RAFEAH Buang di awal kemunculan di dalam dunia seni memiliki kecantikan yang asli.

Oleh SYED WAFA
Foto KOLEKSI SYED WAFA

BAGI para peminat filem Melayu nama Rafeah Buang memang tidak asing lagi kerana suara lemak merdunya sering ‘digunakan’ untuk Seniwati yang membintangi filem-filem era 1960-an.

Setiap kali Seniwati berkenaan menyanyikan lagu-lagu dari filem lakonan mereka para penonton sudah tahu siapakah pemilik suara itu.

ANTARA cover album Rafeah Buang di awal pembabitannya sebagai penyanyi.
RAFEAH Buang berduet dengan Aziz Jaafar untuk filem “Anak Buloh Betong.”

Ini bukan sahaja para peminat terdiri daripada ibu-ibu yang berusia 30-an malah mereka yang berstatus nenek juga mengenali pemilik suara berkenaan.

Ini bukanlah cerita dongeng malah sewaktu saya masih usia belasan tahun ketika sedang menonton filem “Lampong Karam” di televisyen tiba-tiba Nenek saya berkata ‘sedap dan lemak merdu suara Rafeah Buang!’

SAADIAH ‘meminjam’ suara Rafeah Buang dalam lagu “Suka Sama Suka” berduet dengan Omar Suwita untuk filem “Lampong Karam.”
RAFEAH Buang ‘pinjamkan’ suaranya untuk Allahyarham Latifah Omar menyanyikan lagu “Gurindam Jiwa” dalam filem yang menggunakan tajuk sama.

Begitulah ‘hebatnya’ suara milik Allahyarham Toh Puan Setia Datin Rafeah Buang yang membuatkan beliau diminati ramai bukan sahaja lagu-lagu melalui album-albumnya malah dari filem-filem Melayu ketika itu.

Antara Seniwati yang sering dan pernah menggunakan suara Rafeah Buang adalah Allahyarham Seniwati Datin Saadiah dan Allahyarham Seniwati Latifah Omar.

DI AWAL pembabitannya sebagai penyanyi rakaman EMI, lagu “Jinak Merpati” sangat diminati.

Bagaimanapun adalah difahamkan diantara Seniwati berkenaan Saadiah paling kerap menggunakan suara Biduanita bersuara lemak merdu ini.

Melalui filem “Anak Buloh Betong” arahan S. Kadarisman terbitan tahun 1966, Rafeah Buang berduet dengan Allahyarham Seniman Aziz Jaafar dalam lagu “Hati Ke Hati.” Suara beliau ‘digunakan’ oleh Saadiah sebagai Tengku Mayang Mas dan Aziz Jaafar sebagai Raja Bangkahulu dan Tengku Bujang Jauh.

RAFEAH Buang bersama sahabatnya Aini Hamid, Asmah Atan dan Siti Zaiton.

Sementara itu melalui filem “Lampong Karam” arahan S. Kadarisman yang diterbitkan pada tahun 1967, Rafeah Buang berduet dengan Seniman Omar Suwita dalam lagu “Suka Sama Suka.” Lagu tersebut ‘dinyanyikan’ Hamimah (Saadiah) dan Suleiman (Allahyarham Seniman S. Rosley).

Pasangan ‘sejoli’ dalam filem iaitu Allahyarham Seniman Nordin Ahmad dan Allahyarham Seniwati Latifah Omar memang diminati ramai. Tetapi sesuatu yang pasti, Rafeah Buang juga turut ‘meminjamkan’ suaranya untuk Latifah Omar sebagai Dahlia dalam lagu “Gurindam Jiwa.”

RAFEAH Buang bersama Allahyarham Hasnah Haron, Allahyarham J. Kamisah da. Allahyarham Ismail Haron.
RAFEAH Buang bersama biduan A. Rahman Onn dan Halim Yatim.

Filem terbitan tahun 1965 arahan Allahyarham Seniman M. Amin ini menampilkan Nordin Ahmad sebagai Dahlan dengan ‘bersuarakan’ Allahyarham Biduan R. Ismail dalam lagu “Gurindam Jiwa.”

Itulah kehebatan dan betapa ‘berharganya’ suara milik Biduanita Rafeah Buang yang dilahirkan di Kampung Pisang, Singapura pada 25 Julai 1948.

KECANTIKAN Rafeah Buang amat terserlah dalam cover sebuah album apabila berkebaya.
RAFEAH Buang bersama Allahyarham Datuk A. Rahman Hassan.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Arab Al-Sagoff sehingga tamat darjah lima pada tahun 1960 kemudian di Sekolah Perdagangan Inggeris sehingga 1963.

Rafeah Buang juga pernah menjadi Sidang Pengarang Majalah Perkawalan Tentera (Singapura) pada 1964. Beliau juga pernah menghasilkan sajak dan cerpen dengan menggunakan nama pena Rina Balkiah dan karyanya semua disiarkan di majalah Singapura dan radio.

RAFEAH Buang dan Helen Velu menjadi ‘Cover Girl’ Majalah Lagu-Lagu Filem & TV keluaran November 1970.
COVER album “Kenangan Di Rantau Abang”…antara lagu nyanyian Rafeah Buang yang diminati ramai.

Beliau mula dikenali dan diminati setelah dinobatkan sebagai Juara Bintang Satria tahun 60-an. Berbekalkan suara yang lunak dan lemak merdu serta wajah yang mempersonakan, Rafeah Buang hadir sebagai biduanita yang tebal dengan santun gadis Melayu pada dirinya.

Rafeah Buang disambut sebagai seorang wirawati oleh masyarakat setempat ketika tiba di Stesyen Keretapi Tanjung Pagar, Singapura setelah menjuarai Bintang Radio di Kuala Lumpur pada tahun 1960-an. Dalam pertandingan itu, beliau menyanyikan lagu “Bakti Setia.”

“KAU Akan Mengerti” antara lagu nyanyian Rafeah Buang yang diminati para peminatnya.
AHMAD Jais sering menjadi pasangan duet Rafeah Buang.

Selama tiga dekad (1960-an sehingga 1980-an) sebagai penyanyi, Rafeah Buang telah mencuri ribuan hati para peminatnya bukan sahaja lagu-lagu dari filem malah lagu-lagu dari album antaranya “Selasih Ku Sayang, Selamat Datang, Kenangan Di Rantau Abang, Don Juan, Bisikan Hati, Hatiku Kau Curi, Lagumu Temanku, Tiada Kata Secantik Bahasa, Udang Sama Udang, Daun- Daun Berguguran dan Disebut Jangan Dikenang Jangan.” Penyanyi veteran yang pernah berduet dengan beliau adalah Allahyarham Datuk Ahmad Jais dan Allahyarham R. ismail.

Rafeah Buang terus menyanyi walaupun telah mendirikan rumahtangga dengan Tengku Dato’ Setia Perkasa, Asmawi Tengku Hussain pada 26 Julai 1970.

RAJA SEHARI…Rafeah Buang dan Tengku Asmawi sah sebagai suami isteri pada 26 Julai 1970.
RAFEAH Buang bersama Allahyarham Datuk Dhalan Zainuddin mengadakan persembahan pentas bersama pada tahun 1976.
COVER album “Bisikan Hati.” Lagu tersebut antara yang diminati para peminatnya.

Pasangan bahagia ini dikurniakan tiga orang putera iaitu Tengku Ahmad Ashraf, Tengku Khairil Ashraf dan Tengku Amirul Ashraf. Bagaimanapun Tengku Amirul Ashraf meninggal dunia kerana kemalangan jalanraya di Segamat, Johor pada 6 Jun 1993. Pasangan ini juga mempunyai seorang anak angkat, Tengku Nur Iman Soleha.

Beliau yang pernah menganggotai dalam Lembaga Muzium Negeri Pahang, telah membuat kajian tentang Kain Tenun Pahang dan peranan keluarga diraja dalam membantu mempopularkan kain tenun yang berasal dari Tanah Bugis. Akhirnya buku bertajuk “Kain Tenun Pahang” berjaya diterbitkan setelah lebih setahun beliau membuat penyelidikan sebagai dokumentasi khazanah seni yang hampir pupus.

BUKAN sahaja memiliki suara yang tidak jemu didengar malah seraut wajah bujur sirih…membuatkan Rafeah Buang sentiasa diminati para peminatnya.
SETELAH lagu “ Don Juan” mendapat sambutan, Rafeah Buang muncul dengan “Don Juan II.”
RAFEAH Buang bersama Allahyarham Benjamin S ketika rakaman rancangan Senada Seirama RTM pada tahub 1980.

Selain berjaya menghasilkan buku berkenaan, Rafeah Buang juga pernah menjadi penulis dan mempunyai kolum sendiri dalam Majalah URTV terbitan Utusan Melayu (M) Bhd.

Sayangnya cadangan seorang kenalannya ketika sama-sama dalam Lembaga Muzium Negeri Pahang, agar ‘membukukan’ tulisannya dalam Majalah URTV tidak kesampaian apabila beliau dimasukkan ke hospital kerana kanser pada saluran darah di tulang belakang.

RAFEAH Buang juga seorang yang pandai mengaji Al-Quran.
‘BINTANG’…yang pernah mewarnai dunia senisuara.
DUDUK depan dari kiri: Mariam Ahmad, Allahyarham Datin Paduka Julie Sudiro dan Allahyarham Fazidah Joned.
Belakang: Datuk Yusni Hamid, Allahyarham Tan Sri SM Salim, Allahyarham M. Sani, Allahyarham Jamaluddin Alias dan Rafeah Buang.

Rafeah Buang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur pada 24 Julai 2002 iaitu sehari sebelum genap usianya 55 tahun.

Jenazah Allahyarham diterbangkan dari Pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Sungai Besi dan tiba di Pengkalan TUDM Kuantan pada jam 10 pagi 25 Julai 2002 dan disemadikan di Makam Diraja Pekan, bersebelahan dengan pusara anaknya, Tengku Amirul Ashraf.

RAFEAH Buang bukan sahaja memiliki suara yang lemak merdu malah beliau juga dianugerahkan seraut wajahnya yang cantik jelita.
PASANGAN bahagia…Rafeah Buang dan suami, Tengku Asmawi.

Suami Allahyarham Rafeah Buang, Tengku Dato’ Sri Asmawi Tengku Hussin meninggal dunia pada 30 Ogos 2020. Sementara anak keduanya, Tengku Khairil Ashraf Tengku Dato’ Sri Asmawi meninggal dunia pada 15 Julai 2018.

Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang beriman. Amin.

PENULIS, Syed Wafa (dua dari kiri) merakamkan kenangan bersama wartawan Allahyarham Huzz, Allahyarham Juwie dan Rafeah Buang.
TENGKU Asmawi menyiram air mawar di pusara Allahyarham isterinya, Rafeah Buang yang disemadikan di Makam Diraja Pekan bersebelahan dengan pusara anak bungsunya, Tengku awmirul Ashraf.
Previous articlePes Sambal Ratu Tumis Rasa Rosz Melazatkan Tomyam Goong!
Next articleTidak berdosa Isteri memfasakhkan perkahwinan jika suami tidak berusaha menafkahi keluarga? (Bahagian 2)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here