Oleh : Asmat Fikri
Mereka yang menghadapi masalah gangguan haid boleh memilih rawatan bagi mengenalpasti punca semuanya terjadi. Untuk mennghindari masalah haid ini terus berpanjangan, anda digalakkan untuk mengikuti tip-tip di bawah ini.
1. Tukar gaya hidup sehari-hari
-Lakukan senaman, amalkan diet seimbang dan cuba turunkan berat badan secara beransur-ansur.
-Tukar tuala wanita setiap 4 hingga 6 jam untuk mengelakkan toksik dan jangkitan pada faraj.
-Dapatkan tidur yang nyenyak.
-Rujuk pakar sakit puan
2. Terapi hormon
-Pil kawalan kelahiran dan peranti dalam Rahim (IUD) dapat membantu mengawal pendarahan haid mengurangkan kesakitan dan memulihkan keseimbangan hormon.
3. Ubat-ubatan
-Ubat mungkin akan diberikan bergantung kepada kedatangan haid yang tidak teratur bagi menangani masalah atau simptom tertentu. Contohnya ubat anti radang bukan steroid (NSAID) dapat membantu mengurangkan sakit sewaktu kedatangan haid. Manakala metformin pula bagi menangani rintangan insulin dalam PCOS.
4. Pembedahan
-Dalam sesetengah kes doktor akan menyarankan pembedahan untuk mengatasi masalah haid yang tidak teratur. Contohnya pembedahan membuang fibroid Rahim atau rawatan lesi endometriosis mungkin disyorkan.
Faktor mendorong kepada masalah haid yang tidak teratur
1)Hormon tidak seimbang. Hormon Estrogen dan progesteron yang tidak seimbang boleh menyebabkan lapisan rahim terlalu tebal, sehingga pendarahan lebih banyak dan lebih lama. Malah masalah seperti Sindrom Ovari Polisistik (PCOS) atau tiroid yang tidak aktif/hipotiroidisme juga boleh menyebabkan ketidakseimbangan hormon.
2)Fibroid Rahim. Haid berpanjangan atau lama juga antara simptom mengalami Fibroid Rahim. Ia juga dikenali sebagai leiomyoma iaitu ketumbuhan bukan kanser di dalam atau pada rahim wanita. Ia mungkin muncul dalam saiz yang amat kecil (saiz kacang pea) atau kadang-kadang sebesar limau gedang. Ovari menghasilkan estrogen, iaitu hormon reproduktif wanita. Fibroid biasanya terbentuk semasa tahun-tahun reproduktif wanita, dari umur kira-kira 16 hingga 50 tahun, apabila paras estrogen sedang memuncak. Ketumbuhan ini biasanya akan mengecut apabila paras estrogen menurun, seperti selepas menopaus apabila kitaran haid wanita berakhir.
3)Adenomiosis. Ia adalah satu keadaan di mana tisu yang biasanya melapisi dinding dalaman rahim tumbuh ke dalam lapisan otot rahim. Ia boleh menjejaskan sama ada keseluruhan rahim atau kawasan tertentu. Tisu yang sepatutnya tumbuh di dalam rahim tumbuh di luar rahim, menyebabkan pendarahan haid yang tidak normal dan menyakitkan. Walaupun adenomiosis tidak mengancam nyawa, simptomnya boleh memberi kesan ketara kepada kehidupan harian anda. Oleh itu, dapatkan rawatan perubatan yang sewajarnya untuk menangani dan menguruskan keadaan dengan berkesan.
4)Pendarahan rahim tidak normal. Juga dikenali sebagai Abnormal Uterine Bleeding (AUB), Disfungsi Pendarahan Rahim (DUB) adalah keadaan yang menyebabkan pendarahan dalam rahim yang berlaku di luar kitaran haid biasa. Gejala DUB yang paling biasa adalah pendarahan di luar tempoh haid normal anda.
5)Kesan ubat-ubatan. Penggunaan ubat seperti antikoagulan (pencair darah) atau alat kontraseptif tertentu boleh menyebabkan haid berpanjangan.
6)Mengandung luar rahim atau kehamilan ektopik. Kehamilan berlaku apabila telur yang disenyawakan terhasil daripada penyatuan telur dan sperma berjaya menanam dirinya ke dalam rahim. Bagaimanapun, pelbagai komplikasi boleh berlaku semasa kehamilan dan salah satunya adalah mengandung luar rahim atau kehamilan ektopik. Istilah “kehamilan ektopik” berasal daripada perkataan Greek “ektopas,” yang bermaksud “tidak pada tempatnya.”
7)Semasa mengandung, telur yang disenyawakan bergerak dari tiub falopio ke rahim untuk menanamkan diri dan membesar. Jika proses ini terganggu, telur yang disenyawakan boleh ditanam dan mula berkembang di luar rahim yang mengakibatkan kandungan luar rahim. Kebanyakan kandungan luar rahim berkembang dalam tiub falopio yang dirujuk sebagai kehamilan tiub. Kehamilan ektopik biasanya disebabkan oleh kerosakan tiub Fallopio, yang akan menghalang telur yang disenyawakan daripada bergerak kepada uterus.
8)Keguguran. Darah keluar melebihi dari biasa juga mungkin kerana keguguran jika wanita itu sedang hamil. Keguguran merujuk kepada kematian janin atau pengeluaran janin sebelum mencapai tempoh berdaya hidup (viable). Pentakrifan tempoh berdaya hidup janin ini berbeza mengikut negara-negara tertentu. Di Malaysia, tempoh berdaya hidup janin yang digunakan adalah pada minggu ke-24 kehamilan dan ke atas atau setelah mencapai berat 500 gram atau lebih.
9)Kanser rahim. Simptom kanser rahim yang paling biasa ialah pendarahan yang tidak normal dari faraj. Ini termasuk pendarahan haid yang lebih banyak berbanding biasa. Pendarahan di antara kitaran haid (apabila wanita tidak datang haid). Juga pendarahan selepas menopaus. Serta keputihan yang terdiri daripada warna merah jambu dan berair hingga berbau gelap dan busuk.
Tahukah anda, kira-kira 9 daripada 10 kanser rahim yang dikesan disebabkan oleh pendarahan faraj selepas menopaus atau tidak normal. Oleh itu, kanser rahim sering didiagnosis lebih awal. Justeru, jika anda mengalami pendarahan yang tidak normal, terutamanya jika anda telah melalui menopaus, anda harus segera berjumpa doktor. Simptom ini juga mungkin disebabkan oleh masalah selain daripada kanser. Namun, dapatkan nasihat doktor anda jika anda mengalami mana-mana simptom seperti yang dinyatakan di atas.
Penutup
Justeru, wanita perlu menjaga kebersihan faraj dengan mencucinya menggunakan air biasa, bukan dengan cecair pencuci wanita kerana tidak semua individu sesuai menggunakannya. Cara cucian juga perlu teliti dengan mencuci dari hadapan ke belakang faraj dan dubur bagi mengelakkan jangkitan kuman di bahagian faraj. Kaum wanita juga disarankan memakai seluar dalam daripada jenis kain kapas bagi keselesaan dan mengelakkan jangkitan lain.
Berikut adalah 9 kemungkinan penyakit yang mungkin dialami wanita yang mengalami haid tidak teratur atau haid berpanjangan. Jangan anggap ianya perkara biasa dan ambil mudah seperti menukar pad sahaja. Perkara ini sangat penting dan harus diberi perhatian serta perlu dirujuk ke hospital. Ianya bertujuan untuk mengekang awal kemudaratan jika berlaku penyakit yang berbahaya seperti kanser rahim dan sebagainya. Nauzubillah.
ASMA Fikri ialah bekas wartawan Majalah Al-Islam.