Oleh: Khadijah Ibrahim
SEBELUM ini ramai penganjur yang berusaha untuk membawa kumpulan Sheila On 7 mengadakan konsert di Malaysia namun semuanya tak berjaya.
Namun demi Latihan Pestapora Malaysia yang bakal berlangsung pada 26 Julai ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, kumpulan yang dianggotai oleh Akhdiyat Duta Modjo (vokalis), Eross Candra (gitar) dan Adam Muhammad Subarkah (bass) akan hadir untuk bertemu dengan Sheilagan (peminat).

Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal selaku penganjur bersama Boss Creator berkata, kehadiran Sheila On 7 sudah lama dinanti oleh peminat mereka di sini.
“Sheila On 7 bukan sekadar kumpulan muzik, mereka adalah sebahagian daripada kenangan dengan lagu-lagu mereka yang menjadi anthem satu generasi.

“Kehadiran mereka ke Malaysia bukan hanya sebuah persembahan tetapi ia adalah detik yang bersejarah. Dengan Stadium Nasional sebagai lokasi baharu, kami bersedia untuk mengukir sejarah festival muzik di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Festival Pestapora & Pengasas Bersama Boss Creator, Kiki Ucup berkata, festival ikonik Pestapora yang setiap tahun diadakan di Jakarta, kini untuk edisi Malaysia ia bakal menghidupkan semangat muzik Nusantara dengan cara yang belum pernah dilihat sebelum ini.

“Pestapora adalah sambutan muzik dan komuniti. Membawa semangat ini ke Malaysia adalah langkah yang tepat dan sangat bermakna buat kami.
“Dengan Sheila On 7, Nadin Amizah, dan ALVN sebagai tambahan dalam lineup, kami berharap dapat mengukuhkan lagi hubungan antara dua negara dalam satu malam yang penuh jiwa, muzik, dan kenangan,” katanya penuh harapan.
Perpindahan ke stadium terbesar di Malaysia ini akan memberi peluang kepada lebih ramai peminat untuk merasai pengalaman festival berskala besar yang tidak dapat dilupakan.

Latihan Pestapora Malaysia 2025 turut menampilkan barisan artis Fasa 1 yang hebat, termasuk artis kegemaran dari Indonesia dan Malaysia seperti .Feast, Hindia, Pamungkas, Feel Koplo, Bittersweet, Bunkface, DOLLA dan ramai lagi.
Tiket Fasa 2 telah dijual sejak 9 Jun lalu di www.latihanpestaporamalaysia.com. Kategori tiket fasa 2 adalah Rockzone (Free Standing) – RM299, GA (Free Standing) – RM249, CAT 1 (Numbered Seat) – RM399 Kategori Baharu dan CAT 2 (Numbered Seat) – RM189 Kategori Baharu

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.