Oleh : Nafsiah Jani
Kaki merupakan anggota badan yang paling banyak digunakan dalam kehidupan seharian untuk berjalan ke sana ke sini. Penjagaan kaki amat penting bagi mengekalkan kesihatan kaki agar sihat dan kuat sepanjang masa.
Rawatan dan cara penjagaan yang betul dapat membantu memastikan kaki bersih, tidak kusam dan kering sehingga mudah terluka. Namun ramai yang mengabaikan penjagaan anggota paling penting ini kerana beranggapan tidak perlu berlebihan menjaganya berbanding penjagaan wajah, tangan dan tubuh badan.
Justeru, penjagaan kaki amatlah penting sepertimana penjagaan pada anggota badan yang lain. Kaki yang sihat, bersih dan cantik mampu menaikkan lagi daya keyakinan diri dalam berfesyen dan juga personaliti seseorang individu.
Untuk penjagaan kaki, periksa kaki anda setiap hari bagi memastikan kulit di kaki atau jari kaki tidak terdapat luka, melecet dan bengkak yang tidak disedari. Basuh kaki setiap hari dengan air bersih dan keringkan kaki terutamanya di celah-celah jari. Potong kuku kaki secara lurus dan tidak terlalu pendek.
Ada banyak petua mudah yang bukan saja mampu membantu mencantikkan kaki, malah mengurangkan rasa letih selepas banyak berjalan atau berdiri. Berikut adalah beberapa petua penjagaan kaki:

- Gunakan apa saja jenis pisang yang masak. Hancurkan sehingga lumat dan sapukan pada bahagian kaki yang kering. Biarkan selama beberapa minit dan bilas sehingga bersih. Amalkan selalu, Insya-Allah kaki anda tidak lagi kering hingga menimbulkan kesan tidak menyenangkan bila terguris.
- Susu juga dapat membantu menjaga kaki dan menghilangkan rasa gatal akibat kulit kering kerana susu mengandungi agen anti inflamasi. Ambil tuala lembut dan celupkan dalam susu yang telah disejukkan dan gosok pada keseluruhan kaki. Biarkan selama 10 minit, barulah dibilas. Amalkan dua kali seminggu, anda pasti kagum dengan hasilnya.
- Selain itu masukkan secawan jus perahan lemon, empat sudu minyak zaitun, dua cawan susu dan air suam yang secukupnya ke dalam baldi. Rendamkan kaki anda ke dalam baldi dan biarkan selama 15 minit. Bilas dengan air yang bersih dan sapukan sedikit losen.
- Limau nipis dapat menghilangkan kesan hitam pada kaki. Caranya dengan merendam kaki di dalam air yang bercampur dengan limau nipis yang dihiris. Biarkan kaki terendam selama 15 minit dan sambil itu kaki digosok bagi menanggalkan daki-daki sedia ada. Selamat mencuba.
- Minum air masak atau air mineral yang cukup kerana air dapat mengekalkan kelembapan kulit dari dalam termasuk kaki. Kuantiti air yang digalakkan sebanyak 8 gelas sehari.
- Belilah kasut berdasarkan saiz tepat, sesuai, selesa serta berpadanan dengan tujuan untuk menjaga kesihatan kaki. Beli kasut pada waktu petang kerana kaki akan mengembang selepas berjalan seharian. Tapak kasut yang tebal dan lembut dapat mengurangkan tekanan ketika berjalan, terutama di atas permukaan yang keras. Elakkan tumit yang terlalu tinggi kerana ia menyebabkan ketegangan pada otot kaki.
- Pemilihan sabun juga penting kerana ia membantu membersihkan kotoran dan mempengaruhi kelembapan kulit. Namun jika tersilap memilih sabun membuatkan kulit kaki jadi kering dan bersisik. Jadi seelok-eloknya guna sabun berbentuk gel atau cecair.
- Rendam kaki dalam besen yang mengandungi air suam bersama garam bukit. Sental sekali bahagian tumit dengan berus sabut. Insya-Allah kaki anda akan sihat.
- Kaki yang banyak berpeluh lebih mudah dijangkiti kulat. Bagi mereka yang ada masalah begini, pilih kasut yang diperbuat daripada kulit atau kanvas serta elakkan memakai kasut buatan sintetik. Gunakan stoking dan bedak kaki yang sesuai supaya kaki sentiasa kering dan tidak berbau.
- Batu apung dapat membantu menanggalkan kulit mati di kaki. Rendam kaki dalam air suam selama 15 minit untuk melembutkan kulit. Gosok batu apung dengan gerakan membulat pada kawasan yang terdapat kulit-kulit kasar seperti tumit.

Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.