Oleh: Khadijah Ibrahim
PASTI ada di antara anda yang meminati lagu-lagu dendangan kumpulan Bee Gees yang ditubuhkan pada 1958 dan dianggotai oleh tiga beradik, Barry, Robin dan Maurice Gibb.
Trio Bee Gees sepanjang pembabitan mereka dalam bidang seni suara telah berjaya menjual lebih 120 juta rekod di seluruh dunia dan secara tidak langsung menempatkan mereka antara artis muzik terlaris sepanjang zaman dan pernah memenangi lima Anugerah Grammy.

Walaupun anggota Bee Gees, Maurice meninggal dunia pada 12 Januari 2003 pada usia 53 dan diikuti oleh mendiang Robin yang meninggal dunia pada 20 Mei 2012 ketika usia 62 tahun. Kini anggota Bee Gees yang tinggal hanyalah Barry Alan Crompton Gibb, 79.
Namun lagu-lagu dendangan Bee Gees sejak dulu hingga kini tetap malar segar dan diminati ramai. Antara lagu top Bee Gees adalah “Stayin’ Alive”, “Too Much Heaven”, “How Deep Is Your Love”, “Night Fever”, “Tragedy”, “Alone”, “To Love Somebody”, “Words”, “Massachusetts” dan banyak lagi masih tidak jemu untuk didengar.

Jika anda adalah peminat Bee Gees, jangan lepaskan peluang untuk menikmati lagu-lagu dendangan mereka yang bakal disampaikan oleh sebuah kumpulan berbakat dari UK, Saturday Night Bee Gees yang dianggotai oleh enam orang penyanyi berbakat.
Jangan risau kerana persembahan Saturday Night Bee Gees ini sudah mendapat pengiktirafan meluas daripada peminat Bee Gees di seluruh dunia kerana persembahan mereka yang berjaya mengungkap tenaga serta keaslian adik-beradik Gibb dengan ketepatan yang mempesona.

Konsert ‘Saturday Night – Celebrating Bee Gees’ yang dibawa oleh Milestone Production itu akan berlangsung pada 31 Julai dan 1 Ogos 2025, di Zepp Kuala Lumpur. Persembahan Saturday Night Bee Gees itu pasti akan membawa anda terus ke zaman keemasan disko seperti dulu.
Tiket untuk Saturday Night – Celebrating Bee Gees kini dijual, dengan harga bermula dari RM198 (CAT C) hingga RM638 (Premium). Eksklusif untuk Pemegang Kad Maybank: Nikmati diskaun sehingga 25% apabila anda membuat pembayaran menggunakan kad Maybank anda. Tertakluk kepada terma dan syarat. Untuk maklumat lanjut, layari www.milestoneentertainment.com

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.