Perkataan 'kasih' cukup sinonim dengan lagu-lagu dendangan Inteam.

Oleh: Khadijah Ibrahim

KEBELAKANGAN ini kalau kita tengok di platform TikTok, ramai yang memilih lagu kumpulan Inteam sebagai muzik latar untuk konten yang mereka persembahkan terutamanya lagu “Nur Kasih” serta “Kasih Kekasih”.

Bukan sekadar pempengaruh atau netizen yang membuat konten dengan lagu-lagu Inteam, rakan artis pun turut serta. Semakin banyak video parodi di laman sosial sebagai sambutan terhadap penganjuran ‘Konsert Kasih Kekasih 25 Tahun’ yang akan berlangsung di IdeaLive, Petaling Jaya, pada 28 September ini.

Walaupun ketika ini irama nasyid tidak menguasai pasaran muzik tanah air seperti sebelum ini, namun nama Inteam terus menjadi sebutan dan siapa sangka rupa-rupanya ramai yang meminati kumpulan nasyid itu secara diam-diam.

Antara album terawal kumpulan Inteam

Kumpulan yang diperkenalkan menerusi lagu “Kasih Kekasih” sekitar tahun 2000 di bawah pengurusan Hijjaz Records itu dianggotai oleh Muhammad Hazamin Harun, Mohd Syahril Abdul Khalid, Abdul Rahim Osman dan Hisyam Ahmad.

Selain itu, Allahyarham Suhaimi Saad yang meninggal dunia pada 15 November 2023 adalah bekas anggota Inteam yang sempat bersama kumpulan tersebut dari 2000 hingga 2005.

Menerusi album studio pertama sahaja, Inteam berjaya mencatat jualan melebihi 80,000 unit dan kejayaan album “Kasih Kekasih” itu turut melayakkan mereka menerima anugerah platium daripada Hijaz Records.

Inteam asalnya dianggotai oleh lima orang ahli sebelum Allahyarham Suhaimi (tengah) keluar daripada kumpulan tersebut pada 2005.

Sejak album pertama hinggalah ke beberapa buah album, Inteam gemar menggunakan perkataan ‘kasih’ untuk judul album termasuklah album kedua yang dikeluarkan pada 2001 yang berjudul “Impian Kasih”.

Album kedua berjaya melonjakkan nama Inteam dalam industri dengan beberapa lagu hit mereka antaranya, “Impian Kasih”, “Insan Taqwa”, “Hembusan Kasturi”, “Selamatkan Dunia” dan lagu srikandi berjudul “Rabiatul Adawiyah”.

Manakala album studio ketiga Inteam berjudul “Damba Kasih” yang dikeluarkan pada 2003, popular dengan lagu-lagu seperti “Damba Kasih”, “Sentuhanmu”, “Bisikan Nurani” dan “Ratu Syahadah”.

Gara-gara ‘Konsert Kasih Kekasih 25 Tahun’ setiap hari ada saja video parodi daripada netizen di media sosial.

Pada album keempat yang diterbitkan pada 2004, barulah Inteam mengenepikan perkataan ‘kasih’ dan memilih judul album tersebut sebagai “In-Team ’04”.

Malah dalam tempoh berkarya, Inteam pernah memenangi beberapa anugerah, antaranya Anugerah Nasyid Pilihan dan Anugerah Kembara di ANAM 2020. Inteam juga pernah berduet dengan Sam Bunkface menerusi lagu “Mencari Sinar” dan bersama Khai Bahar untuk lagu “Setanggi Syurga 2020” serta “Rabiatul Adawiyah 2024”, manakala lagu duet Inteam dengan Sufian Suhaimi adalah “Damba Kasih 2022”

Bagi Inteam, lagu-lagu nasyid masih disukai sehingga hari ini dan seiring dengan keyakinan itulah mereka sepakat untuk mengadakan ‘Konsert Kasih Kekasih 25 Tahun’ sebagai tanda terima kasih kepada peminat yang menyokong mereka selama ini.

Inteam pernah berduet dengan Khai Bahar untuk lagu “Setanggi Syurga 2020” dan “Rabiatul Adawiyah 2024”.

“Sekarang ini boleh dikatakan setiap bulan ada sahaja konsert yang dianjurkan dan kalau kita lihat peluang untuk kumpulan nasyid mengadakan konsert agak kurang. Mungkin penganjur kurang yakin yang kumpulan nasyid boleh tarik penonton untuk hadir.

“Tak dinafikan ada beberapa acara membabitkan konsert nasyid yang tiketnya tiada sambutan. Tapi di pihak Inteam kami sudah anjurkan beberapa siri konsert nasyid seperti ‘Konsert Nasyid Legenda’ dan ‘20 Tahun Inteam’, alhamdulillah tiket dapat sambutan.

“Untuk ‘Konsert Kasih Kekasih 25 Tahun’ pun kami tak sangka sambutan yang diberikan oleh peminat di luar dugaan. Disebabkan beberapa video viral sebelum ini, apabila penjualan tiket dibuka, dalam beberapa jam saja, tiket sudah habis dijual.

“Mencari Sinar” adalah lagu duet Inteam bersama Sam Bunkface.

“Apabila kita mendapat maklum balas begitu dan tidak mahu mengecewakan peminat serta mengambil kira pandangan mereka, Inteam cadang nak buat konsert dua malam di tempat yang sama tapi disebabkan kekangan jadual Inteam sendiri, jadi kita terpaksa juga buat satu malam saja tapi di venue yang lebih besar,” jelas anggota Inteam.

Bagi memenuhi kehendak peminat yang sentiasa menyokong perjuangan mereka, Inteam memilih untuk mengadakan konsert sempena 25 tahun mereka dalam bidang seni di IdeaLive yang boleh muat penonton sehingga 5,000 orang. Sebelum itu, konsert berkenaan bakal diadakan di Zepp, Kuala Lumpur.

Konsert yang ditaja oleh MINAZ Sdn. Bhd., itu akan menyajikan lebih 25 buah lagu dan medley nostalgia, termasuk penampilan istimewa anak kepada Allahyarham Suhaimi Saad, serta beberapa artis jemputan yang masih dirahsiakan.

Untuk ‘Konsert Kasih Kekasih 25 Tahun’ Inteam turut mengundang anak Allahyarham Suhaimi Saad.

Selepas mengadakan konsert tersebut, Inteam merancang untuk melakukan tour ke seluruh negara bagi bertemu dengan peminat mereka dengan lebih dekat.

“Untuk jelajah, kalau boleh kami mahu ke Pantai Timur iaitu di Terengganu, kalau sebelah Utara di Kedah, Selatan di Johor dan seterusnya ke Sabah.

“Ada juga yang minta kami buat show secara online, itupun dalam pertimbangan juga tapi tidaklah secara langsung. Kami pernah buat show online sewaktu ‘Konsert 20 Tahun Inteam’ dan dapat sambutan yang menggalakkan.

“Mungkin sebab waktu itu pandemik dan orang tak boleh keluar rumah. Sekarang ini orang sudah terdedah dengan penggunaan teknologi dan kita mungkin akan cuba pertimbangankan juga permintaan peminat untuk tonton konsert online,” jelas Hazamin pula.

Inteam harap muzik nasyid akan terus menjadi pilihan pendengar.

Inteam mampu berdiri kukuh dalam bidang seni tanah air kerana mereka bukan sekadar sebuah kumpulan nasyid tapi juga usahawan. Inteam mempunyai syarikat rakaman sendiri iaitu Inteam Records yang ditubuhkan pada 2005.

Selain itu, Inteam turut menjual pelbagai jenis barangan seperti album buku-buku ilmiah, cenderamata, produk berasaskan makanan sunnah dan banyak lagi.

Bagi yang belum membeli tiket untuk menonton konsert ini boleh dapatkannya menerusi platform Ticket Empire, yang boleh diakses melalui laman rasmi konsert: www.kasihkekasih.com.

Previous articlePembedahan katarak, ini yang perlu anda buat!! Bahagian 2
Next article‘Saturday Night – Celebrating Bee Gees’ bakal kembalikan nostalgia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here