Oleh: SYED WAFA
Foto: Ehsan Seniwati Datin Maria Arshad/Koleksi Syed Wafa
WALAUPUN kehadirannya dalam beberapa filem tempatan pada awal 1980-an hanya sebagai pelakon pembantu namun beliau berjaya mencuri hati para peminat filem Melayu ketika itu.
Sebabnya beliau hadir bukan sekadar memenuhi skrin filem sebaliknya dengan wajahnya yang cantik dan suara manjanya membuatkan para peminat amat menyenangi seniwati yang seorang ini.


Dengan wajah menawan dan suara manjanya itu membuatkan ‘Rohana’ ditangan Maria Arshad dalam filem “Langit Tidak Selalu Cerah” dikatakan bukan sahaja menjadi penyelamat kepada seorang suami, Amran (Mokhtaruddin) yang kecewa ditinggalkan isteri, Huzaimah (Uji Rashid) dan seorang anak, Murni (Norasnizah Zaidi) yang merindui kasih seorang ibu tetapi telah ‘melahirkan’ seorang seniwati cantik dan berbakat!
Bermula dari filem itu, beliau juga membuktikan kehadirannya bukan bersandarkan pada wajah sahaja sebaliknya dia mampu untuk kekal sebagai ‘seniwati’ yang diminati ramai.


Itulah Seniwati Datin Maria Arshad atau nama sebenarnya Kamariah Arshad yang dicungkil bakatnya oleh Pengarah dan seniman legenda Allahyarham S. Sudarmaji yang merupakan pengarah filem berkenaan.
Diikuti filem “Azura” dengan pelakon utamanya Jamal Abdillah, Ogy Ahmad Daud dan A. Galak dan diarahkan oleh Deddy M. Borhan terbitan Sabah Filem pada tahun 1984.


Jika selama ini dalam kebanyakan filem Melayu menggambarkan ibu tiri seorang yang garang tetapi ibu tiri ‘ditangan’ Maria Arshad dalam “Azura” amat menyenangkan hati para peminatnya kerana bukan sahaja berwajah cantik menawan malah suaranya yang manja telah memberikan persepsi baru ‘seorang ibu tiri.’
Selain filem terbitan tempatan, Maria Arshad turut berpeluang membintangi filem “Gadis Hitam Putih” (1986) dengan pelakon utamanya Lydia Kandou, Ogy Ahmad Daud dan Deddy Mirzar usahasama Indonesia dan Malaysian yang diarahkan oleh Wahyu Sihombing.


Sepanjang penglibatannya dalam bidang lakonan, Maria Arshad bukan sahaja melakonkan watak wanita yang membuatkan para penonton menyayanginya tetapi wataknya sebagai Azizah, seorang isteri yang curang membuatkan beliau dibenci.
Namun bagi Maria Arshad ‘kebencian’ penonton adalah kejayaannya kerana untuk menjadi pelakon yang serba boleh harus mampu menyantuni watak yang diberikan.

Walaupun beliau mampu menyantuni setiap watak yang diberikan namun Maria Arshad seniwati cantik jelita bersuara manja yang pernah berkahwin pada usia 16 tahun dan mempunyai dua orang anak iaitu Zulkifly Azahari (Ijoy Azahari) dan Norazlina akhirnya ‘meninggalkan’ dunia seni setelah mendirikan rumahtangga bersama Allahyarham Datuk Abdul Rahman Abu Bakar.
Meskipun setelah berkahwin, kehidupannya jauh dari sinar cahaya glamor namun beliau bahagia menjalani kehidupan sebagai seorang isteri dan ibu.


Melalui perkahwinan kedua ini, beliau dianugerahkan dua cahayamata iaitu Natasha Munira dan Puteri Nabilla Manissa.
Bagi Maria Arshad, walaupun menjauhkan diri dari dunia seni yang penuh glamour, namun sebagai isteri Maria Arshad sentiasa menjaga kesihatan dan penampilan.


Tidak hairanlah pada usianya yang mencecah 60an, Maria Arshad dikatakan menjalani hidup bahagia sebagai seorang ‘nenek gorgeous’ yang sentiasa menjaga kesihatan dan penampilan.
Beliau dikatakan seorang yang sangat disiplin dengan amalan dan petua-petua yang diamalkan sejak sekian lama.


Malah sewaktu bertemu beliau baru-baru ini, Wafa terpegun kerana pada usia 66 tahun, Maria Arshad masih tetap cantik dan menawan dengan suara manjanya.
Walaupun kehidupan peribadinya tidak dikongsi bersama para peminat namun mereka menghormati pendiriannya sebagai seorang isteri, ibu dan nenek.

Bagaimanapun kebahagiaan yang dilalui bersama suami tercinta sejak sekian lama akhirnya menemui noktah apabila suaminya tercinta meninggal dunia pada 20 Julai 2022 kerana Covid 19.
Kami di Ladybosz sentiasa mendoakan semoga Maria Arshad dianugerahkan kesihatan yang baik… Amin.


SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.