Eizlan Yusof adalah seorang pelakon yang telah melakonkan pelbagai watak.

Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Ehsan Datuk Sri Eizlan Yusof/Koleksi Syed Wafa

Baru-baru ini sewaktu pelakon dan pengarah Datuk Sri Eizlan Yusof menyatakan hasrat untuk mengarah filem yang diinspirasikan daripada kisah selebriti Bella Astillah dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, ramai yang teruja untuk melihat karya tersebut.

Menurut Eizlan, idea untuk mengarah filem tersebut bermula apabila beliau melihat di media sosial ramai yang suka dengan perkembangan terkini hubungan pasangan yang dianggap ‘sweet couple’ itu.

Malah dalam usaha untuk merealisasikan hasratnya untuk mengarah filem berpandukan kisah Bella dan Syed Saddiq, Eizlan juga sudah temui produser yang sudi untuk menerbit filem tersebut.

Sering menghiasi cover majalah terkenal tanah air.

“Saya nak hasilkan filem ini bukan kerana mahu mengambil kesempatan di atas kisah mereka. Niat saya adalah untuk membantu YB (Yang Berhormat) Syed Saddiq untuk mengumpul dana bagi memudahkan beliau membantu penduduk di kawasannya.

“Lagipun saya lihat ramai yang suka dengan Bella dan Syed Saddiq, mereka nampak comel saja bila bersama. Setakat ini belum ada kata putus daripada Bella, mungkin dia takut jika kisah silamnya dimanipulasi.

“Kalau sudah mendapat persetujuan daripada yang empunya badan, insya-Allah projek ini akan dilaksanakan. Saya nak tegaskan, filem ini tidak akan memaparkan atau mengaibkan mana-mana pihak, bahkan jalan ceritanya juga akan baik-baik serta yang indah saja,” katanya.

Pernah menjadi finalis Hero Remaja 1993/94.
Sering digandingkan dengan artis wanita terkenal tanah air untuk cover majalah hiburan terkenal tanah air.

Ujar Eizlan, beliau masih tetap menunggu untuk mendapat persetujuan daripada kedua-dua belah pihak kerana mereka adalah rakannya juga.

“Andai kata, mereka bersetuju, team penulis skrip pun sudah ada untuk mendengar cerita mereka. Apapun saya tetap mahukan persetujuan daripada mereka. Kalau persetujuan dicapai, tidak semestinya Bella atau Syed Saddiq yang berlakon. Kita mungkin akan guna pelakon lain untuk membawa watak tersebut.

“Lagipun bukan 100 peratus berkisar kisah pasangan tersebut kerana filem itu diinspirasikan daripada perjalanan kehidupan mereka. Mungkin orang lain pun ada lalui pengalaman tersebut,” katanya yang mula mengarah filem pertama, ‘Town Mall’ pada 2020 dan turut berlakon sebagai Rusdi dalam filem tersebut.

Turut diganding dengan Sasha dn Emylia untuk cover majalah Hai.

Eizlan yang nama sebenarnya Idris Md. Yusof, 54, berkata, beliau tetap sabar menunggu jawapan daripada Bella dan Syed Saddiq kerana bukan pihak produksi saja yang mahu melihat projek tersebut berjalan, orang ramai juga teruja untuk menonton kisah tersebut.

Beliau yang mula berkecimpung dalam dunia perfileman pada tahun 1994 menerusi filem “Kad Cinta” sebagai Jeffrey itu juga pernah mengarah filem seram komedi, “Hanya Namamu Laila” lakonan Diana Danielle dan Ikmal Amry pada 2021.

Manakala drama pertama lakonan Eizlan adalah“Jaguh-Jaguh” menerusi watak Sulaiman (1995) dan beliau juga pernah membintangi drama bersiri “Astana Idaman” yang disiarkan pada 2001–2002, sebagai Kamal Khairuddin.

Pernah dipilih sebagai The Most Handsome Artiste 1996, dipilih oleh pembaca majalah Media Hiburan.

Meskipun setiap tahun ada sahaja pelakon lelaki baharu muncul, hingga kini nama Eizlan masih tetap menjadi pilihan pengarah dan penerbit untuk terlibat dalam projek yang mereka jayakan.

Rezeki bapa kepada empat orang anak, Vie Zaara, 17, Zareef Yusof, 15, Vie Zaalia, 12, dan Zaelynn Rosa, 4, itu tidak pernah putus mungkin kerana sepanjang pembabitannya sebagai anak seni, Eizlan bukanlah artis yang terpalit dengan kontroversi.

Sebaliknya, suami kepada Datin Seri Natasha Rosa Boudville yang dinikahinya pada 12 Disember 2019 adalah seorang pelakon yang mengutamakan kerjaya berbanding publisiti murahan.

Pernah merakamkan album bersama kumpulan Impression.

Eizlan yang sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Vie Shantie Haroon Khan pada 7 Julai 2007 dan dikurniakan tiga orang anak sebelum bercerai talak satu pada 28 September 2014 itu telah memenangi anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Anugerah Skrin 1998 TV3 menerusi watak Ariff dalam filem “Panas” arahan Nurhalim Ismail.

Pada tahun berikutnya, 1999, Eizlan yang melakonkan watak Haikal dalam filem “Perempuan Melayu Terakhir” arahan Erma Fatima dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Harapan. Walaupun telah dikenali sebagai pelakon serba boleh dan berkaliber, Eizlan tidak segan memainkan watak kecil di dalam mana-mana filem atau drama.

Terbaharu, penerima anugerah ‘Asian MostPromising Actor’ di 24th Chunsa Film Awards: Chunsa Asia Awards pada tahun 2019 di Korea Selatan itu berkata, beliau merasa berbesar hati apabila wataknya sebagai Megat Luqman mendapat perhatian.

Eizlan tidak menghalang anak-anaknya untuk mewarisi bakat bidang seni.

“Baru-baru ini saya pergi bercuti ke Hatyai bersama keluarga, bertemu dengan rombogan dari Malaysia, mereka bukan panggil nama saya tapi panggil nama watak Megat Luqman. Dalam drama 55 episod, “Dendam Seorang Madu”, saya berlakon sebagai bapa kepada Puteri Reyhana, lakonan Hanna Delisha.

“Itu antara kepuasan yang saya dapat sebagai seorang pelakon. Saya memang tak jangka watak itu akan menonjol, apabila baca skrip saya suka watak itu dan terus terima kerana watak itu ada kelainan. Saya terlibat dalam enam atau tujuh episod saja tapi keberkesanan watak sampaikan orang luar panggil saya dengan nama watak.

“Saya bukan jenis yang memilih dan tak kisah watak apa yang ditawar. Masalahnya kalau nampak muka saya mesti diberi watak bapa atau Tan Sri. Kalau boleh nak juga bawa watak yang pelik-pelik sikit.

Antara kejayaan Eizlan Yusof.

“Selain watak baik, saya memang suka watak-watak antagonis ini sebab ia menjadi. Apabila orang tengok saya, mereka tak sangka yang saya boleh jadi sebegitu. Contohnya dalam filem “Blood Brothers”, kenapa watak Syukri Yahaya menonjol? Sebab wataknya di luar jangkaan,” katanya terus terang.

Justeru itulah kata Eizlan, beliau sentiasa menyokong karya tempatan sama ada filem tersebuat mendapat sambutan atau sebaliknya. Sebagai insan seni, beliau lebih senang menonton karya tersebut terlebih dahulu sebelum memberi komen.

“Sekarang apa saja cerita saya akan tengok tak kisahlah filem itu box office atau tidak, saya tetap akan tengok. Apabila saya tengok, jadi mudah untuk saya berbincang dengan orang lain dan memberi pandangan sebab dah tengok.

Watak Megat Luqman lakonan Eizlan walaupun tak banyak episod namun kehadirannya mencuri perhatian ramai.

“Setiap orang mempunyai pandangan berbeza, ada cerita orang cakap teruk tapi bila kita tengok, nampak okey saja. Sebab selera penonton lain-lain dan disebabkan itulah saya tak akan komen selagi saya belum tonton filem tersebut.

“Saya sentiasa nak berlaku adil sebab apabila kita semakin dewasa, pemikiran kita semakin tenang. Sekarang ini pandangan saya tidak sama seperti zaman muda dulu.

“Pandangan saya tentang industri kreatif tanah air sudah berbeza sebab saya pernah duduk dalam Finas, kementerian dan agensi kerajaan.Jadi pandangan saya terhadap industri dah jadi lain. Banyak perkara yang kita sudah mula faham dan tahu,” akuinya terus terang.

Eizlan sedang menunggu kata putus daripada Syed Saddiq dan Bella Astillah untuk membolehkan dia mengarah filem yang diinspirasikan daripada kisah pasangan tersebut.

Tetap utamakan lakonan, tak halang anak berlakon

Menurut Eizlan, meskipun beliau mengarah namun keutamaannya adalah lakonan. Baginya bidang pengarahan adalah satu cabang yang diguna untuk menguji kemampuan diri sama ada mampu menjadi pengarah yang terbaik atau sebaliknya.

“Dari dulu hingga sekarang, saya punya keutamaan adalah lakonan. Arahan satu cabang yang saya nak explore diri sama ada mampu atau tidak untuk menjadi seorang pengarah yang baik.

“Pengarah ini ada pelbagai kategori. Ada pengarah yang mementingkan sinematografi. Kalau kita tengok filem tu cantik saja. Ada pula pengarah akan pandang dari segi shoot dan angle dalam karya mereka.

Bersama Tan Sri Anuar Musa.

“Macam saya kalau duduk di kerusi pengarah, saya akan jaga kualiti lakonan sebab saya pelakon. Sebelum ini saya ada arah satu telefilem, “Mencari Muhammad” lakonan Azri Iskandar dan Aleeza Kassim untuk tayangan Maal Hijrah. Telefilem arahan saya itu mendapat sambutan yang baik.

“Satu malam tu Aleeza telefon dan ucap terima kasih kepada saya, dia kata ramai yang hubunginya dan puji lakonannya. Tugas saya sebagai pengarah adalah fokus kepada perwatakan dan lakonan itu yang saya akan jaga. Alhamdulillah, drama itu berjaya tambat hati penonton.

“Bila saya berlakon, saya akan buat apa yang saya rasa betul tetapi tak semestinya apa yang saya rasa betul itu betul. Orang yang pertama nampak apa yang kita buat itu betul atau tidak adalah pengarah. Macam pelakon senior mereka ini tidak perlu diajar. Kadang-kadang bagi tips saja. Contohnya, Aleeza disebabkan dia sudah lama dalam lakonan apabila kita bagi que, dia sudah tahu apa yang perlu dilakukan.

Bersama isteri dan anak bongsunya.

“Apabila saya sudah menceburi pengarahan, pandangan saya berbeza tatkala berlakon. Setiap kali berlakon saya sudah dapat agak kamera itu akan ke arah mana kerana saya tahu dari segi teknikal. Antara pelakon senior yang ada ilmu teknikal ini adalah Datuk Rosyam Nor.

“Saya pernah berlakon dengan dia dulu, waktu itu saya masih belum dapat tangkap lagi dari segi teknikal. Saya tengok pergerakannya lain tapi apabila saya sudah mula mengarah dan barulah saya tahu. Benda itu secara tak langsung membantu dari segi kualiti lakonan,” kongsi Eizlan tentang pengalamannya sebagai pelakon dan pengarah.

Sebagai orang di belakang tabir, Eizlan boleh membuka ruang untuk anak-anaknya berlakon sama ada karya arahannya ataupun sebaliknya. Namun, beliau tidak pernah mengguna kedudukannya untuk membolehkan anak-anaknya dalam sesebuah projek.

Insan-insan kesayangan Eizlan Yusof.

“Saya tidak pernah push anak untuk berlakon. Kalau ada yang tengok Zareef dalam drama “Mak Cun” itu semua atas usahanya sendiri.

Kebetulan dia pergi teman kakaknya untuk uji bakat dan tak sangka Erma pelawanya berlakon.

“Saya mahu mereka berusaha sendiri untuk mencari tapak dalam bidang seni. Biar mereka tonjolkan kebolehan sendiri tanpa bergantung kepada saya. Jika mereka berjaya dengan usaha sendiri, barulah boleh dibanggakan,” katanya yang merupakan Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional, yang ditubuhkan oleh Tan Sri Annuar Musa.

Menerusi Muafakat Nasional, Eizlan sering bertemu dengan orang ramai untuk mendengar masalah mereka dan di waktu yang sama membantu meringankan bebanan mereka.

Previous articleKhasiat dan kebaikan minyak zaitun untuk kesihatan dan kecantikan
Next articleHaleeda seronok berlakon dan meniaga

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here