Haleeda tetap cantik dalam meniti usia 50-an

Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Ehsan Haleeda/Koleksi Syed Wafa

Ketika usianya 17 tahun, Haleeda sudah muncul dengan album pertamanya Setia Kasih pada tahun 1992 dan tahun berikutnya dengan album Terkilan. Kini penyanyi Haleeda atau nama sebenarnya, Halida Mazlin Badaruddin, 52, selesa dengan karier barunya sebagai pelakon dan seorang usahawan.

November 2014, Haleeda menyertai program realiti Gegar Vaganza (GV) musim pertama. Mungkin sudah tertulis rezekinya Haleeda menjadi Naib Juara Gegar Vaganza (GV) musim pertama bersama Ayai Ilusi selaku juara GV.

Album pertama Haleeda, Setia Kasih yang berjaya mempopularkan namanya sehingga hari ini.
Album kedua Haleeda, Terkilan terbitan tahun 1993

KIni Haleeda sibuk berniaga bersama Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS) demi meneruskan kelangsungan hidup selain daripada berlakon.

“Saya memang minat meniaga dan bertemu orang ramai. Sekarang ini macam-macam produk yang saya jual dan syukur alhamdulillah perniagaan saya mendapat sambutan yang menggalakkan. Sejak meniaga ini banyak pengalaman baru yang saya dapat dan bertemu secara dekat dengan peminat-peminat saya.

Haleeda antara wajah dan artis pilihan untuk penghias kulit majalah Hai.
(dari kiri) Ruhil, Haleeda dan Mas Anizan bergandingan dengan Jamal Abdillah sebagai penghias majalah URTV.

“Da Bomb Festival anjuran Cat Farish dan keluarga Maembong ini ada pelbagai aktiviti Solidariti Palestin, majlis ilmu, ada jual makanan-makanan viral dan macam-macam lagi. Saya pun ada buka booth jual produk kecantikan dan baju preloved dan datanglah beramai-ramai bagi sokongan.

“Kalau peminat nak jumpa saya atau beberapa rakan artis yang lain seperti Azan Scan, Anne Abdullah, Shikin Maembong, Cat Farish, Ayu Damit, Qazeem Nor, Siti Saerah serta ramai artis lagi jemputlah datang ke Da Bomb Festival di Taman Pudu Ulu Cheras bermula 29 Mei hingga 1 Jun ini.”

Tahun 2002, Haleeda anak kelahiran Kulim, Kedah ini cuba berjinak-jinak dengan dunia lakonan menerusi drama pertama lakonannya Di Batasan Hati.

Haleeda bergandingan dengan pelakon-pelakon hebat dalam drama Villa Ghazara

“Sebenarnya lepas pelbagai kontroversi yang berlaku dalam hidup saya, saya rasa tertekan dan cuba berehat buat seketika. Kini setelah beberapa tahun berehat baru saya terima semula tawaran untuk berlakon. Sebenarnya saya sendiri tak percaya saya boleh berlakon.

“Kekuatan ini hasil galakan peminat dan kata-kata perangsang yang diberikan pelakon veteran Hamidah Wahab yang menyakinkan saya, bahawa saya ada bakat dan boleh berlakon. Berlakon ini bukannya saya akan terima apa saja tawaran yang datang sebaliknya saya tengok jalan cerita dan skripnya terlebih dahulu. Kalau skripnya bagus saya akan terima tawaran tersebut tanpa teragak-agak,” kata Haleeda anak sulong daripada 4 beradik yang kini aktif berdakwah bersama artis-artis seangkatannya.

Haleeda seronok meniaga dan dapat berjumpa peminatnya.

Sepanjang pembabitannya sebagai pelakon sejak 2002, sehingga kini Haleeda telah membintangi lebih 50 buah drama. Kebanyakan drama yang dibintanginya kini banyak menampilkan watak Haleeda sebagai ibu kepada hero dan Datin. Watak-watak ini kebanyakannya bersesuaian dengan usia dan perwatakan Haleeda.

“Sebelum ini saya banyak dapat watak wanita yang teraniaya dan bersedih. Tapi nampaknya pengarah sedar saya boleh bawa pelbagai watak dan versatile. Dapatlah saya bawakan watak yag saua sukai seperti wanita yang ‘daring’ dan straight forward seperti lakonan saya dalam drama Kecuali Cintamu.”

Sedap mata memandang penampilan Haleeda yang ayu dan berhijab.

Antara drama lakonannya ialah Di Batasan Hati, Mengejar Pelangi, Ladang Pak Awang, Diaspora Cinta, Villa Ghazara, Tak Ada Cinta Sepertimu, Cinta Belum Tamat Tempoh, Calon Menantu Tuan Rumah, Cinta Sekali Lagi dan Matahari Cerah Lagi.

Perkahwinan pertamanya pada Januari 1995 berakhir dengan perceraian pada Oktober 2003 dan kini Haleeda bahagia bersama anaknya, Amirah Amani Azman yang kini sudah bergelar isteri sejak tahun 2020.

Previous articleEizlan Yusof suka cabar diri, mahu watak antagonis
Next article“Sri Mersing” popularkan Rosnani…

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here