Image by cookie_studio on Freepik

Oleh: Nury Kadir

Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri menghimpunkan beberapa pendapat ulama sebagai ikhtiar untuk merawat penyakit was-was supaya tidak menjadi kronik. Antaranya:-

1. Berdoa memohon pertolongan daripada Allah SWT
Sentiasa meminta perlindungan dan pertolongan daripada Allah Yang Esa. Ini kerana Allah SWT amat suka kepada hamba-Nya yang sentiasa meminta pertolongan daripada-Nya. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 186: Maksudnya: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka) sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka). Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepada Aku supaya mereka mendapat petunjuk.”

Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Syaitan mendatangi salah seorang dari kalian lalu bertanya: “Siapakah yang menciptakan ini? Siapakah yang menciptakan itu?” Sehingga dia bertanya: “Siapakah yang menciptakan Rabb-mu. Oleh kerana itu, jika telah sampai kepada hal yang tersebut maka hendaklah dia berlindung kepada Allah SWT dan hendaklah dia menghentikan (was-was tersebut) (HR Muslim).

2. Sentiasa mendampingi para ulama dan orang yang soleh.
Memilih rakan dan dengan siapa kita bersahabat amat penting dalam Islam kerana ia boleh mempengaruhi akhlak dan adab seseorang itu dalam bermuamalah. Seorang teman yang baik dan soleh akan sentiasa mendorong seseorang itu untuk melakukan ketaatan kepada Allah SWT maka sebaliknya teman yang buruk akhlaknya akan membawa kepada melakukan kemaksiatan dan prasangka yang buruk kepada Allah SWT.

Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Seseorang menurut agama teman karibnya. Maka hendaklah kalian melihat siapakah yang menjadi teman karibnya.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

3. Sentiasa melazimi zikir kepada Allah SWT
Berzikir dapat melawan segala bisikan syaitan yang datang ke dalam diri. Dengan melazimi zikir, ianya dapat menjadi benteng dan melindungi kita di dalam melakukan ketaatan kepada Allah SWT.

Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT: Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa apabila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya”.(Surah al-A’raf: 201).

4.Sentiasa optimis dalam setiap amalan harian kita
Fokus dalam setiap aktiviti yang dilakukan sehari-harian kerana ia dapat mengelakkan fikiran kita daripada bercelaru seterusnya membawa kepada perasaan was-was.

Daripada Hasan bin Ali R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Tinggallah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan. Maka sesungguhnya kebenaran itu adalah satu ketenangan dan sesungguhnya dusta itu adalah satu keraguan.” (HR al-Tirmizi).

Ibn Daqiq al-’Id berkata maksud yang meragukan kamu ialah: “Tinggalkan sesuatu yang menjadikan kamu ragu-ragu dan gantikanlah kepada perkara yang tidak meragukan”.

5. Mengambil Sikap Tidak Peduli
Jangan diambil berat perasaan was-was tersebut. Ini sepertimana yang ditanyakan kepada Ibnu Hajar al-Haitami mengenai ubat bagi penyakit was-was. Maka jawab beliau: “Baginya (penyakit was-was itu) ubat yang sangat bermanfaat iaitu bersikap tidak peduli secara keseluruhannya (dalam perkara yang di was-waskan itu). Meskipun di dalam dirinya terdapat perasaan was-was, selagi mana dia tidak melihat, mengambil peduli perkara was-was tersebut maka ianya tidak akan tetap bahkan akan hilang selepas beberapa ketika. Ini sepertimana yang telah dilalui oleh mereka yang telah diberi petunjuk untuk terlepas dari penyakit was-was ini. Adapun mereka yang mendengar (mengambil peduli was-was tersebut) dan mengikutinya, was-was tersebut tidak akan hilang bahkan bertambah sehingga menjadikannya gila dan boleh jadi lebih buruk dari itu sepertimana yang kita saksikan pada kebanyakan mereka yang ditimpa penyakit was-was yang mendengar dari bisikan syaitan.”

6. Bersabar Dan Terus Mencuba:
Mereka yang ditimpa penyakit was-was ini sebenarnya sedang diuji. Ia adalah ujian menentang syaitan kerana was-was itu adalah daripada syaitan. Ketika diuji, perlulah sentiasa bersabar dan terus berlatih untuk menghindari penyakit was-was. Ibnu Hajar al-Haitami menukilkan perkataan Sultan al-Ulama’ al-‘Izz bin Abd al-Salam yang mana menyebut, “Ubat bagi penyakit was-was ini adalah dengan beriktikad bahawa ianya adalah godaan syaitan dan sesungguhnya iblis, dialah yang sedang dibawa dan sedang diperangi dan baginya pahala seorang yang sedang berjihad kerana sedang memerangi musuh Allah. Sekiranya dia merasa was-was maka dia akan menghindarinya.”

7. Mempelajari Tatacara Ibadah Yang Sahih
Mempelajari yang sahih dari tatacara beribadat dapat membantu dalam menghindari penyakit was-was. Seseorang yang kurang pengetahuannya dalam soal agama akan mudah terpengaruh dan terikut-ikut dengan trend beragama tanpa ilmu yang benar dan akhirnya akan mengelirukan dirinya. Penyakit was-was akan mudah mengambil alih peranan akal dan jantung hati mereka yang beramal namun tidak mengetahui akan kesahihannya.

Ibnu Hajar al-Haitami menyebutkan, “Sesungguhnya was-was itu tidak akan menguasai melainkan ke atas mereka yang jahil dan kurang akal yang tidak dapat membezakan (antara yang sahih ataupun tidak). Sedangkan mereka yang berada di atas hakikat ilmu dan akal tidak akan terkeluar daripada mengikut petunjuk dan tidak pula cenderung kepada perlakuan bid’ah.”

Image by krakenimages.com on Freepik

Berikut adalah jawapan kepada beberapa masalah yang dikemukakan di awal artikel ini:-

1.Was-Was Di Dalam Solat
Menurut Imam Nawawi, antara kelebihan yang akan diperolehi oleh sesiapa yang berwuduk dengan sempurna lalu sembahyang dua rakaat maka dia akan dijauhi daripada bisikan syaitan dan penyakit was-was.

Sebagaimana Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Sesiapa yang berwuduk dan menyempurnakan wuduknya, kemudian dia bersolat dua rakaat dan tidak lalai ketika mengerjakannya (wuduk dan solat), maka diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu.” (HR Abu Daud)

Dalam hadis riwayat Uthman bin Affan R.A., Nabi SAW bersabda: Maksudnya: “Barangsiapa yang berwuduk’ seperti wudukku ini kemudian bersolat dua rakaat, dalam keadaan dia tidak sibuk berbicara dengan dirinya (berkhayal, monolog, dan lain-lain) dalam kedua-dua rakaat itu, maka akan diampunkan apa yang terdahulu daripada dosanya.” (HR Bukhari)

Melazami surah al-Nas sebelum solat. Ini kerana surah itu ialah salah satu surah yang disebut sebagai al-Mu’awwizatain iaitu yang digunakan sebagai doa pelindung sepertimana surah al-Falaq. Fakta ini disebut oleh Imam al-Qurtubi dalam kitabnya: “Surah “al-Nas” seperti surah “al-Falaq” kerana ia salah satu daripada al-Mu’awwizatain (doa pelindung).”

Perkara ini disebut dalam hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Uqbah bin Amir al-Juhani, Nabi SAW bersabda
‏”‏ قَدْ أَنْزَلَ اللَّهُ عَلَىَّ آيَاتٍ لَمْ يُرَ مِثْلُهُنَّ: (قل أعوذ برب الناس) إِلَى آخِرِ السُّورَةِ وَ (قل أعوذ برب الفلق) إلى آخر السورة
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT telah menurunkan ke atasku ayat yang tak pernah dilihat seumpamanya iaitu: (قل أعوذ برب الناس) sehingga akhir surah dan (قل أعوذ برب الفلق) sehingga akhir surah”. (HR al-Tirmizi)
Syaitan akan sentiasa mengganggu anak Adam agar tidak khusyuk serta lalai dan leka ketika mengerjakan solat. Ini kerana Syaitan dan Iblis telah bersumpah dan berjanji akan mengganggu dan menyesatkan anak Adam.

Imam al-Ghazali menyebut, apabila telah selesai menyucikan hadas, membersihkan kotoran pada badan, pakaian dan tempat, kemudian menutup aurat dari pusat hingga ke lutut. Lalu bangun berdiri menghadap kiblat dalam keadaan tidak merapatkan kedua belah kakimu, berdiri tegak (untuk menunaikan solat) dan membaca (قل أعوذ برب الناس) untuk berlindung daripada syaitan yang direjam.

Bahkan sunat mengamalkan bacaan surah al-Nas menurut Imam Abdul Qadir al-Fakihi kerana manfaat surah ini sebagai penghindar kepada penyakit was-was.

2. Was-was dalam puasa
Jika ragu-ragu atau was-was terhadap puasa yang telah dilakukan pada Ramadan yang lepas, maka tidak perlulah diganti. Ini kerana ianya tetap sah. Ini berdasarkan kaedah :
الأصل بقاء ما كان على ما كان
Maksudnya : “Asal (bagi satu hukum) adalah mengekalkan sepertimana ia.”Jangan berlebih-lebihan dan melampau-melampau walaupun melibatkan bab ibadat. Perkara ini telah diingatkan Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Abdullah Bin Mas’ud : Maksudnya: “Hancurlah orang yang melampau-lampau. Nabi Muhammad SAW mengucapkannya sebanyak tiga kali.” (HR Muslim)

Jauhilah sifat was-was dan ragu-ragu kerana ia hasil dari bisikan syaitan yang akhirnya menatijahkan kepayahan dan menyebabkan kehidupan seharian menjadi rumit. Nabi Muhammad SAW telah mengingatkan dan memberikan jalan penyelesaian kepada kita menerusi sabda Baginda: Maksudnya : “Sesungguhnya syaitan ada bisikan kepada anak adam dan malaikat juga ada bisikan. Adapun bisikan syaitan, ia adalah bisikan keburukan dan memalsukan kebenaran. Adapun bisikan malaikat adalah bisikan kebaikan dan membenarkan perkara yang hak. Barangsiapa yang terlintas akan bisikan kebaikan ketahuilah ia adalah daripada Allah. Maka pujilah Allah. Sesiapa yang mendapat selain dari itu (iaitu bisikan keburukan) maka berlindunglah dengan nama Allah daripada syaitan yang direjam. Kemudian Baginda membaca : “Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji”[Surah al-Baqarah : 268]. (HR al-Tirmizi, al-Nasaie)
Jika berlaku was-was, ucapkanlah أعوذ بالله من الشيطان الرجيم.

3. Was-was najis
Jika ragu-ragu sama ada yang dipijak itu najis anjing ataupun sekadar lumpur maka para ulama telah memberikan garis panduan berkenaan perkara ini. Di antaranya adalah kaedah yang masyhur iaitu “Asal bagi satu hukum adalah mengekalkan dia sepertimana hukum sebelumnya.”

Berdasarkan kaedah ini, apabila tiada bukti yang yang jelas sama ada yang dipijak itu adalah najis ataupun sekadar lumpur atau lumut maka kasut yang digunakan itu kekal suci. Inilah yang dinyatakan oleh Imam Al-Nawawi agar asal bagi hukum adalah beramal dengan hukum asal dan keraguan tidak memberikan kesan.

Ini juga adalah berdasarkan kepada sebuah hadis di mana seorang lelaki bertanya kepada Nabi SAW bahawa dia merasakan ada sesuatu yang keluar daripadanya ketika solat. Lalu Nabi SAW menjawab: Maksudnya: “Jangan dia berpaling sehingga dia mendengar bunyi ataupun mencium bau.” (HR Al-Bukhari)

Berdasarkan hadis ini lelaki tersebut ingin keluar dari solatnya kerana pada sangkaannya ada sesuatu yang keluar daripada duburnya yang mana ianya boleh membatalkan solat. Akan tetapi Nabi SAW tidak membenarkannya sehinggalah dibuktikan dengan bau ataupun bunyi. Maka dapat difahami, selagi mana tiada bukti adanya perkara yang boleh membatalkan solat maka tidak perlu keluar untuk mengambil wuduk semula. Begitu juga halnya dengan masalah terpijak najis, jika tiada bukti yang dipijak itu adalah najis anjing dan kawasan tersebut adalah kawasan yang jarang dilalui oleh binatang tersebut maka kasut yang dipakai adalah kekal suci dan dibasuh seperti biasa. Semua sangkaan yang memerlukan kepada bukti. Selagi tidak nampak anjing bermain-main di kawasan tersebut maka ianya kekal suci.

Satu perkara yang perlu diketahui, setiap hukum dibina berdasarkan perkara kebiasaan yang terjadi. Hukum dibina atas bukti yang nyata bukan andaian semata-mata. Bukan perkara yang diragukan atau yang tidak berlaku. Inilah yang dinyatakan oleh Al-Sarakhsi ulama bermazhab Hanafi. Beliau menyebut:
الحكم ينبني على العام الغالب دون الشاذ النادر
Maksudnya : Hukum terbina di atas perkara am yang menjadi kebiasaan dan tidak dibina di atas perkara yang syaz yang jarang-jarang berlaku.
Oleh kerana itu, ketiadaan bukti adanya najis atau tidak, tidak membolehkan kita untuk menyatakan kasut, pakaian yang dipakai adalah bernajis. Bahkan kaedah lain menyebut :
اليقين لا يزال
Maksudnya : “ Keyakinan tidak boleh dihilangkan”
Ditinggalkan artikel ini dengan doa yang terdapat dalam surah al-Mu’minun ayat 97-98
وَقُل رَّبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنۡ هَمَزَٰتِ ٱلشَّيَٰطِينِ ٩٧ وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَن يَحۡضُرُونِ ٩
Maksudnya: Dan katakanlah: “Ya Tuhanku aku berlindung kepada Engkau dari bisikan-bisikan syaitan. Dan aku berlindung (pula) kepada Engkau ya Tuhanku, dari kedatangan mereka kepadaku”.

Juga doa yang biasa diamalkan oleh Rasulullah SAW seperti yang diriwayatkan oleh Saidina Aisyah R. Anha:
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ وَطَاعَتِكَ
Maksudnya: “Wahai (Tuhan) yang membolak-balikkan hati-hati, tetapkanlah hatiku atas agama-Mu dan ketaatan kepada-Mu.” (HR Imam Ahmad).

 

Previous articleSelamat Tahun Baru 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here