Khairy Jamaluddin dan Bryan Loo pada majlis pelancaran teh sachet 3 in 1 Tealive, baru-baru ini.

Oleh: Khadijah Ibrahim

JIKA anda adalah penggemar minuman Tealive, tidak perlu lagi tergocoh-gocoh untuk pergi ke kiosk atau rangkaian jenama teh tersebut untuk membeli.

Ini kerana jenama teh yang mula diperkenalkan kepada orang ramai sejak 2017 dengan semangat untuk menyebarkan budaya teh gaya hidup moden ke seluruh dunia, kini Tealive terus berkembang melalui peluasan strategik serta inovasi produk dan perkhidmatan.

Kini, Tealive yang merupakan jenama teh gaya hidup terkemuka di Asia Tenggara dengan lebih 950 cawangan di seluruh dunia itu boleh dinikmati di rumah, bila-bila masa kerana secara rasmi melangkah ke pasaran barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) dengan pelancaran rangkaian minuman sachet 3-dalam-1 pertamanya.

Tidak perlu ke kedai untuk menikmati teh Tealive kerana minuman tersebut sudah boleh disediakan di rumah.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif, Bryan Loo, menyifatkan pelancaran ini sebagai bab baharu yang berani buat Tealive serta langkah strategik untuk memastikan jenama ini kekal relevan dengan perubahan gaya hidup ke arah kemudahan dan penggunaan di rumah.

Loo menjelaskan, pembaharuan menu ini adalah untuk menyesuaikan diri dengan gaya hidup dan cita rasa yang semakin berubah. Dari yang indulgent hingga yang seimbang, untuk semua orang.

“Kami mahu menjadikan rasa kegemaran Tealive lebih mudah diakses oleh para peminat kami. Rangkaian 3 dalam 1 ini membawa detik istimewa Tealive ke dalam rutin harian, sama ada ketika dalam perjalanan, di tempat kerja atau berehat di rumah,” kata Loo.

Ujarnya lagi, rangkaian baharu ini akan mula dijual secara eksklusif di AEON dan cawangan Tealive di seluruh negara serta platform e-dagang mulai 15 Jun, sebelum diperluaskan ke lebih banyak saluran runcit pada Julai.

Tealive minuman pilihan ramai.

“Setiap kotak dijual pada harga RM12.90 dan mengandungi lima hingga enam sachet yang dibuat menggunakan bahan premium untuk rasa yang kaya, berkrim dan asli. Antara yang dijual adalah tiga perisa teh susu, tiga perisa kopi serta tiga perisa coklat,” jelasnya.

Loo berkata, setiap sachet yang dijual bukan sekadar sedap sahaja tetapi ia perlu menghadirkan pengalaman positif penuh seperti di Tealive dengan setiap tegukan.

“Untuk mendapatkan cita rasa yang sama seperti di kedai, maka kami melabur dalam mendapatkan bahan-bahan berkualiti tinggi dan profil rasa yang menyerupai apa yang anda rasai di cawangan kami,” katanya lagi.

Minuman sachet Tealive ini disasarkan untuk menonjol dalam landskap FMCG yang kompetitif. Loo menyatakan kepercayaan jenama, inovasi rasa, integriti bahan dan hubungan emosi dengan pengguna sebagai pembeza utama.

“Kami membina Tealive sebagai jenama gaya hidup, bukan sekadar produk. Hubungan ini memastikan pembelian berulang dan kesetiaan jangka panjang. Tambahan pula, ia bukan sahaja tentang kemudahan tetapi menunjukkan bahawa produk buatan Malaysia setaraf dunia. Menyokong jenama tempatan bukan sahaja tindakan patriotik, ia adalah pilihan bijak apabila kualitinya terbukti,” tambah Loo.

Sachet 3 in 1 Tealive dilancarkan selari dengan gaya hidup dan cita rasa masa kini.

Sementara itu, bekas Menteri dan “podcaster” terkenal, Khairy Jamaluddin yang juga penyokong kuat inovasi dan keusahawanan tempatan, yang diundang untuk merasmikan pelancaran tersebut menyokong inisiatifk yang dilakukan oleh Tealive.

“Perjalanan Tealive daripada kiosk ke rumah pengguna bukan sekadar evolusi perniagaan, tetapi perubahan budaya. Ini adalah detik kebanggaan bagi inovasi Malaysia. Kita bukan sahaja mengeksport produk, tetapi juga gaya hidup dan identiti kita.

“Kita perlukan lebih banyak jenama Malaysia seperti Tealive yang memimpin dengan kebanggaan dan keaslian. Menyokong jenama tempatan bukan sekadar semangat patriotik, ia menyokong pekerjaan, impian dan masa depan ekonomi kita.

“Ayuh kita buat pilihan dengan lebih bijak dan sokong inovator yang membentuk Malaysia masa depan. Sebagai seseorang yang sentiasa menyokong jenama Malaysia untuk berkembang, saya bangga menyaksikan evolusi seterusnya Tealive.

“Kita ada bakat, idea dan ketabahan. Apa yang diperlukan kini ialah kepercayaan kolektif dan sokongan strategik untuk berkembang ke peringkat serantau dan global,” kata Khairy memuji semangat keusahawanan Tealive dan komitmennya terhadap inovasi tempatan.

Previous articleMustapha Maarof kerap jadi anak raja kerana berwajah tampan
Next articleTomok “Larut” dalam irama pop rock

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here