Image by jcomp on Freepik

Oleh : Asmat Fikri

Pendarahan pada vagina yang tidak normal adalah salah satu kesan sampingan daripada wanita yang makan pil perancang kehamilan! Bayangkan, kita mengambil pil perancang kehamilan hanya sebiji kecil tapi kesannya boleh jadi sampai berdarah-darah seperti datang bulan!

Oh ya. Sabar dulu, sebelum kita pergi lebih jauh berkenaan dengan kesan sampingan, apa kata kita tahu terlebih dahulu serba sedikit tentang pil perancang kehamilan. Ia dikenali juga sebagai pil kontraseptif oral iaitu ubat yang digunakan untuk mencegah kehamilan. Pil pencegah kehamilan ini mengandungi dua jenis hormon wanita sama ada kombinasi estrogen dan progestogen.

Cara pil pencegah kehamilan bertindak

Pil pencegah kehamilan ini bertindak mencegah kehamilan dengan menukar keseimbangan hormon badan secara mencegah ovulasi (menghalang pengeluaran telur) dengan merencatkan proses kematangan telur. Selain itu pil ini juga bertindak menghalang sperma daripada mempersenyawakan telur. Dan terakhir sekali, ia berfungsi untuk menukar ketebalan dinding sel rahim dan menghalang proses implantasi.

Dan tahukah anda? Pil pencegah kehamilan ini 99% berkesan jika diambil dengan betul tetapi tidak melindungi individu daripada penyakit yang berjangkit melalui hubungan seks termasuk HIV atau AIDS. Cara pengambilan yang betul bermaksud patuh kepada arahan pengambilan dos dan mengambil langkah pencegahan tambahan sekiranya perlu.

Walaupun kita bakal berbincang mengenai keburukan atau kesan sampingan pil perancang kehamilan, tapi sebenarnya ada banyak juga kebaikannya. Pil ini adalah salah satu kaedah mencegah kehamilan yang berkesan yang mana tahap kegagalan adalah 1% jika diambil dengan cara yang betul.

Bagi wanita yang merancang untuk hamil, mereka hanya perlu berhenti mengambil pil perancang dan mereka akan subur seperti sedia kala. Selain itu, ia juga mempunyai kegunaan lain juga, seperti melancarkan peredaran haid dan mengurangkan jerawat.

Image by mdjaff on Freepik

Simptom

Seperti mengambil ubat lain, di awal pengambilan pil perancang kehamilan ini juga mungkin ada kesan sampingan lain yang dirasai. Antara simptom atau tanda reaksi pil ini tidak bersesuaian dengan badan seseorang adalah:

• Gangguan pada penglihatan termasuk penglihatan kabur
• Sakit kepala yang teruk
• Sakit kaki pada peha atau betis yang teruk
• Sakit dada yang teruk dan sesak nafas
• batuk berdarah
• Sakit perut yang teruk

Jika anda mengalami simptom sedemikian, anda dinasihatkan berjumpa atau mendapatkan nasihat doktor pakar bagi mengelakkan kesan lain yang lebih teruk dan berpanjangan.

Namun begitu, berikut dikongsikan juga senarai mereka yang tidak patut mengambil pil perancang kehamilan. Disebabkan itu penting untuk mendapatkan nasihat dan kebenaran dari doktor sebelum mengambil pil perancang kehamilan.

Mereka yang tidak disarankan mengambil pil perancang kehamilan adalah seperti berikut:

• Pernah mengalami serangan jantung atau strok
• Pembekuan darah di kaki, paru-paru atau mata
• Pernah mengalami pembekuan pada salur darah di kaki
• Sakit dada
• Menghidap atau disyaki menghidap kanser payu dara atau kanser uterus, serviks atau vagina.
• Penyakit jaundis (kawasan putih mata atau kulit menjadi kuning) semasa mengandung atau semasa menggunakan pil pencegah kehamilan
• Tumor hati
• Hamil atau disyaki hamil

Justeru, sila maklumkan kepada doktor atau ahli farmasi jika anda pernah atau sedang mengalami masalah berikut. Doktor atau ahli farmasi mungkin akan mencadangkan kaedah alternatif yang sesuai untuk anda bagi mencegah kehamilan.

# Ikuti sambungan artikel bahagian kedua mengenai pil perancang ini

Previous articleKhasiat dan manfaat buah tin untuk kesihatan
Next articleAlif Satar bersih daripada kontroversi, popular kerana bakat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here