Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Koleksi Syed Wafa
Selain bergelar penyanyi, Allahyarham Noreen Noor juga sering ditawarkan membintangi filem disebabkan wajahnya yang ayu dan mengoda. Buat pertama kalinya, Seniman Omar Rojik telah menyuntingnya untuk membintangi filem, Talak (1984) di samping Dharma Harun.
Kesempurnaan wajah dan lirikan matanya dan suaranya yang manja dan mengoda membuatkan beliau sering ditawarkan watak sebagai gadis pengoda, jahat dan kejam dalam filem-filem lakonannya. Sehinggakan beliau pernah dianggap peminat filem sebagai “gadis cantik yang paling kejam dalam filem”. Begitulah Noreen Noor yang berjaya menghidupkan karakternya sehingga diberikan gelaran tersebut.


Beberapa tahun menghilang Noreen Noor atau nama sebenarnya, Noraini Mohamad Noor muncul membintangi filem Cinta Metropolitan pada tahun 1996 terbitan JD Production Sdn. Bhd. Kegagalan rumah tangganya tidak menghalang Noreen untuk bangkit demi untuk anak-anaknya, Danial (22 tahun dan kini sudah 35 tahun) dan Diyana Tihani (waktu tu umur 11 tahun dan kini 24 tahun).
Beliau kembali mewarnai persada seni membintangi filem Raya Tak Jadi (2011). Kemunculan sebagai Hajah Nisah dalam filem tersebut dapat juga mengubati rindu peminat terhadapnya. Disaat beliau mula mengatur langkah kerjayanya, takdir pula berkata lain setelah Noreen disahkan sakit dan terpaksa memperlahankan aktiviti seninya.

Melihat pada wajahnya yang ayu maka tidak hairanlah dari seorang penyanyi band biasa, Noreen Noor akhirnya bergelar pelakon dan penyanyi yang cukup disegani pada suatu waktu dulu. Gaya persembahannya dan penampilan beraninya berpakaian membuatkan Noreen Noor turut mendapat jolokan Madonna Malaysia.
Sepanjang hayatnya, Noreen Noor disifatkan sebagai anak yang bertanggungjawab sanggup berhabis wang bagi membiayai rawatan ibu dan ayahnya. Manakala dalam kalangan artis pula beliau dikenali sebagai artis yang cukup dermawan, baik hati dan sentiasa menghulur bantuan untuk membantu rakan-rakan artis yang susah.

Beliau dilahirkan di Singapura pada 1959 namun dibesarkan di Kampung Pulai, Serkam Pantai, Melaka. Anak kelima daripada enam adik beradik ini merupakan anak kepada pasangan Mohamad Nor Ahad (pesara polis Singapura) dan Saodah (ibunya yang turut mempunyai hubungan dua pupu dengan sebelah ibu penyanyi Datuk Khadijah Ibrahim dan Latif Ibrahim).
Minatnya terhadap bidang muzik sudah bercambah sejak kecil lagi dan pernah memenangi pertandingan menyanyi sejak berusia lima tahun. Minatnya diteruskan hingga dewasa dengan menjadi penyanyi sambilan kumpulan Band Kilat sekitar penghujung tahun70-an.

Band ini merupakan band tempatnya bekerja sebagai kerani di Lembaga Letrik Negara (kini TNB) di Bangsar. Kumpulannya sering dijemput membuat persembahan dikelab-kelab malam sekitar ibu kota.
Demi meneruskan minatnya, Noreen Noor juga mencuba nasib untuk bergelar artis rakaman di bawah syarikat kelolaan Komposer Ahmad Nawab. Namun setelah menjalani uji bakat Ahmad Nawab menolaknya kerana suaranya dikatakan masih belum cukup ‘power’ untuk dimuatkan dalam rakaman album piring hitam.

Beliau menyarankan Noreen gigih menjalani latihan mengasah suara dan bakatnya serta mempelajari lebih mendalam tentang selok -belok seni tarik suara. Ahmad Nawab juga berjanji sekiranya beliau tekun berusaha dan mengikut panduan yang disarankan beliau akan dipanggil untuk menjadi penyanyi dibawah kelolaannya suatu hari nanti.
Tidak mengenal erti putus asa, Noreen Noor berjaya mencapai cita-citanya muncul dengan album pertamanya, Kepastian (1983) tanpa bersandarkan paras rupa di bawah syarikat rakaman Columbia Broadcast System (CBS).

Wajahnya yang ayu, membuatkan Noreen Noor terpilih untuk mengiklankan sebuah jenama kereta. Nissan Stanza 1600 dikatakan sebagai “kereta masa depan”.
Selepas CBS beliau berpindah ke syarikat rakaman dibawah kelolaan komposer Ahmad Nawab iaitu Malaysian Recording Corp. (MRC). Maka tertunailah janji Ahmad Nawab kepadanya dengan terhasilnya album keduanya, Dariku Untukmu (1984). Malah lagu dari album tersebut, Di Ambang Kasih juga dipilih sebagai lagu tema filem, Di Ambang Kasih. Bermula dari situ, nama Noreen Noor semakin dikenali dan popularitinya sebagai penyanyi turut melonjak naik.

Di saat namanya sedang meniti kemuncak, Noreen Noor mendirikan rumah tangga dengan kerabat diraja Pahang, Tengku Kamaruzzaman Ibni Sultan Abu Bakar seorang pegawai tentera ketika berusia 25 tahun pada 11 Ogos 1984 dan bercerai pada tahun 1987.
Selepas bercerai, Noreen muncul dengan album ketiganya Air Mata (1986) dibawah terbitan Ahmad Nawab. Walaupun sudah lama menyepikan diri namun Noreen Noor berjaya mengukuhkan namanya dipersada seni suara.

Noreen berkahwin buat kali kedua pada 27 Disember 1990 dengan Baharuddin Ngah seorang pegawai tinggi Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS). Sekali lagi Noreen Noor menyepikan diri kerana mengikut suaminya yang berpengkalan di Kota London. Hasil perkahwinannya mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Danial Baharuddin. Pasangan ini berpisah pada tahun 1992.
Selepas itu, Noreen Noor dikatakan berkahwin dengan Timbalan Presiden Persatuan Bola sepak Selangor, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad sekitar tahun 2004 dan perkahwinan tersebut juga berakhir dengan perceraian.
“Kini saya lebih senang sendirian sambil menumpukan perhatian untuk kerjaya, kesihatan diri sendiri dan anak-anak,’’ kata Noreen ketika ditemubual sebelum kematiannya.

Dalam keluarganya Noreen cukup dikenali sebagai anak yang paling manja, periang, suka bergurau dan terkenal dengan jiwa lembutnya serta berhati dermawan. Disebabkan itu, disebalik kemasyhuran itu, terselit kisah duka dan dugaan yang ditempuhi sebagai anak seni kerana kehilangan orang tersayang.
Pemergian seorang demi seorang orang tersayang benar-benar mencengkam jiwa Noreen Noor sehingga menyebabkan dia murung dan patah semangat untuk hidup. Tahun 2005, Allahyarham kehilangan seorang abang yang paling rapat dengannya iaitu Roslan Mohd. Nor. Dua tahun kemudian, ibunya, Saodah dan selang dua tahun selepas itu pula, bapanya pula pergi menemui ilahi.
Kesedihan berterusan ini sehingga tahun 2008 membuatkan Noreen Noor nyaris-nyaris kehilangan kedua-dua belah matanya kerana urat matanya terputus dan menyebabkan berlaku pendarahan dalaman. Punca pendarahan itu disebabkan Noreen Noor terlalu lama berendam air mata menangisi pemergian orang tersayang.

Difahamkan sebelum kematiannya, doktor pernah menyarankan beliau untuk menjalani pembedahan Pintasan Jantung (By-Pass) namun Noreen enggan melakukan kerana takut.
Noreen Noor yang popular dengan lagu Jika Sayang Kata Sayang dan Siang Terbayang Malam Merindu ini juga pernah muncul dengan album Air Mata (1986) dan bawah syarikatnya sendiri, Noreen Nor Presentation Sdn Bhd dengan usahasama Music Planet Production Sdn. Bhd album keempatnya Mekar Kembali (1998).
Disaat lagunya tengah hit, Siang Terbayang Malam Merindu ciptaan Eddie Hamid dan lirik Man Toba, Noreen Noor sekali lagi menyepikan diri selama 12 tahun tanpa sebarang berita.

Selain menyanyi, Noreen juga pernah membintangi filem Talak diikuti Hantu Siang (1986), Wira Angkasa (1967), Balik Kampung (1986), Pelumba Malam (1989), Dia Bukan Bayiku (1988), Cinta Metropolitan (1996), Raya Tak Jadi (2011).
Noreen Noor meninggal dunia pada 22 Oktober 2013 ketika berusia 52 tahun, pada jam 5.50 pagi disebabkan komplikasi buah pinggang dan jantung di Hospital Pakar Ampang Puteri, Selangor. Jenazahnya dibawa pulang dan dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Pulai, Serkam Pantai, Melaka.

Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.