Oleh : Nafsiah Jani
Sakit tekak cukup tidak disukai semua orang kerana ia memberi masalah untuk menelan makanan. Malahan ia juga menyebabkan ketidakselesaan kepada penghidapnya. Disebabkan itu ramai yang cuba mencari solusi untuk merawatnya secara tradisional dan moden agar masalah ini dapat diatasi.
Tanda-tanda anda mengalami sakit tekak bila tekak anda terasa perit. Oleh itu anda harus berwaspada bila mempunyai tanda-tanda sebegitu.Selain pengambilan ubat-ubatan, anda juga dinasihatkan banyak berehat, ambil madu dan juga suplemen untuk meningkatkan daya tahan badan.
Rehat yang mencukupi adalah petua hilangkan sakit tekak yang setiap orang mungkin terlepas pandang untuk dilakukan. Rehat membolehkan tubuh memulihkan dirinya dengan lebih cepat dan berkesan. Tidur yang berkualiti juga membantu sistem imun menjadi lebih kuat untuk melawan jangkitan. Oleh itu, elakkan aktiviti yang berat dan pastikan tidur secukupnya bagi mempercepatkan proses penyembuhan sakit tekak.
Sakit tekak berlaku disebabkan pelbagai faktor antaranya jangkitan virus, alahan, asid refluks dan jangkitan bakteria. Namun, ia akan sembuh dengan sendirinya dalam masa 5-7 hari. Jika ia tidak sembuh dan semakin melarat, jumpa doktor secepat mungkin untuk rawatan yang selanjutnya kerana ia mungkin menandakan jangkitan serius atau keadaan kesihatan lain yang memerlukan perhatian.

Dibawah ini kami paparkan beberapa cara bagi membantu anda untuk mengatasi dan mengubati masalah sakit tekak daripada terus berlarutan.
- Halia dan lemon dapat membantu menghilangkan sakit tekak. Halia mengandungi sifat anti-radang dan anti-bakteria yang boleh mengurangkan keradangan di kawasan tekak. Lemon pula kaya dengan vitamin C membantu meningkatkan sistem imun tubuh untuk melawan jangkitan. Rebus beberapa hirisan halia segar dalam air selama 10 minit, kemudian tambahkan perahan lemon dan sedikit madu untuk mendapatkan rasa yang seimbang.
- Pengambilan makanan dan air yang hangat seperti teh o juga dapat membantu memberi kelegaan pada tekak yang bermasalah. Untuk sihat amalkan air yang hangat bagi memberi kelegaan pada tekak yang sakit.
- Madu juga bagus sebagai ubat sakit tekak kerana ia mengandungi sifat bakteria yang dapat memulihkan luka dan mengurangkan jangkitan. Ambil 2 sudu madu dan masukkan dalam secawan air suam. Kacau dan minum beberapa kali sehari. Amalkannya sehingga tekak anda pulih sepenuhnya.
- Campurkan ½ sudu teh garam ke dalam gelas berisi air suam. Kumur dengan air ini sekurang-kurangnya 3 jam sekali. Air garam dapat mengurangkan bengkak dan radang pada tekak. Amalkan sehingga tekak anda tidak lagi berasa sakit.
- Minyak kelapa dara mempunyai sifat anti radang dan anti mikrob yang dapat membantu melawan dan mengurangkan jangkitan dan keradangan di tekak. Ambil satu sudu minyak kelapa dara dan telan perlahan-lahan. Insya-Allah anda akan gembira dengan hasilnya seperti hasil kajian National Center for Biotechnology Information.
- Pengambilan suplemen memainkan peranan penting untuk memastikan sistem imun badan sentiasa sihat. Antara suplemen yang mungkin dapat membantu ialah vitamin C, vitamin D dan Zink. Selain pengambilan suplemen, anda juga boleh mendapatkan vitamin ini daripada buah-buahan dan sayur-sayuran.
- Selain digunakan untuk masakan, air asam jawa juga dapat menghilangkan dan mengurangkan pedih dan keradangan ditekak. Larutkan sedikit asam jawa dalam air suam dan kumur beberapa kali sehari. Insya-Allah cara ini dapat mengurangkan rasa sakit tekat kerana kuman-kuman ditekak telah dibersihkan.
- Teh chamomile yang dikenali sebagai teh herba juga bagus untuk mengatasi masalah sakit tekak. Menurut kajian Molecular Medicine Reports, teh ini dapat melincirkan kerongkong kerana ia juga mempunyai sifat antiradang dan antioksidan.
- Rehat yang mencukupi merupakan penawar terbaik untuk sakit tekak. Jangan bercakap dengan banyak dan cuba berbaring. Tinggikan sedikit bantal untuk kurangkan kesakitan dan ketidakselesaan yang berlaku disebabkan sakit tekak.
- Petua hilangkan sakit tekak yang seterusnya adalah makan bawang putih. Bawang putih mengandungi allicin, iaitu komponen yang berfungsi sebagai antibiotik semulajadi. Mengunyah bawang putih mentah atau menambahnya dalam makanan harian boleh membantu membasmi kuman dalam tekak. Pastikan untuk mengunyahnya dengan perlahan agar enzimnya dilepaskan dengan baik.

Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.