Impian Atilia Haron untuk menjayakan persembahan di satu pentas dengan ibunya, Salamiah Hassan bakal terlaksana pada 16 Ogos ini.

Oleh: Khadijah Ibrahim

BAKAL mengadakan konsert bersama ibu tercinta umpama mimpi menjadi kenyataan. Itulah yang dirasai oleh penyanyi Atilia Haron apabila dia bersama ibunya, Salamiah Hassan, akan disatukan menerusi sebuah persembahan istimewa berjudul ‘Konsert Gelombang Bahagiaku’.

‘Konsert Gelombang Bahagiaku’ ialah simfoni kasih antara dua wanita luar biasa “anak dan ibu” anjuran Mujik Wand Production itu akan diadakan pada jam 8.30 malam di Plenary Theatre, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), pada 16 Ogos 2025.

Bagi Atilia, 51, konsert ini bukan sekadar satu projek seni, tetapi merupakan penghormatan jiwa terhadap insan yang paling dikasihinya.

Usaha Atilia dan Salamiah untuk menjayakan ‘Konsert Gelombang Bahagiaku’ akhirnya mendapat sokongan banyak pihak.

“This is a dream come true for me! Sejak kecil, saya teringin menjadi seperti ibu saya. Peluang dapat berkongsi pentas yang hebat bersama beliau membuatkan saya rasa seperti gadis paling bertuah di dunia.

“Saya sangat menantikan detik magis apabila kami menyanyi bersama dan saling berpandangan di atas pentas. Saya yakin para penonton juga akan turut merasai keajaiban itu,” kongsi Atilia dengan penuh rasa syukur.

Ujarnya lagi, melihat perjalanan seni ibunya sejak kecil dan kini berpeluang untuk satu pentas, itu amat bermakna kepada dirinya. Malah di pentas itu kelak, dia dapat menyatakan rasa cinta dan penghargaan secara langsung melalui lagu, bersama wanita yang paling berjasa dalam hidupnya.

Buat pertama kalinya pasangan ibu dan anak ini akan mendendangkan lagu duet “Age Is Just A Number” untuk penonton yang hadir ke konsert mereka kelak.

Sementara itu, Salamiah, 74, yang popular dengan lagu “Gelombang” menganggap ‘Konsert Gelombang Bahagiaku’ bukan sekadar menyatukan dua vokal yang berbeza latar muziknya, tetapi turut menggabungkan dua dunia, dua generasi dan dua jiwa yang berpadu dalam satu nadi menerusi muzik.

“Saya sangat teruja. Walaupun cara nyanyian kami berbeza, saya percaya ia akan menjadi gabungan yang cukup istimewa buat para penonton.

“Ini adalah kali pertama saya dan Atilia berkongsi pentas berskala besar, dan saya sangat bersyukur, di atas kesempatan yang diberikan,” kata Salamiah yang meraikan ulang tahun ke-55 dalam dunia seni menerusi projek khas “Salamiah Hassan: #Legacy – Celebrating 55 Years in Music.”

Malah, Salamiah juga berharap agar penonton dapat merasai sendiri jalinan kasih antara ibu dan anak yang terpancar bukan sahaja dari nyanyian, tetapi juga dari getaran jiwa dua insan yang saling menyayangi.

Lagu “Gelombang” nyanyian Salamiah Hassan terus diminati hingga kini.

“Saya bertuah kerana dapat berkongsi cinta terhadap muzik dengan anak sendiri. Kami berbeza, namun cinta kami terhadap seni menyatukan kami lebih dalam,” katanya penuh emosi.

Pada persembahan itu kelak, Salamiah dan Atilia akan menyanyi bersama buat pertama kalinya lagu duet mereka yang berjudul “Age Is Just A Number”, sebuah lagu baharu yang menyampaikan mesej positif tentang kehidupan, kematangan dan keberanian menjadi diri sendiri tanpa mengira usia.

“Lagu ini merupakan refleksi kami berdua, iaitu dua wanita berdikari yang melakukan perkara yang kami cintai dengan penuh kasih sayang dan semangat yang positif,” ujar Atilia.

Tambah Atilia, dalam persiapan untuk menjayakan konsert ini, dia dan ibunya tidak lari daripada cabaran. Namun atas semangat dan kepercayaan bersama, mereka nekad meneruskan impian ini walaupun bermula dengan usaha sendiri dan bantuan sahabat-sahabat terdekat yang percaya pada misi mereka.

Harap nyanyian dan persembahannya bersama ibu dapat menghibur penonton yang hadir.

“Sudah tentu ada cabarannya, tetapi sedikit demi sedikit, kami berjaya usahakannya akhirnya. This concert had to be done. Kami buat apa yang perlu sahaja dengan sokongan rakan-rakan. Syukur Alhamdulillah, ada yang percaya dan sudi membantu,” ujar Atilia jujur.

“Konsert Gelombang Bahagiaku” dijangka menjadi sebuah malam yang sarat dengan emosi, penuh kenangan indah dan persembahan yang menyentuh hati. Ia adalah hadiah buat mereka yang menghargai nilai keluarga, cinta yang tidak bersyarat dan muzik yang merentas zaman.

“Saya harap penonton bersedia menyaksikan sesuatu yang berbeza tetapi dekat di hati. Nantikan persembahan muzik yang bagus, dan semoga nyanyian kami menyentuh jiwa semua. Terima kasih,” janji Atilia kepada para peminat.

Tiket-tiket “Konsert Gelombang Bahagiaku” yang berharga RM350 (Platinum), RM250 (Gold), RM150 (Silver) boleh dibeli di laman web ticket2u.com.my/event/43440

Previous articleSelain menyanyi, Wanns Ahmad turut mengarah video muzik “Bulan Ku”
Next articleLatihan Pestapora Malaysia, gandingan artis tempatan dan Indonesia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here