Image by danmir12 on Freepik

Oleh Nury Kadir

Bila tiba 1 Januari, satu dunia menyambut tahun baru Masihi walaupun Muslim. Tidak ada bantahan atau larangan menyambutnya selagi mana ia tidak melanggar batas syarak. Malah tidak ada komen pedas yang dilontarkan di media sosial untuk mengutuk individu atau golongan tertentu.

Kita menyambut tahun baru Masihi seadanya dengan harmoni tanpa ada niat lain. Sambutan tahun baru hanya sebagai penanda bahawa 365 hari hidup sudah dilalui dan yang menanti di hadapan adalah 365 hari yang lain bakal ditempohi.

Ini pula kisah 1 Muharram 1446 yang jatuh pada 7 Julai lalu adalah permulaan tahun baru takwim Hijriah. Berakhir sahaja tahun Hijrah 1445 biasanya akan disambut dengan doa akhir tahun dan akan bermulalah tahun baru Hijriah apabila doa awal tahun dibaca. Kemudian diadakan pula sambutan Maal Hijrah dan anugerah tokoh Maal Hijrah. Seluruh Malaysia diistiharkan sebagai cuti umum.

Semua sambutan itu tidak ada salahnya dari segi syarak tapi masih ada yang tidak puas hati terus melaung dan melolong di media sosial. Dakwa mereka…orang Melayu saja yang melebih-lebih menyambut tahun baru Hijriah sempena memperingati hijrah Rasulullah SAW ke Madinah. Sedangkan Nabi SAW berhijrah ke Madinah adalah pada Rabi’ul Awwal dan bukannya pada bulan Muharram.

Kadang-kadang kita pun tidak faham mengapa orang Islam mengkritik dan menghina orang Islam yang lain. Padahal tahun baru Hijriah yang disambut bukan secara besar-besaran dengan bakar bunga api atau berhimpun dengan terjerit terpekik untuk ‘countdown’ masuk tahun baru. Jika alasannya Nabi SAW tidak pernah buat namun itu bukan bermakna kita tidak boleh buat selagi ia tidak menyalahi syarak.

Penerangan yang diberikan oleh Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin sangat jelas semoga ia dapat menjawab kemuskyilan yang bersarang di dalam fikiran. Menurutnya, Rasulullah SAW keluar dari rumah pada akhir bulan Safar. Memulakan hijrah pada hari pertama Rabiul Awwal dan sampai ke Madinah pada 12 Rabiul Awwal. Jika ada perbezaan pendapat dalam kalangan sejarahwan, ia berkisar pada hari-hari yang disebutkan itu sahaja.

Tambahnya lagi, pengkaji sirah sepakat mengatakan bahawa hijrah Nabi SAW berlaku dalam bulan Rabi’ul Awwal, bukan bulan Muharram. Sebuah karya kajian sirah Nabi SAW yang mendapat anugerah dan pengiktirafan besar dalam dunia Islam iaitu al-Rahiq al-Makhtum karangan al-Syeikh al-Mubarakfuri telah menyimpulkan bahawa Nabi s.a.w keluar dari rumah baginda ke rumah Abu Bakar al-Siddiq pada malam 28 Safar, tahun ke-14 selepas menjadi rasul.

Dari situ, Baginda SAW bersama Abu Bakar ke Gua Thur. Mereka berdua berada dalam gua tersebut selama tiga malam. Pada hari pertama bulan Rabiul Awwal Baginda SAW dan Abu Bakar keluar dari Gua Thur lalu memulakan hijrah ke Yathrib (Madinah). Mereka dipandu oleh Abdullah bin ‘Uraiqit.

Pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal, Nabi SAW sampai ke Quba. Baginda berada di Quba selama empat hari dan mengasaskan Masjid Quba. Pada 12 Rabiul Awwal, selepas solat Jumaat, barulah baginda memasuki Yathrib yang kemudian dinamakan Madinah. Inilah kesimpulan yang diambil dari pelbagai riwayat serta catatan ahli sejarah dan hadis. (dipetik daripada Jabatan Mufti Negeri Perlis).

Daripada penjelasan yang dibuat oleh Mufti Perlis, bulan Muharram bukanlah tarikh permulaan hijrah Rasulullah SAW berlaku. Muharram adalah bulan pertama di dalam takwim Hijriah yang dipilih semasa zaman Khalifah Umar. Semasa zaman Rasulullah SAW belum ada lagi kalendar Islam tetapi sudah ada nama-nama bulan seperti yang digunakan di dalam kalendar Hijrah hari ini. Ketika zaman Rasulullah SAW, tahun bukan dikenali dengan angka sebaliknya berdasarkan peristiwa.

Menurut pendapat yang dikemukakan Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri di dalam Maktabah al Bakri, pada zaman pra Islam, masyarakat Arab menamakan tahun-tahun dengan peristiwa-peristiwa penting atau peristiwa luar biasa yang terjadi pada tahun tersebut seperti:

1. Pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim A.S. dan anaknya Nabi Ismail A.S. kira-kira pada tahun 1855 sebelum Miladiah.
2. Runtuhnya Empangan Ma’rib pada tahun 120 sebelum Miladiah.
3. Kewafatan Ka’ab bin Lu`ay iaitu datuk kepada Nabi Muhammad SAW yang ke-tujuh pada tahun 59 sebelum Miladiah.
4. Tahun Uzur pada 461 Miladiah kerana manusia pada tahun ini bertelagah sesama mereka.
5. Tahun Gajah iaitu apabila tentera bergajah Abrahah menyerang Makkah pada tahun 571 Miladiah.
6. Berlakunya Peperangan Fujjar selama empat tahun bermula daripada 586 Miladiah. Para qabilah Arab berperang sesama mereka termasuk pada bulan haram yang mana dilarang berperang dalamnya. Oleh sebab itu ia dinamakan peperangan Fujjar kerana bangsa Arab melanggar larangan pada bulan haram.
7. Tahun berlakunya peristiwa Hijrah dinamakan Tahun Azan kerana pada tahun tersebut disyariatkan azan, tahun ke-dua dinamakan Tahun Izin Berperang, tahun ke-tiga Tahun Puasa, ke-empat Tahun Zakat atau Tahun Korban, tahun ke-sembilan dinamakan Tahun Al-Bara`ah kerana pada tahun tersebut turunnya surah al-Baraah (al-Taubah)
8. Tahun Wada’(perpisahan) adalah tahun ke-10 selepas hijrah, ekoran Haji Wada’ Nabi Muhammad SAW. Pada tahun itu diturunkan ayat 36, surah al-Taubah berikutan penyalahgunaan kaum kafir dalam menetapkan susunan takwim bagi tujuan menjaga kepentingan mereka. Wahyu ini melarang campur tangan manusia sama ada secara peribadi atau untuk tujuan politik dalam soal pengaturan takwim. Firman Allah SWT:

Photo by Ramiar Dilshad: https://www.pexels.com/photo/haj-omrah-26436656/

Maksudnya: “Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya; dan ketahuilah bahawasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa.”

Begitulah seterusnya sehingga Rasulullah SAW wafat dan digantikan Khalifah Abu Bakar kemudian Khalifah Umar. Semasa Khalifah Umar iaitu pada tahun ke-17 selepas hijrah dunia Islam ada sistem takwim yang lebih sistematik. Penentuan untuk memilih tarikh bermulanya takwim Hijriah ketika itu melalui proses yang panjang dan hasil perbincangan dengan para sahabat.

Menjelaskan hal tersebut, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menceritakan sejarah terciptanya Takwim Hijriah yang cukup indah yang membuatkan kita rasa cinta dan menghargainya. Penyusunan semula takwim Hijriah ini berlaku apabila Khalifah Umar menerima tiga pucuk surat yang telah mengelirukan iaitu:
1. Surat daripada Abu Musa al-Ashaari dengan tidak disebutkan tarikhnya;
2. Sepucuk surat daripada Gabenornya di Mesir yang mencatatkan ‘bulan Syaaban’ dengan tidak pula menyebutkan bilangan tahun;
3. Surat dari seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Ya’la bin Umayyah dari Yaman yang mencatatkan tarikh, nama bulan serta tahun yang diasaskan dari tarikh hijrah Nabi Muhammad SAW

Surat yan ketiga itu menarik minat Khalifah Umar terutamanya pada susunan tarikh yang ditulis Ya’la ibni Umayyah. Beliau kemudian mengadakan mesyuarat dengan para sahabat pada hari Rabu, 20 Jamadilakhir tahun 17 Hijriah dan memutuskan bahawa takwim Islam disusun semula bermula pada tarikh hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah. Tarikh 01 Muharram tahun 01 Hijriah adalah bersamaan dengan hari Jumaat 16 Julai 622 Miladiah.

Selain itu, Khalifah Umar juga diberi tugasan membantu memutuskan antara dua orang yang mempunyai masalah hutang yang perlu diselesaikan pada bulan Sya’ban, tetapi tidak diketahui pada Sya’ban tahun yang mana. Kemudian Khalifah Umar bertanya, “Sya’ban yang mana? Sya’ban pada tahun ini, tahun lalu atau tahun depan?” Lalu, beliau mengumpulkan para Sahabat untuk berbincang dan meminta nasihat dalam menetapkan tarikh yang akan diakui oleh semua orang, termasuk dalam pembayaran hutang dan urusan lainnya.
Ada beberapa tarikh yang para sahabat usulkan:
1. Mengikuti tarikh orang Farsi, namun pendapat itu ditolak.
2. Mengikuti tarikh orang Rom, juga ditolak.
3. Berdasarkan tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW-ditolak kerana terdapat perselisihan pendapat di kalangan ulama dalam menentukan tahun yang tepat.
4. Tarikh Baginda SAW diutuskan sebagai Rasul- ditolak kerana terdapat kekeliruan dalam nenetukan tarikh yang tepat.
5. Tarikh kewafatan Rasulullah SAW-para sahabat mengelak daripada menggunakan tarikh tersebut sebagai rujukan kerana dengan mengingati tarikh tersebut akan menimbulkan kesedihan yang mendalam bagi umat Islam.
6. Berdasarkan tarikh hijrah Baginda SAW- Khalifah Umar cenderung pada pendapat yang mencadangkan tarikh berdasarkan tahun hijrah kerana menganggapnya lebih tepat. Para sahabat sepakat pada tahun ke-16 selepas hijrah, atau disebutkan juga pada tahun ke-17 atau ke-18 dalam pemerintahan Khalifah Umar dalam menetapkan awal tarikh Islam dari tahun hijrah.

Ibn Hajar al-Asqalani berkata: “… Maka mereka memilih tahun hijrah untuk dijadikan tahun pertama dalam Islam. Dan mereka menentukan waktu itu dari Rabi’ul Awal ke Muharram kerana keputusan untuk berhijrah telah diambil pada bulan Muharram. Pada waktu itu, Bai’ah itu berlaku pada bulan Zulhijjah yang merupakan muqaddimah kepada hijrah. Jadi, anak bulan (hilal) yang pertama muncul adalah setelah berlakunya Bai’ah al-’Aqabah dan keazaman untuk berhijrah adalah pada bulan Muharram. Oleh sebab itu, ia dipandang sesuai untuk menjadikannya sebagai titik permulaan. Ini adalah pendekatan yang paling kukuh yang telah mereka sepakati untuk menetapkan permulaan bulan Muharram sebagai kalendar Islam.” (dipetik dari Maktabah al Bakri).

Diakhiri dengan sepotong ayat al-Quran Allah SWT berfirman: Maksudnya: “Dia lah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dia lah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayatNya (tanda-tanda kebesaranNya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikanNya).” (Surah Yunus: 5)

ENDS.

Previous articleKonsert Exists, Ungu percuma sempena Hari Peneroka Felda 2024
Next articleKerjasama FDAM, FINAS demi masa depan industri perfileman

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here