Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu (empat dari kanan) bersama Pengarah Bahagian Pembangunan Kapasiti dan Latihan Pertanian KPKM, Puan Hizatul Haliza Hashim (tiga dari kanan) bersama penerima Anugerah Khas.
Oleh : Nafsiah Jani
Penyanyi popular Naim Daniel dan Khai Bahar telah berjaya menceriakan Majlis Konvokesyen Pertanian Kali Ke-13 Tahun 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 22 Mei lalu.
Khai Bahar yang popular dengan gelaran King of Smule memulakan persembahan dengan lagu popularnya Luluh dan diikuti lagu Bayang. Manakala Naim Daniel pula dengan dendangan lagu popularnya, Mengenangmu dan Sumpah.
Kehadiran kedua penyanyi popular ini cukup menceriakan suasana majlis konvokesyen yang turut dihadiri dan dirasmikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Mohamad Sabu.
Khai Bahar dengan vokalnya yang mantap ketika mendendangkan lagu popularnya, Bayang.

Berlangsung di PICC, majlis penuh bermakna itu menyaksikan seramai 784 graduan menerima sijil dan diploma. Dua graduan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM), 392 orang graduan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), 361 orang graduan Sijil Pertanian, 17 orang graduan Sijil Veterinar Malaysia dan 12 orang graduan Sijil Perikanan yang masing-masing berjaya menamatkan pengajian di Institut Latihan TVET Pertanian (ILTP) di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, dia bangga kerana graduan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)  dan KPKM mencatat peningkatan kepada 78.1 peratus pada tahun 2023 berbanding 72.3 peratus tahun sebelumnya.
Naim Daniel turut menceriakan suasana dengan lagu Sumpah.

“Ia membuktikan inisiatif kementerian dan latihan yang dilaksanakan menepati kehendak pasaran. Pelbagai aktiviti serta program sudah dan akan dilaksanakan KPKM bagi memastikan graduan TVET Pertanian yang dilahirkan akan memenuhi keperluan tenaga mahir yang diperlukan industri. Saya juga berharap graduan tahun 2024 akan terus menunjukkan peningkatan dan melepasi sasaran yang ditetapkan iaitu melebihi 80 peratus.

“KPKM menekankan penerapan teknologi baharu di dalam pengajaran dan pembelajaran serta menjalin kerjasama strategik bersama pihak swasta dan industri. Pada 2024, KPKM memperuntukkan RM26.3 juta bagi penambahbaikan kemudahan di semua ILTP dan RM479,000 sudah dibelanjakan di bawah program mekanisasi dan automasi.
“Tahun ini, peruntukan bagi program mekanisasi dan automasi ditingkatkan kepada RM1.35 juta iaitu peningkatan 182 peratus bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran pelatih dan pelajar berada di tahap yang terbaik,”katanya semasa berucap pada Majlis Konvokesyen Pertanian KPKM ke-13, baru-baru ini.
Pengarah Bahagian Pembangunan Kapasiti dan Latihan Pertanian KPKM, Puan Hizatul Haliza Hashim (Berdiri Paling Tengah) bersama Khai Bahar dan Naim Deniel.

Sementara itu, kata Pengarah Bahagian Pembangunan Kapasiti dan Latihan Pertanian KPKM, Puan Hizatul Haliza Hashim, program TVET pertanian ditawarkan secara percuma kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan belia berusia 18 hingga 25 tahun.

“Kami menawarkan 10 bidang persijilan kemahiran iaitu Tanaman, Ternakan Ruminan, Ternakan Poltri, Teknologi Perikanan Tangkapan, Akuakultur Marin, Akuakultur Air Tawar, Pengeluaran Padi, Pemasaran, Pemprosesan Makanan dan Penyenggaraan Jentera Kecil Pertanian.
“Manakala tiga persijilan daripada Jabatan di bawah KPKM iaitu Sijil Pertanian, Sijil Veterinar Malaysia dan Sijil Perikanan turut ditawarkan. Di sini, pelajar bukan sahaja tidak perlu membayar yuran pengajian, malah turut menerima elaun bulanan sepanjang tempoh latihan,”katanya.
Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu (Duduk paling kiri) bergambar kenangan bersama artis dan media yang hadir.

Bagi memastikan program latihan kekal relevan dan berdaya saing dalam era Revolusi Industri (IR) 4.0 serta pembangunan digital ini, Hizatul berkata, pihaknya sentiasa mengemas kini kandungan latihan supaya sejajar dengan kehendak industri dan teknologi semasa.

Enam graduan hebat turut diraikan bagi menerima Anugerah Khas Bagi Tahun 2024 iaitu Anugerah Pingat Emas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Anugerah Ketua Pengarah Pertanian, Anugerah Ketua Pengarah  Perkhidmatan Veterinar, Anugerah Ketua Pengarah  Perikanan, Anugerah Pengarah Bahagian Pembangunan Kapasiti dan Latihan Pertanian dan Anugerah Keusahawanan AGROBANK.
Menurut Hizatul, KPKM turut menjalin kerjasama rapat dengan pemain industri bagi memastikan setiap program yang ditawarkan benar-benar memenuhi keperluan semasa pasaran kerja.
Pengurus persembahan, Nur Akidah Amirudin , ASSISTANT DIRECTOR, AGRICULTURAL CAPACITY DEVELOPMENT AND TRAINING DIVISION, MINISTRY OF AGRICULTURE AND FOOD SECURITY (Berdiri paling kanan) bergambar kenangan bersama Khai Bahar.

“Proses merangka kurikulum bukan hanya di peringkat kementerian, tetapi kami babitkan industri untuk mendapatkan maklum balas dan input terus dari lapangan. Industri lebih tahu kemahiran apa yang mereka perlukan. Kalau kami buat sendiri, mungkin ada perkara yang kami terlepas pandang,”katanya mengenai kurikulum yang disemak setiap lima tahun atau lebih awal bila ada perkembangan teknologi baru supaya kekal relevan dengan keperluan semasa.

Sempena Majlis Konvokesyen Pertanian kali ke-13 ini, KPKM turut menganjurkan program padanan kerjaya khas untuk memberi peluang kepada graduan meneroka peluang pekerjaan, latihan industri atau melanjutkan pelajaran.
Program ini membabitkan penyertaan daripada pelbagai syarikat industri dan institusi pendidikan, antaranya Green World Genetics Sdn Bhd (GWG), Alam Sekitar Malaysia Sdn Bhd (ASMA), Zaiyadal Sdn Bhd (ZTSB); Selasih Aman Sdn Bhd, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kolej FELCRA, Hajjah Aminah Food Industries Sdn Bhd (HAFI), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Agrobank dan Dinn Sheng Aquaculture.
Previous articleKurangi risiko kanser serviks, lakukan Pap Smear hari ini! (Bahagian 2)
Next articleHM Rohaizad…seniman hebat yang tiada ganti!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here