Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Koleksi Syed Wafa
Mulanya di sini,
Bagai terulang Lagi,
Kisah yang indah
Antara kita berdua
Sehingga di sini,
Tiada berpaling lagi,
Kita berteman,
Seiring jalan dan sehaluan…
Itulah antara bait-bait lagu kumpulan Freedom, Mulanya Di Sini yang telah mempopularkan kumpulan Freedom yang turut dianggotai arwah Seha selaku vokalis utamanya.
Namun disebalik populariti dan tawa rianya, rupanya Seha memendam sebuah kerinduan yang tidak tergambar kerana merindukan anak lelaki sulungnya, Misha Kyrie Lund yang ketika itu berusia 5 tahun dan kini sudah berusia 30 tahun. Perpisahan ini berlaku apabila Seha dan suaminya, Chris Lund Abdullah bercerai pada 1998. Manakala anak perempuannya Karissa Iris Lund kini berusia 25 tahun pula tinggal bersama Seha.

Anak-anak adalah intan permata dan umpama nyawa bagi ibu bapa yang cukup menyayangi anak-anak mereka. Perpisahan penyanyi Seha dan suami pertamanya, telah mengundang rindu yang tidak berkesudahan dalam episod hidup Seha. Sehingga ke akhir hayatnya, Seha cukup merindui untuk menatap wajah anak lelakinya secara berdepan.
Masuk tahun ini, sudah 19 tahun penyanyi Seha Freedom meninggalkan kita. Seperti semua tahu Seha membawa bersama hatinya yang lara merindukan anak lelakinya yang tidak pernah ditemuinya.
Hajat Seha atau nama sebenarnya, Norsehah Abu Bakar yang juga seorang penyanyi, pelakon dan pengacara popular era 1980-an dan 1990-an ini tidak kesampaian bila mana Seha meninggal dunia ketika berusia 44 tahun kerana penyakit kanser yang telah dideritainya sejak bertahun-tahun.

Walaupun tidak pernah bertentang mata bersama anak lelakinya namun kerinduannya sedikit terubat apabila Seha sempat juga berbicara dengan anaknya melalui telefon. Ikatan ini kembali terjalin hasil usaha abang Seha, Datuk Nordin Abu Bakar dan anak gadisnya Iman yang berjaya mengesan Misya melalui internet, blog dan emelnya.
Akhirnya keduanya dapat juga berhubungan melalui telefon walaupun tidak sempat berjumpa. Difahamkan berkat bulan Ramadan, arwah Seha dapat berbual panjang dengan dengan anak yang selama ini begitu dirinduinya. Walaupun hanya mendengar suara, namun sedikit sebanyak dapat mengubati kerinduan arwah terhadap anaknya itu.
Namun kita hanya mampu merancang, Allah yang menentukannya. Hasrat arwah untuk mendakap erat anak yang dirinduinya buat sekian lama tidak kesampaian.

Seha memulakan karier bersama kumpulan Freedom sebuah kumpulan pemuzik dan penyanyi yang pernah aktif di Malaysia di era akhir 80-an dan di awal 90-an selepas vokalis mereka, Corrine Kennedy berundur diri. Shuib Shaari yang ketika itu bertindak selaku vokalis kedua dan pemain dram telah melamar Seha untuk bersama Freedom.
Sebelum menyertai kumpulan Freedom, Seha merupakan ahli kumpulan Peppers. Kemunculannya bersama Freedom begitu menyerlah sekali dengan penampilannya yang begitu lincah di pentas menyanyi sambil menari. Kemahirannya itu mungkin pengalaman menyanyi di kelab-kelab sekitar ibu kota
Seha sentiasa tampil dengan fesyen pakaian yang trendy. Setiap kali mengadakan persembahan, Seha pasti akan tampil dengan imej yang berbeza malah siap bertopi. Itulah kehebatan dan keberanian Seha yang berani mencuba sesuatu fesyen yang baru.

Dengan penyertaan Seha sebagai anggota baru, kumpulan Freedom memulakan persembahan pertama mereka di Plaza Inn, Melaka. Sewaktu bermain di Piccadilly, Damansara Jaya, kumpulan Freedom ditawarkan menjadi artis rakaman oleh komposer terkenal Fauzi Marzuki.
Selepas itu, lahirlah album sulung kumpulan Freedom, Mulanya Di Sini. Lagu itu juga berjaya menjulang nama Seha. Namanya mula meniti di bibir peminat apabila lagu, Mulanya Di Sini mulai popular. Populariti lagu tersebut melayakkan Freedom bertanding ke peringkat akhir pertandingan Juara Lagu TV3 pada tahun 1987.
Sebagai penyanyi utama Seha mempunyai tarikan tersendiri selain bakatnya nyanyian. Beliau begitu pandai menarik perhatian peminat dan juga dengan penampilan dan fesyennya yang up to date membuatkan Seha sentiasa terkini dalam berfesyen.

Bersama Freedom, Seha sempat menghasilkan tiga buah album iaitu album Mulanya Di Sini (1987), Kau Yang Memungkinkannya (1988) dan Cinta Ciptaan Kita (1989). Antara lagu popularnya, Mulanya Di Sini, Persamaan, Jauh Di Rindu dan Seloka Cinta Remaja.
Bagaimanapun selepas beberapa ketika bersama, Seha berundur dari kumpulan Freedom dan mula bergerak solo. Ketiadaan Seha bersama kumpulan Freedom membuatkan kumpulan itu terumbang- ambing. Semuanya jadi serba tidak kena. Walaupun cuba mencari penyanyi pengganti, namun, tidak sama dengan Seha.
Sewaktu bergerak solo, Seha sempat menghasilkan album solonya Seha (1988), Hitam Manis (1990) dan Enigma (1993).

Seha anak kelahiran Air Putih, Kuantan, Pahang ini adalah seorang yang periang, senang didekati, penghibur yang bagus serta mahir memilih lagu yang boleh membangkitkan semangat penonton ketika menyaksikan persembahannya.
Selepas beberapa tahun bercerai, pada 2003 Seha berkahwin dengan suami keduanya, Azmi Thamby Chik, seorang tokoh korporat yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Industrial Estate Berhad (MIEL). Melalui perkahwinannya keduanya, Seha tidak mempunyai anak.
Seha akhirnya dijemput Ilahi pada 11 Oktober 2006 di Hospital Kuala Lumpur (HKL) setelah bertarung dengan penyakit kanser paru-paru selama beberapa bulan. Seha dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Taman Kosas, Ampang, Selangor.

Sebelum itu, Seha hanya menghidap kanser kulit di kaki dan beberapa tahun kemudian, arwah berdepan penyakit kanser paru-paru kronik yang dikesan pada Ogos 2006 setelah Seha batuk berdarah selama berminggu-minggu yang akhirnya meragut nyawanya.
Difahamkan arwah reda dengan penyakit yang dihidapinya. Katanya tidak ada apa yang perlu dikesalkan. Allah bagi penyakit untuk kita berubah dan dia tahu segala-galanya. Arwah juga dikatakan telah mencuba pelbagai kaedah rawatan dan disaat-saat akhirnya hayatnya, arwah juga sedang berusaha menghafal Asmaul Husna dan membaca serta mendalami Al Quran dengan lebih mendalam lagi serta menghafal segala ayat yang dapat membantu meringankan sakinya itu.
Karissa yang ketika itu berusia 10 tahun, kehilangan ibunya, diikuti bapa tirinya, Azmi Tambi Chik dan bapanya, Chris Lund Abdullah. Setelah pemergian Seha, anak perempuan tunggalnya, Karissa dibesarkan adik kepada ibunya, Mohd Norbi Abu Bakar dan isterinya, Nor Azah Ahmad Nordin

Selain menyanyi, Seha juga berbakat dalam bidang pengacaraan mengacarakan rancangan Muzik TV selama tiga tahun (terbitan Betarecs) pada tahun 1994.

Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.