Image by Freepik

Oleh : Nafsiah Jani

Tekanan darah tinggi, atau hipertensi, merupakan masalah kesihatan yang sering berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia. Masalah ini berlaku apabila tekanan dalam salur darah meningkat secara berterusan, sekali gus meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit jantung, strok, atau kegagalan buah pinggang.

Sebenarnya ramai individu mungkin tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya sedang menghidap darah tinggi. Disebabkan itulah, penyakit darah tinggi ini dikenali sebagai ‘pembunuh senyap’.

Antara punca tekanan darah tinggi mungkin disebabkan gaya hidup tidak sihat, mengambil makanan yang tinggi garam, berlemak, tekanan emosi, umur yang meningkat serta sejarah keluarga yang pernah menghidap penyakit ini.

Walau bagaimanapun, tekanan darah tinggi boleh diturunkan dan dikawal melalui perubahan gaya hidup sihat seperti bersenam secara konsisten, berhenti merokok mengambil makanan seimbang dan mengurangkan pengambilan garam.

Pengambilan ubat juga mungkin diperlukan bagi sesetengah individu.Pencegahan awal amat penting untuk mengurangkan komplikasi jangka panjang.

Memandangkan penyakit hipertensi boleh membawa kepada pelbagai masalah kesihatan yang serius, adalah penting untuk kita memahami cara-cara untuk mencegah dan mengawalnya sama ada secara moden ataupun tradisional.

 

Image by Freepik

Dibawah ini kami bawakan beberapa petua dan cara untuk menurunkan darah tinggi secara moden dan tradisional. Selamat mencuba.

  1. Pisang mempunyai sumber kalium semula jadi yang baik dan dapat membantu menyeimbangkan kandungan natrium dalam tubuh dan mengurangkan kesan negatif garam. Pengambilan pisang juga dapat membantu mengawal tekanan darah dan mengurangkan risiko komplikasi yang berkaitan dengan hipertensi.
  2. Badan yang kurang lemak bukan sahaja lebih sihat, malah ia juga membantu jantung untuk kurangkan tekanan dalam mengepam darah ke seluruh badan. Sekiranya anda obesiti mempunyai tekanan darah tinggi, turunkan berat badan kerana ia dapat membantu mengembalikan paras tekanan darah yang normal.
  3. Coklat gelap bagus kerana ia dapat mengembangkan arteri dan memperbaiki aliran darah. Kajian mendapati kandungan flavonoid dalam coklat gelap ini dikatakan mampu menurunkan tekanan darah, namun ia perlu dimakan dalam jumlah sedikit sahaja.
  4. Asam keping bukan sahaja digunakan dalam masakan, tetapi juga dapat turunkan darah tinggi cara tradisional. Rendam beberapa keping asam dalam air suam selama 30 minit dan minum pada keesokkan pagi. Asam keping mengandungi asid hidroksisitrat yang dapat membantu mengawal kolesterol dan tekanan darah.
  5. Lemon juga dapat membantu menurunkan darah tinggi. Jus lemon adalah sumber vitamin C yang baik dan bertindak sebagai antioksidan dengan mengurangkan keradangan dan membantu arteri berfungsi dengan lebih baik.
  6. Jus peria katak mengandungi charantin yang dapat membantu menurunkan paras gula dan tekanan darah. Manakala sifat antioksidannya dapat melindungi saluran darah daripada kerosakan. Rebus kepingan halus peria katak dengan air selama 10-15 minit. Minum air rebusan tersebut sekali sehari atau amalkan jus peria katak dicampurkan dengan sedikir air dan madu untuk mengurangkan rasa pahit.
  7. Petua turunkan darah tinggi dengan cepat yang lain adalah dengan mandi air sejuk. Mandian dengan air sejuk juga dikatakan dapat membantu membuatkan salur darah mengecut dan sekali gus menurunkan tekanan darah.
  8. Garam juga boleh meningkatkan tekanan darah. Bagi mengatasi masalah darah tinggi seelok-eloknya kurang mengambil garam kerana garam berlebihan boleh menyebabkan tubuh mengekalkan lebih banyak air dan meningkatkan beban pada jantung serta memberi tekanan pada arteri. Pengurangkan garam dapat mengurangkan beban arteri serta meningkatkan aliran darah, sekali gus menurunkan tekanan darah.
  9. Tarik nafas dalam-dalam dan cuba bertenang. Perasaan yang cemas dan stres juga boleh membuatkan darah tinggi naik mendadak. Bagi mengatasinya, anda digalakkan mempelajari senaman pernafasan untuk memperlahankan kadar degupan jantung dan lakukan aktiviti fizikal seperti regangan atau berjalan secara kerap untuk mengawal tekanan darah tinggi.
  10. Air kosong juga dikatakan dapat membantu menurunkan tekanan darah tinggi. Oleh itu minum air kosong sebanyak mungkin kerana dehidrasi boleh menyebabkan tekanan darah meningkat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here