Persembahan An Evening With Nadeera membuktikan yang penyanyi kecil molek ini layak untuk mengadakan persembahan berskala lebih besar.
Oleh: Khadijah Ibrahim
PERASAAN puas dan lega jelas terbayang di wajah penyanyi Nadeera Zaini selepas selesai menjayakan showcase ‘An Evening With Nadeera’ yang berlangsung di Nero Event Space, PJPAC, 1 Utama pada 31 Mei baru-baru ini.
Mungkin ada yang pandang sinis dan berkata setakat 350 penonton, itupun nak bermegah. Walaupun kapasiti penonton tak besar dan tempat tak seluas stadium, itu lebih baik daripada mengadakan konsert di tempat besar tapi kehadiran penoton mengecewakan.
Nadeera terharu dapat menjayakan showcase An Evening With Nadeera yang diadakan di PJPAC, baru-baru ini.
Sebagai permulaan apa yang dilakukan oleh Nadeera dengan kerjasama daripada Mask Team dan Usanita adalah satu langkah yang bijak untuk ‘test market’.
Apabila skop penonton kecil, sambil menyanyi di pentas, artis berkenaan dapat melihat reaksi penonton yang rata-rata adalah peminat secara dekat.
Zainal Abidin yang merupakan mentor Nadeera dalam program ‘Mentor Legend’ hadir memberi sokongan.
Bagi Nadeera, 32, yang pernah menyertai pertandingan program realiti ‘Vokal Bukan Sekadar Rupa’ musim kedua pada 2012 dan ‘Mentor Legend’ pada 2014 yang merupakan protégé kepada Dato’ Zainal Abidin itu, peluang yang diberikan kepadanya adalah amat berharga sekali.
“Saya rasa sangat bersyukur kerana diberi peluang oleh Mask Team dan Usanita untuk saya adakan showcase ini tanpa mereka saya hanyalah bermimpi saja. Alhamdulillah mereka nak bekerjasama dengan saya.
“Lega dan bersyukur kerana dah lama saya teringin nak buat showcase. Saya berangan nak buat showcase waktu menyanyi di lounge hotel lagi. Dulu saya rasa macam nyanyi untuk kerusi meja saja, itulah audiens saya tapi alhamdulillah malam ini audiens saya adalah manusia dan bukan kerusi meja.
Nadeera merupakan penyanyi yang tidak mudah mengaku kalah dalam memperjuangkan kerjaya seninya.
“Memandangkan ini (showcase) adalah perkara baharu bagi saya sebab sebelum ini tak pernah buat, lepas tu kena prepare 10 buah lagi pula. Memanglah masa nyanyi kat lounge hotel, saya nyanyi banyak lagu tapi macam kali ini saya kena bersedia untuk lagu-lagu yang bernada tinggi.
“Hampir sebulan saya buat persediaan untuk showcase ini, agak agak struggle juga, tapi alhamdulillah malam ini saya rasa puas. Saya mendapat kekuatan untuk menjayakan showcase ini daripada peminat dan kedua ibu bapa saya yang sanggup datang dari Mersing, Johor serta daripada team saya sendiri,” katanya tersenyum bangga.
Untuk persembahan yang diiringi oleh lima pemuzik dan Sze Wan selaku pengarah muzik serta tiga penyanyi latar itu Nadeera memulakan persembahan dengan lagu “Emas”, single yang dihasilkan selepas dia muncul sebagai juara program ‘Big Stage’ musim kelima pada 2023.
Impian Nadeera untuk mengadakan persembahan solo di hadapan peminatnya sudah terlaksana.
Malam itu ibarat ‘emas’ bagi Nadeera kerana dia tidak sangka di depan matanya, ada penyanyi Anuar Zain sebagai penonton yang datang memberi sokongan kepadanya.
“Saya tak diberitahu langsung yang abang Anuar Zain akan datang. Saya tahu-tahu dia berada di depan saya. Saya bersyukur sebab penyanyi senior beri sokongan kepada saya sangat luar biasa yang kita teringin nakkan seseorang artis yang kita sanjungi datang akhirnya depan mata saya, jumpa Anuar Zain.
“Terima kasih juga kepada mentor saya, Datuk Zainal Abidin yang sudi datang walaupun jadualnya padat dengan show. Saya tak akan lupa kerana beliau adalah orang pertama yang mengenali bakat saya masa saya kat ‘Mentor Legend’ dulu.
Nadeera tak sangka Dayang Nurfaizah sudi hadir menjayakan persembahnnya.
“Dialah yang betul-betul fight untuk saya menjadi protégé dia. Sampai ke hari ini, dia masih lagi sokong saya dan datang. Saya tengok jadual dia pun pack kerana banyak show tapi hari ini dia ada show tapi datang juga untuk saya,” kata Nadeera terharu dengan sokongan yang diberikan oleh penyanyi berpengalaman kepadanya.
Pada showcase tersebut juga, Nadeera mendendangkan lagu “Tanpa Dendam Di Hati” nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza. Nadeera tidak segan silu mengaku yang dia adalah salah seorang peminat Biduanita Negara itu.
“Saya memang peminat Datuk Siti sebab ketika usia saya 3 tahun, lagu Datuk Siti adalah lagu pertama yang keluar daripada mulut saya untuk menyanyi iaitu lagu “Cindai”.
“Lagu “Tanpa Dendam Di Hati” nyanyian Tokti saya pilih kerana saya suka liriknya. Kalau kita hayati liriknya, walaupun orang itu jahat dan buat apa pada kita sebelum ini tapi saya tak ada rasa dendam, biarlah apa orang nak buat. Tak ada yang jahat, semuanya baik.
Kira-kira 350 penonton hadir menonton persembahan Nadèra yang diiringi oleh lima pemuzik itu.
“Selain itu, untuk showcase ini, pihak pengurusan tanya saya siapakah penyanyi yang betul-betul saya nak berduet? Saya cakaplah Dayang Nurfaizah! Sebab saya suka keunikan suara dan imejnya. Saya jadikan dia idola saya dan saya terharu juga bila team cakap Dayang Nurfaizah nak nyanyi dengan saya, itu rasa teruja dan melompat-lompat.
“Saya ni biasalah cepat teruja. Siapa yang tak gembira apabila penyanyi ternama, macam Tokti komen ke, artis besar komen pasal saya dan sokong saya mestilah saya gembira. Sebab mereka menghargai bakat yang saya ada, alhamdulillah,” katanya yang berduet dengan Dayang menerusi lagu “Hakikat Cinta”.
Nadeera yang menyimpan Impian untuk mengadakan persembahan berskala besar daripada showcase tersebut tidak lupa juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada peminatnya.
“Terima kasih kepada penyokong yang hadir, insya-Allah kalau ada rezeki untuk masa akan datang, kita akan buat skala besar sikit. Impian tetap ada teringin nak buat konsert yang ada beribu orang datang untuk melihat saya. Insya-Allah ada rezeki, kita teruslah bermimpi sebab rezeki tu kalau ada ia tetap akan datang.
Setiap lagu yang disampaikan mempunyai kenangan manis buat Nadeera.
“Selepas showcase ini saya nak adakan satu single dan kemungkinan album sebab saya sudah berjanji dengan peminat untuk mengadakan album tapi tertangguh sebab nak buat album bukan senang kerana perlukan dana besar.
“Saya kena betul-betul memilih lagu bersama dengan team, saya pun cipta lagu juga. Mungkin saya akan buat lagu dalam album itu juga dan bekerjasama dengan komposer lain juga. Selagi saya mampu untuk bekerja saya akan bekerja.
“Untuk tahun ini saya teringin untuk keluarkan album dan single yang meletup macam “Bukan Lagi Kita”. Saya nakkan satu fenomena lagi untuk diri saya. Saya nak terus kekal dalam industri tapi bukanlah dengan satu lagu sahaja. Dalam perancangan akan keluar single, lagunya dah ada. Proses rakaman belum lagi, tapi bukan bekerjasama dengan orang yang sama,” katanya sambil ketawa.
Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.