaskan bahawa Konsert Legasi P. Ramlee bakal menyajikan pengalaman yang bukan sahaja nostalgik, tetapi juga segar dan mengagumkan.

“Kita akan dihidangkan dengan sebuah malam yang membawa penonton kembali ke era keemasan muzik Melayu, namun dengan interpretasi baharu yang diperkaya sentuhan empat figura maestro muzik tersohor.

Figura yang sinonim dengan gaya P. Ramlee dari kiri, P. Radhi, Musly Ramlee dan Danie Hasbullah (kanan) bersama barisan penyanyi yang bakal menjayakan Konsert Legasi P. Ramlee.

“Konsert ini bakal membangkitkan semula roh seni Tan Sri P. Ramlee yang akan meresap bukan hanya dalam melodi, tetapi juga dalam setiap babak yang menyentuh emosi, kekaguman selain mengimbau kenangan,” kata Adlin Aman Ramlie.

Tiket-tiket untuk menonton konsert ini boleh dibeli di www.ticket2u.com.my bermula Jumaat, 27 Jun 2025. ! Ikuti perkembangan dan sorotan eksklusif di media sosial rasmi @konsertlegasipramlee, @TanahAirFilms dan @legasipodcast di Facebook, Instagram dan TikTok.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here